SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang menarik sokongan kepada kerajaan Keluarga Malaysia susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pertemuan dengan delegasi pemimpin tertinggi gabungan itu di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang menarik sokongan kepada kerajaan Keluarga Malaysia susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pertemuan dengan delegasi pemimpin tertinggi gabungan itu di saat-saat akhir.

Pertemuan tersebut sepatutnya berlangsung di Putrajaya pada Khamis.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan, biarpun kecewa dengan tindakan Perdana Menteri membatalkan pertemuan itu, namun tidak timbul langsung soal PN mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menarik sokongan kepada Ismail Sabri, dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan PN dan Bersatu adalah memohon pertemuan dengan Ismail Sabri bagi membincangkan pelbagai isu semasa termasuk soal integriti, ketelusan kerajaan, tadbir urus yang baik, komitmen kerajaan mengekalkan agenda reformasi dan agenda kebajikan rakyat bukannya menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) atau jawatan lain dalam kabinet.

"Saya mengakui PN memang minta pertemuan itu kerana kita berharap Ismail Sabri kekal dengan komitmen dan janji dibuat beliau sebelum menjadi Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, tiba-tiba pada tengah hari (Khamis) mesyuarat itu dibatalkan sendiri oleh Perdana Menteri atas sebab tertentu.

"Kita begitu kecewa kerana agenda itu begitu penting demi rakyat, namun Perdana Menteri boleh membatalkan mesyuarat berkenaan begitu sahaja di saat akhir,” katanya kepada Sinar Premium.Wan Saiful berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Bersatu pada Selasa lalu dan PN juga tidak pernah membincangkan serta membuat keputusan untuk menarik daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

RAZALI

"Kita hanya bercakap mengenai delegasi PN dan Bersatu perlu berjumpa Perdana Menteri dan membawa hasilnya untuk dibincangkan dalam mesyuarat MPT dan PN.

"Malah, tidak timbul langsung dalam mesyuarat MPT Bersatu untuk kita memasukkan perbincangan mengenai pelantikan TPM daripada Bersatu,” katanya.

Apa yang dibimbangkan oleh PN dan Bersatu, kata Wan Saiful adalah kenyataan ditimbulkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri sendiri menunjukkan agenda transformasi dan integriti semakin luntur dari kerajaan sekarang.

Justeru, Wan Saiful tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu sengaja mencetuskan polemik dan fitnah kerana mahu menghasut serta mewujudkan ketegangan antara parti dalam kerajaan sekarang dengan Perdana Menteri.

Wan Saiful juga menafikan khabar angin bahawa Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bertindak keluar daripada kumpulan sembang WhatApps MPT kerana tidak berpuas hati dengan cadangan Bersatu dan PN mahu menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Sementara itu, Ahli MPT Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, beliau tidak pernah mendengar bahawa PN dan Bersatu membuat keputusan menarik sokongan kepada Ismail Sabri susulan tindakan Perdana Menteri enggan melantik TPM daripada parti berkenaan.

"Saya tidak pasti portal berita berkenaan mendapat sumber berita kononnya PN dan Bersatu mahu menarik sokongan kepada Perdana Menteri daripada mana kerana setakat ini tiada kenyataan rasmi dari parti dikeluarkan. Siapakah sumber berita dipetik portal berkenaan?

"Saya baca juga berita berkenaan tetapi mereka tidak dedahkan nama individu menjadi sumbernya. Jadi kita tidak tahu cerita itu betul atau tidak?

"Saya sendiri menghadiri mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini, tiada pula kami buat keputusan untuk tarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri. Ini mungkin salah satu tindakan dibuat pihak tertentu untuk melaga-lagakan pemimpin PN dan Bersatu dengan Perdana Menteri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca