SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 wajar dilaksanakan segera bagi membasmi generasi perokok di masa akan datang, sekali gus meletakkan kesalahan tersebut sebagai satu jenayah.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan, RUU berkenaan merupakan contoh terbaik supaya generasi muda akan datang tidak lagi terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah itu.
"Sekarang ia menjadi isu dan bukan pertikaian, iaitu mengenai penambahbaikan apabila menyentuh tentang pelaksanaannya yang perlu adil dan saksama.
"Kumpulan sasaran dalam kalangan individu yang lahir pada dan selepas 2007 (jadi) generasi pertama dan kedua selepas RUU ini menjadi akta, dan akan berumur 18 serta 19 tahun, masih remaja.
"Justeru kita tidak ingin menghancurkan masa depan mereka dengan cop mahkamah (yang) mensabitkan kesalahan jenayah (dan) perkara seperti ini sepatutnya diambil kira. Saya percaya sebab itu ia dimajukan kepada Jawatankuasa Pemilihan Khas supaya hukuman lebih adil," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Di Sebalik Isu bersama Finaz Yunus dengan tajuk 'Masihkah ada harapan buat generasi bebas rokok' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program tersebut turut menampilkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noraryana Hassan; pejuang kanser, Shamsul Rizal Ramli dan Naib Presiden 3 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Mohd Firdaus Md Razali sebagai panel jemputan.
Dalam pada itu Mohamed Haniff berkata, hukuman RM5,000 yang dicadangkan sebelum ini dilihat terlalu tinggi bagi golongan remaja dan perlu dikaji semula supaya tidak terlalu membebankan mereka.
"Walaupun RM5,000 untuk mereka berumur 18 dan 19 tahun agak berat tetapi kalau RM500 untuk kesalahan pertama (wajar), kesalahan dua mengikut budi bicara mahkamah, itu lebih adil.
"Kanak-kanak pula boleh dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, tak perlu rekod sabitan supaya dapat mendidik diri kerana dari sudut psikologi jenayah apabila kanak-kanak diletakkan hukuman yang berat, dia akan terdorong untuk menjadi penjenayah sebab menganggap diri telah dihukum," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca