SESUNGGUHNYA berfikir itu payah, kerana itulah ramai suka membuat tanggapan. Sekiranya kita berfikir, sudah tentu kita tidak bersandarkan kepada tanggapan semata-mata dalam membuat sesuatu pertimbangan, penilaian dan keputusan.
Pun begitu, setiap tanggapan menjadi taruhan utama kerana berasaskan kewajaran melihat dan mendengar sendiri, disampaikan oleh orang dipercayai serta ramai bercakap hal itu, sedangkan hal tersebut masih berstatus tanggapan.
Apabila tanggapan diutamakan, sudah tentu akan mengaburi apa juga realiti dalam kehidupan.
Sebetulnya, perkataan tanggapan adalah merujuk kepada apa yang diterima oleh pancaindera, bayangan di dalam hati dan dinilai dengan pelbagai tafsiran serta kekeliruan.
Menurut perspektif psikologi, tanggapan (persepsi) adalah proses berfikir terhadap sesuatu rangsangan yang diterima dan cuba menyusun, mentafsir serta memberi makna bagi setiap rangsangan menerusi perbuatan.
Setiap rangsangan yang dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, dirasa oleh lidah, dihidu dengan hidung serta disentuh oleh tangan akan menzahirkan pentafsiran dan tindakan berbeza, sama ada bersifat positif atau negatif.
Pada hemat saya, terdapat tiga isu utama berkaitan dengan tanggapan iaitu tanggapan diri kita terhadap orang lain, tanggapan orang lain terhadap diri kita dan tanggapan terhadap diri kita sendiri.
Yang jelas, setiap tanggapan tersebut akan memberi impak yang baik sekiranya tanggapan itu bersifat positif dan memberi impak buruk sekiranya tanggapan itu bersifat negatif.
Tentunya, tanggapan positif akan menyegarkan kita dan tanggapan negatif akan melemahkan kita.
Hakikatnya, kita adalah cerminan diri sendiri. Jika kita selesa dengan perbuatan melontar tanggapan yang salah terhadap orang lain, secara langsung percikan tanggapan buruk daripada orang lain akan melantun balik kepada kita.
Berkaitan tanggapan yang buruk, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci tetapi jadilah kalian hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Ia bermakna, kita perlu berusaha menegakkan sesuatu realiti atau kebenaran dengan bersungguh-sungguh agar tidak dikaburi oleh sesuatu tanggapan.
Berbicara soal tanggapan, apa yang paling dikhuatiri adalah kita memberi tanggapan salah terhadap diri sendiri.
Pendek kata, keyakinan kepada diri sendiri semakin pudar disebabkan oleh sesuatu isu dan peristiwa. Akhirnya mendorong perasaan hilang minat bagi semua perkara dalam kehidupan.
Natijahnya, pemikiran menjadi huru-hara dan terdedah dengan masalah kewarasan mental dalam jangka masa panjang.
Seboleh mungkin, kita perlu kekal memperkuatkan diri dengan menghargai segala kekuatan dan menerima segala kelemahan seadanya.
Selain itu, kesedaran betapa keupayaan dan kawalan kita adalah terbatas serta tidak boleh melakukan semua perkara secara berseorangan perlu diperteguhkan.
Sejajar dengan itu, menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Kesepaduan Iman dan Amal Saleh, beliau telah berkongsi kata-kata nasihat seorang doktor (kawannya) kepada pesakit beliau.
"Mengapa seseorang menjadi darah tinggi atau kacau fikiran sehingga tergoyang urat saraf? Sebabnya kerana soal-soal yang beraneka warna dalam hidup ini hendak diselesaikan sendiri, hendak dibereskan sendiri.
Lupa keputusan yang sebenarnya adalah di tangan ALLAH, sementara hati kurang terpaut kepada-Nya, hanya percaya kepada kekuatan sendiri yang terbatas.
"Oleh itu, hendaklah segala urusan itu dilepaskan ke atas, jangan hendak dipikul sendiri dan hendak diedarkan di keliling otak, tentu payah. Dengan mengerjakan solat yang khusyuk, kita melepaskan senak yang tertumbuk dalam fikiran kita.
"Rumusannya, biarlah orang membuat tanggapan salah kepada diri kita, asalkan kita sentiasa teguh meyakini diri.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca