PASTI ramai masih ingat filem City of Joy arahan Roland Joffé. Ia tentang kemiskinan di India dan kehidupan kawasan setinggan. Kini, Calcutta atau Kolkata yang menjadi latar filem City of Joy ialah sebuah pusat atau hab untuk kumpulan... Klik di sini untuk terus membaca

PASTI ramai masih ingat filem City of Joy arahan Roland Joffé. Ia tentang kemiskinan di India dan kehidupan kawasan setinggan.

Kini, Calcutta atau Kolkata yang menjadi latar filem City of Joy ialah sebuah pusat atau hab untuk kumpulan scammer antarabangsa beroperasi.

Mungkin ada yang terperanjat jika diberitahu kumpulan scammer berpusat di Calcutta meraih hampir AS$20 bilion (RM89.1 bilion ) daripada 60 juta mangsa di seluruh dunia.

Sehingga Jun tahun ini, mereka berjaya mengutip wang penipuan hampir AS$205 juta (RM913.1 juta) menerusi penyamaran sebagai pegawai Pejabat Cukai Australia, Amazon atau Microsoft.

Wartawan The Print, Vandana Menon bulan lalu menegaskan kumpulan scammer terbesar dunia kini berpengkalan di Calcutta.

Beliau percaya kumpulan itu meraih pendapatan Rs30 juta (RM1.7 juta) sehari hasil penipuan di peringkat antarabangsa.

Amerika Syarikat (AS) menjadi sasaran utama mereka. Kumpulan tersebut menggunakan kepakaran teknologi penggodaman maklumat atau information hacking technology (IHT) terkini untuk menipu mangsa.

Brittany Chain daripada Daily Mail Australia pula percaya kota kolonial tersebut menjadi pusat aktiviti penipuan terbesar dunia.

Beliau mendakwa sekumpulan ‘pemanggil dingin’ atau cold callers menyamar sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) daripada syarikat berasaskan perniagaan IT ternama seperti Amazon atau Microsoft untuk menggodam akaun bank warga Australia.

Jelaslah scammer mempergunakan kecanggihan sistem IT dan IHT untuk mengaut keuntungan berbilion ringgit.

Penyangak siber akan menggunakan pelbagai cara termoden untuk menggodam akaun dengan penipuan tidak disedari mangsa.

Mereka kadangkala menyamar sebagai syarikat penyedia internet, kononnya cuba menghantar pakej penghantaran. Dengan menggunakan teknologi paling canggih dalam pelbagai kaedah atau muslihat, scammer ‘menyedut’ duit mangsa.

PENYANGAK SIBER

Sehingga kini, polis Calcutta telah menutup lima pusat panggilan dikenali kumpulan City of Joy yang mempunyai ratusan kakitangan pada setiap pusat. Majoriti pekerja kumpulan berkenaan dianggap pakar IHT. Mereka tampil berpakaian kemas seolah-olah golongan profesional.

Penipuan itu telah disebut ALLAH SWT dalam sebahagian surah Al-Baqarah ayat (2:6-20) bermaksud:

"Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman, mereka berkata ‘Kami beriman’. Dan manakala mereka kembali kepada syaitan mereka, mereka berkata pula, ‘Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang yang beriman)’.

"ALLAH (membalas) memperolok-olok dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.”

Menon seterusnya mendedahkan polis siber terkemuka India, Unit Lalbazar berdepan tugas sukar untuk membanteras kumpulan panyangak siber.

Misalnya, kumpulan Jamtara dianggap paling licik. Ia terbukti apabila Praween Prakash, seorang jurutera IT terkenal kerana berjaya mencipta kod keselamatan sendiri turut terjerat dengan penipuan YouTuber.

Gerakan Browing dibantu Mark Rober, bekas Jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Rober dikatakan berjaya menyelinap masuk untuk maklumat penipuan menerusi cara menggodam kamera litar tertutup (CCTV) milik kumpulan tersebut.

Penemuan itu mendedahkan satu hakikat bahawa scammer di Calcutta sangat kritikal sehingga memaksa Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekom India atau Telecom Regulatory Authority of India (TRAI) menyekat dan menapis penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengelak pertambahan jumlah mangsa baharu.

Sehingga pertengahan tahun ini, lebih 11,000 laporan teks SMS berniat jahat melalui peranti Android dikesan berbanding hanya 50 laporan pada 2021.

Justeru, penulis mengingatkan rakyat Malaysia lebih berhati-hati dan elak menjawab panggilan daripada nombor tidak dikenali.

Pada masa sama, pihak berkuasa di negara ini perlu meningkatkan pembangunan teknologi keselamatan siber bagi mengelak rakyat ditipu scammer antarabangsa.

Kesimpulannya, scammer akan terus menggunakan kecanggihan sistem IT dan IHT untuk menipu serta menggodam akaun mangsa.

Kecanggihan sistem IT seharusnya digunakan bagi tujuan yang baik. Namun, scammer telah memanipulasi kecanggihan sistem IT untuk mengukuhkan kekuatan mereka!

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca