MENCIPTA nama sebagai tokoh korporat terkemuka dalam bidang perbankan, agak mengejutkan apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipilih sebagai Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran... Klik di sini untuk terus membaca

MENCIPTA nama sebagai tokoh korporat terkemuka dalam bidang perbankan, agak mengejutkan apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipilih sebagai Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dilantik atas kapasiti sebagai tokoh teknokrat dan bukan kepartian, ramai mempertikaikan keputusan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk sebilangan besar pemimpin daripada UMNO.

Bahkan timbul khabar angin mengatakan Tengku Zafrul merupakan anak saudara kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kononnya sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Muhyiddin.

Memandangkan Kementerian Kewangan merupakan salah satu portfolio paling kritikal dalam kabinet kerajaan, sudah pasti Tengku Zafrul berdepan pelbagai serangan bukan sahaja daripada seteru nyata, bahkan ‘musuh dalam selimut’ yang berada dalam kerajaan PN.

Sebagai contoh, beliau sering dilabel pro kapitalis dan memihak kepada institusi perbankan sewaktu mendepani isu-isu berkaitan bantuan kewangan kerajaan, pemberian moratorium bayaran balik pinjaman bank serta tuntutan kebenaran pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara one-off sebanyak RM10,000 pada pandemik Covid-19.

Poster boy

Bagaimanapun, segalanya berubah 360 darjah apabila Tengku Zafrul yang sebelum ini pernah menyatakan tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politik, secara tiba-tiba dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor minggu lalu.

Ura-ura beliau bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tersebar sejak awal tahun ini apabila Raja Nong Chik yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, pernah mengesyorkan Tengku Zafrul bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Beliau kemudiannya ‘dipinang’ oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar, sebelum dikatakan sudah dijamin bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor oleh pucuk kepimpinan UMNO Selangor sendiri.

Lebih menarik, ada pemerhati politik melihat keputusan mengejut beliau dilantik sebagai Bendahari BN Selangor sebenarnya membuka jalan untuk parti itu menjadikan beliau ‘poster boy’ bidan terjun negeri berkenaan bagi menghadapi PRU15.

"Saya ingat strategi UMNO Selangor hendak mengetengahkan Tengku Zafrul sebagai calon PRU15 mahupun ‘poster boy’, sebagai sesuatu yang positif. Hal ini memandangkan rakyat Selangor mendambakan imej kepimpinan UMNO dan BN Selangor lebih segar, berketrampilan dan bersih.

"Sejauh mana beliau mampu memberi aura kemenangan kepada parti, satu kajian lebih mendalam perlu dilakukan UMNO Selangor.

"Bagaimanapun hakikatnya, penampilan Tengku Zafrul sahaja tidak mencukupi. Rakyat Selangor mengharapkan lebih ramai golongan muda yang ada rekod pendidikan dan perkhidmatan cemerlang dalam kerajaan ditampilkan pada PRU15,” ujar bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Sinar Premium.

Mohamad Khir

Aura

Dalam keterujaan UMNO dan BN Selangor menampilkan Tengku Zafrul sebagai calon PRU15, isu sebenar yang perlu diselesaikan menteri kabinet itu dan parti adalah mengenai status keahlian beliau dalam parti itu.

Hal ini susulan ramai terkeliru sama ada Tengku Zafrul ini benar-benar merupakan ahli UMNO atau sebaliknya, susulan beliau mula dilantik sebagai Menteri Kewangan atas tiket kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

"Ada orang menyangka beliau orang Bersatu, tetapi ada juga mendakwa Tengku Zafrul ‘darah’ UMNO sebelum menyertai kerajaan PN.

"Secara keseluruhannya, Zafrul mungkin merupakan seorang teknokrat yang baik, pemimpin muka baharu dengan reputasi bersih dan mampu menarik sokongan rakyat Selangor di kerusi-kerusi pilihan raya majoriti pengundi Melayu.

"Namun dari sudut kepimpinan politik, saya melihat Tengku Zafrul bukan seorang tokoh yang memiliki aura tersendiri dan ‘faktor wow’ sebagaimana ditonjolkan bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu menceburi politik pada PRU12.

"Ditambah dengan hasil kajian banyak badan penyelidikan politik mengunjurkan Selangor sukar dimenangi UMNO-BN jika bertanding secara bersendirian, saya tidak nampak keputusan peletakan Tengku Zafrul bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal mencipta fenomena sebagaimana impak dicetuskan Allahyarham Abdul Khalid suatu ketika dahulu,” jelas penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Mazlan

Bajet 2023

Dari satu sudut pandangan tersirat, terdapat dakwaan mengatakan strategi pelantikan Tengku Zafrul di Selangor itu sebenarnya merupakan satu kaedah timbang tara UMNO-BN agar Menteri Kewangan itu lebih lunak kepada parti berkenaan.

Ditambah dengan PN secara berterusan menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyegerakan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, sudah tentu sokongan Tengku Zafrul selaku Menteri Kewangan amat penting dalam memastikan usul pembentangan Belanjawan 2023 memberi kelebihan kepada UMNO-BN.

"Apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan pindaan perlembagaan UMNO untuk menangguhkan proses pemilihan parti berkenaan selepas PRU15, sudah pasti Ismail Sabri tidak mempunyai banyak masa bagi menangguhkan lagi keperluan pembubaran Parlimen.

"UMNO-BN juga berharap dapat mendepani PRU15 tanpa dibayangi isu 1MDB, SRC International dan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) daripada berterusan dibangkitkan Tengku Zafrul selaku menteri kewangan, sama ada di dalam mahu pun luar sidang Parlimen,” tegas seorang sumber dalaman Bersatu yang enggan dinamakan.

Klik di sini untuk terus membaca