SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menepis dakwaan pihak yang mengatakan ramai yang membantah pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Noraryana Hassan berkata, kenyataan pihak terbabit adalah tidak tepat berikutan ramai menyokong RUU tersebut terutama di media sosial.
"Saya ingin membetulkan sedikit kenyataan yang mana banyak pihak membantah, sedangkan kita lihat dalam media sosial rata-rata rakyat semua menyokong RUU ini.
"Jadi, kenyataan banyak pihak membantah itu adalah tidak tepat,” katanya pada program Di Sebalik Isu Bersama Finas Yunus bertajuk ‘Masihkah Ada Harapan Buat Generasi Penamat Bebas Rokok?’ yang bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Program tersebut turut menampilkan Peguam, Haniff Khatri; Pejuang Kanser, Shamsul Rizal Ramli dan Naib Presiden 3 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Mohd Firdaus Md Razali sebagai panel jemputan.
Dalam pada itu, Dr Noraryana turut menyangkal dakwaan pihak yang mengatakan KKM mengambil tindakan terburu-buru dalam membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.
Beliau berkata, ia kerana pelaksanaan sesuatu polisi yang hendak dilakukan terutama dalam bidang kesihatan awam mesti berlandaskan satu kajian saintifik dan juga kajian susulan.
"Khusus bagi isu merokok, agak berlainan dengan isu-isu yang lain kerana ia bukan saja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi turut memberi kesan kepada orang sekeliling.
"Justeru, dalam hal ini kita tidak terburu-buru dalam melaksanakan RUU ini. Apabila kita ingin menggubal sesuatu polisi, termasuk undang-undang sudah tentunya akan berdasarkan kajian dan bukti saintifik.
"Tinjauan Kesihatan Mobiliti juga telah dilaksanakan sejak 1986 hingga 2019. Jadi di manakah dikatakan terburu-buru? Saya tak nampak sebab kita monitor peratusan merokok dalam kalangan dewasa, kanak-kanak dan sebagainya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca