PADA bulan lalu, Ukraine dan Rusia menamatkan rundingan yang berlangsung selama berbulan-bulan dengan menandatangani perjanjian penting bersama Turkiye serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Istanbul bagi menamatkan sekatan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA bulan lalu, Ukraine dan Rusia menamatkan rundingan yang berlangsung selama berbulan-bulan dengan menandatangani perjanjian penting bersama Turkiye serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Istanbul bagi menamatkan sekatan penghantaran bijiran.

Rusia sebelum ini menyekat penghantaran bijiran dari Ukraine melalui Laut Hitam selepas ia menyerang Ukraine pada Februari lalu sehingga menyebabkan harga makanan melonjak ke paras yang tertinggi pada Mac lepas.

Ia turut meningkatkan kebimbangan bahawa masalah kelaparan akan berlaku kepada negara-negara yang bergantung kepada bijiran Ukraine setelah berjuta-juta tan gandum dan bijirin lain disekat oleh Rusia di pelabuhan Ukraine akibat peperangan.

Rusia dan Ukraine adalah pembekal utama gandum dan bijirin lain di dunia manakala Perang Ukraine mengakibatkan Program Makanan Sedunia (WFP) menyatakan kesan peperangan itu akan menyebabkan kira-kira 47 juta penduduk dunia terjerumus ke dalam kategori kelaparan yang teruk.

Ketika perjanjian itu ditandatangani pada hujung bulan lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyatakan bahawa PBB bertanggungjawab menjamin perjanjian penting antara Ukraine dan Rusia dengan tujuan untuk meleraikan sekatan eksport bijirin serta mengurangkan krisis makanan global.

Perjanjian serupa juga ditandatangani pada masa yang sama bagi membolehkan Rusia mengeksport produk pertanian dan bajanya walaupun terdapat sekatan daripada pihak Barat untuk membantu para petani di negara-negara miskin mendapatkan produk pertanian tersebut.

Dalam masa yang sama juga, Turkiye berharap perjanjian bijirin itu dapat membina keyakinan dan membawa kepada gencatan senjata antara kedua-dua negara sekali gus dapat menyelesaikan Perang Ukraine yang masih belum berakhir.

Dianggarkan kira-kira 20 juta tan bijirin telah tersangkut di Ukraine sejak tentera Rusia menceroboh Ukraine.

Kapal Razoni yang membawa bijirin berlepas dari Pelabuhan Odesa, Ukraine baru-baru ini. - Foto Turkish National Defense Ministry/Anadolu Agency/Getty Images

Susulan perjanjian menghapuskan sekatan eksport itu, pada 1 Ogos lalu, kapal Razoni yang mengibarkan bendera Sierra Leone di bawah kebenaran Pusat Koordinasi Bersama (JCC), belayar dari pelabuhan Odesa, Ukraine membawa bijirin dengan Lubnan sebagai destinasinya.

Menurut kenyataan PBB, kapal tersebut membawa lebih 26,000 tan metrik jagung dan tiba di lokasi pemeriksaan di perairan wilayah Turkiye pada 2 Ogos dan selesai diperiksa oleh pasukan pemeriksaan dari Ukraine, Rusia, Turkiye serta badan dunia tersebut.

Tiga buah lagi kapal dari Ukraine yang sarat dengan bijirin belayar pada Jumaat dan menuju ke Britain, Ireland dan Turkiye.

HARGA MAKANAN DUNIA JATUH

Perjanjian yang melibatkan Ukraine, Rusia, PBB dan Turkiye itu menjadi antara sebab harga makanan dunia jatuh mendadak pada Julai lalu, kata agensi PBB pada Jumaat.

Walaupun harga kekal tinggi, ia kini turun untuk bulan kelima berturut-turut dan jatuh sebanyak 8.6 peratus pada Julai lalu berbanding pada Jun lepas, menurut indeks harga makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) milik PBB itu.

Indeks yang mengukur perubahan bulanan dalam harga antarabangsa komoditi makanan utama bagaimanapun masih mencatatkan 13.1 peratus lebih tinggi berbanding pada Julai tahun lalu didorong oleh kesan pencerobohan Ukraine, cuaca buruk dan kos pengeluaran serta pengangkutan yang tinggi.

Harga sayur-sayuran tinggi sejak Perang Ukraine berlaku pada Februari lalu. - Foto AFP

Penurunan harga komoditi makanan daripada paras yang sangat tinggi adalah dialu-alukan terutamanya apabila dilihat dari sudut akses makanan, kata Ketua Ekonomi FAO, Maximo Torero.

Indeks harga minyak sayuran, gula, tenusu, daging dan bijirin semuanya jatuh dari bulan ke bulan dan pada bulan Julai lalu mnakala harga gandum merosot sebanyak 14.5 peratus, sebahagiannya disebabkan oleh perjanjian yang dicapai antara Ukraine, Rusia, Turkiye dan PBB untuk membuka sekatan eksport bijirin dari pelabuhan di Laut Hitam.

Indeks harga jagung jatuh sebanyak 10.7 peratus pada Julai lepas juga disebabkan oleh perjanjian antara Rusia-Ukraine, kata FAO.

Penurunan terbesar adalah untuk harga minyak sayuran yang jatuh sebanyak 19.2 peratus antara Jun dan Julai untuk mencecah paras terendah dalam tempoh 10 bulan.

Indeks harga bijirin mencatatkan penurunan bulanan sebanyak 11.5 peratus, kata FAO.

Penurunan bijirin diterajui oleh kejatuhan harga gandum dunia sebahagiannya sebagai reaksi kepada persetujuan yang dicapai antara Ukraine dan Rusia untuk membuka sekatan pelabuhan di Ukraine, kata agensi PBB itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca