CHINA menjalankan latihan ketenteraan terbesar mengelilingi Taiwan pada Khamis sehari selepas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi menamatkan lawatan singkat tetapi penuh kontroversi ke Taipei.
Latihan ketenteraan selama lima hari itu yang dianggap ‘perlu dan adil’ oleh Beijing diadakan di beberapa laluan air paling sibuk di dunia.
Serentak itu, Taiwan meminta kapal-kapal mencari laluan alternatif untuk mengelak latihan tersebut dan sedang berunding dengan negara jiran, Jepun serta Filipina bagi mencari laluan penerbangan alternatif.
Menurut pengumuman dalam media kerajaan China, latihan tersebut bermula pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) dan melibatkan tembakan peluru hidup jarak jauh.
Ia berlangsung di zon mengelilingi Taiwan, di beberapa titik dalam jarak hanya 20 kilometer (km) dari pantai pulau berkenaan dan akan berakhir Ahad ini.
Menurut laporan Global Times yang memetik penganalisis tentera menyebut bahawa latihan itu belum pernah berlaku sebelum ini dan peluru berpandu akan terbang melintasi Taiwan buat kali pertama.
"Ini adalah kali pertama PLA (Tentera Pembebasan Rakyat) melancarkan artileri jarak jauh secara langsung merentasi Selat Taiwan,” lapor akhbar tersebut.
Taipei mengecam rancangan itu dan memberi amaran bahawa Beijing mengancam keselamatan rantau Asia Timur.
"Beberapa kawasan yang menjadi lokasi latihan ketenteraan China terletak dalam perairan Taiwan.
"Secara jelas, ia adalah satu pencerobohan dan tindakan tidak rasional untuk mencabar undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Sun Li-fang.
Kumpulan Tujuh Negara (G7) Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan AS dalam satu kenyataan bersama mengecam keras latihan ketenteraan itu dan menegaskan tiada alasan menggunakan lawatan Pelosi bagi menjustifikasikan aktiviti ketenteraan yang agresif di Selat Taiwan.
Sumber ketenteraan China memberitahu AFP bahawa latihan ketenteraan lima hari itu sebagai persediaan untuk menghadapi pertempuran sebenar.
"Jika pasukan keselamatan Taiwan melepaskan tembakan secara sengaja atau tidak sengaja ke arah tentera PLA, kami akan bertindak balas dan Taiwan akan menanggung akibatnya.
KEDEGILAN PELOSI
Menteri Luar, Wang Yi berkata, tindakan provokatif Pelosi bertentangan dengan prinsip satu China dan mencemarkan kedaulatan China, sehingga membangkitkan kemarahan rakyat negaranya serta bantahan meluas masyarakat antarabangsa.
Katanya, lawatan itu sekali lagi membuktikan bahawa segelintir politikus AS menjadi ‘pengacau’ hubungan China-AS, manakala AS ‘perosak terbesar’ terhadap keamanan Selat Taiwan dan kestabilan serantau.
Beliau turut mengingatkan AS supaya jangan berangan-angan untuk menghalang proses penyatuan semula China atau menjejaskan pembangunan republik tersebut.
"Jangan berkhayal untuk membuat percaturan geopolitik dan memutarbelitkan fakta secara sewenang-wenangnya.
"Prinsip satu China menjadi ‘sauh’ bagi keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
"Cubaan menjalin pakatan sulit dengan AS untuk mengejar ‘kemerdekaan Taiwan’ pasti akan gagal, begitu juga niat mengekang China dengan mempergunakan isu Taiwan,” ujarnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca