PERBAHASAN tentang lompat parti sering berlaku dalam kerangka politik kepartian. Yang difokuskan adalah individu atau kumpulan yang melompat meninggalkan parti.
Namun, tidak banyak membicarakan kesannya kepada rakyat yang mengundi memilih mereka sehingga bergelar Yang Berhormat (YB). Kalau ada pun, ia bersifat sepintas dan retorik semata-mata.
Walaupun sukar untuk menentukan apakah rakyat memilih individu atau parti tertentu semasa mengundi, pilihan mereka adalah mandat yang harus dihormati.
Justeru, isu lompat parti seharusnya dibincangkan dalam ruang lingkup tersebut, berbanding politik itu sendiri.
Isunya mudah, lompat parti adalah pengkhianatan mandat dan suara majoriti mereka yang telah bersusah payah mengundi.
Di sisi lain, ia juga perbuatan yang melecehkan demokrasi dan mengancam keutuhan kerajaan.
Dalam disiplin Sains Politik, definisi umum lompat parti (dalam istilah yang pelbagai) lazimnya dikaitkan dengan tindakan mengundi atau menyokong usul pihak lawan dalam dewan perwakilan (baca: Parlimen) dan bukannya tindakan berpaling tadah dengan menyertai parti lain.
Sebab itu, di negara-negara yang politiknya maju dan matang, tindakan sebegitu dianggap biasa, malah tidak salah sehingga terpaksa dipecat dan diberhentikan.
Fokusnya mudah. Selepas menang, secara teknikal mereka adalah ahli legislatif, bukan lagi ahli parti.
Namun, apakah kita boleh menidakkan kepentingan parti dalam perbincangan ini?
Pertama, kekerapan bertukar parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memperlihatkan parti masih penting. Kalau tidak, mengapa ia terus berlaku dan melimpah dari pusat hingga ke negeri.
Kedua, kepentingan parti politik itu sendiri sebagai mekanisme yang menyambungkan pengundi dan kerajaan. Kelebihan bersama parti yang membentuk kerajaan memudahkan tuntutan pengundi dan penyokong dipenuhi di Parlimen atau dalam kerajaan.
Ketiga, parti sebagai lubuk mencari pengaruh, kuasa dan kekayaan. Maka, parti yang berkuasa akan memberikan kelebihan kepada mana-mana ahli politik yang memburunya, lantas bersedia untuk melompat bila-bila masa.
Apa pun tujuannya, proses demokrasi mesti berakhir dengan parti politik yang menang kerusi terbanyak akan membentuk kerajaan.
Tetapi apakah nasib demokrasi dan ketuanan rakyat yang mengundi jika keputusan mereka tidak dihormati.
Lebih malang, mereka yang kalah kembali menjadi kerajaan disebabkan tindakan pengkhianatan. Ia satu tragedi menyedihkan dalam konteks demokrasi negara.
Maka, apakah Rang Undang-Undang (RUU) larangan ahli Parlimen bertukar parti mampu menyekat perbuatan tersebut, lantas mengangkat ketuanan rakyat?
Sebagai permulaan mungkin itulah yang diperlukan memandangkan kita masih belum ada satu pendekatan legal dan substantial untuk menyekatnya.
Cuma, adakah ia cukup dan menyeluruh? Jawapannya tidak. RUU itu masih jauh untuk menyelesaikannya. Kalau tidak, masakan masih ada desakan dan cadangan supaya Akta Pecat (Recall election) diperkenal selepas RUU berkenaan.
Asasnya mudah. Selagi RUU sedia ada masih tidak memperkasakan ketuanan rakyat dalam erti kata sebenar, dengan membolehkan pengundi itu sendiri menentukan nasib YB yang dipilih, maka ia masih belum sepenuhnya memenuhi matlamat (serve the purpose).
Namun, sebagai permulaan RUU tersebut masih satu langkah yang tepat. Ia sudah memenuhi dua perkara.
Pertama, keperluan suatu mekanisme perundangan bagi menghalang aktiviti lompat parti secara tuntas dan fundamental.
Kedua, menyuntik semula keyakinan pengundi bahawa undi mereka kali ini benar-benar bernilai dan dihormati. Sekurang-kurangnya ia tidak melunturkan kepercayaan mereka terhadap sistem pilihan raya dan membunuh semangat demokrasi.
Hakikatnya, bertukar parti selepas pilihan raya adalah sesuatu yang membinasakan sekiranya tidak dibendung.
Mungkin RUU masih belum lengkap dan sempurna tetapi kita sudah ada asas untuk berkembang dan memperkemaskannya pada masa hadapan.
Ia bagi memastikan ketuanan rakyat yang sebenar diangkat di sebalik permasalahan lompat parti.
*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca