ELOKLAH kerajaan membentang Rang Undang-Undang (RUU) untuk hentikan generasi baharu merokok. Lagipun tidak ada faedahnya merokok ‘membakar duit’. Kesihatan juga akan merosot. Orang tua yang sudah terlajak ketagih rokok biarkan sahaja.... Klik di sini untuk terus membaca

ELOKLAH kerajaan membentang Rang Undang-Undang (RUU) untuk hentikan generasi baharu merokok. Lagipun tidak ada faedahnya merokok ‘membakar duit’. Kesihatan juga akan merosot.

Orang tua yang sudah terlajak ketagih rokok biarkan sahaja. Tiada gunanya menasihati mereka lagi. Orang begini sudah tidak menerima nasihat. Hati sudah keras, pintu hidayah sudah tertutup.

Anak-anak muda yang mungkin juga anak-anak kita eloklah dijaga supaya tidak terjebak dengan rokok. Mereka adalah generasi akan datang dan permata negara. Sihat mereka, sihatlah negara.

Selain penyakit, bahaya rokok adalah ketagihan. Bila ketagih rokok, tengah malam pun sanggup keluar ke kedai untuk membelinya. Apatah lagi apabila selesai makan malam dan perut kenyang.

Memang nikmat katanya menyedut dan menghembus asap selepas perut kenyang. Kalau tidak dapat menyedutnya, bak kata pepatah, menguap-nguap bagai ikan kekeringan. Silap hari bulan boleh naik darah tidak tentu hala.

Rokok sekarang bukan murah. Harganya boleh mencecah sehingga RM20. Paling murah pun tidak kurang RM10, melainkan rokok seludup memang murah.

Dahulu sekotak rokok hanya RM2.70. Sebatang 20 sen sahaja dan boleh dibeli di kedai runcit. Itu pada zaman sayalah.

Rokok sekotak tujuh batang pun ada. Harganya RM1.50. Kalau ke kedai, hendak membeli separuh iaitu 10 batang pun boleh. Sekarang tidak ada lagi.

Lebih baik menyimpan duit daripada ‘membakar duit’. Bagi yang tidak berduit, mereka akan membeli rokok seludup. Murah dan asal berasap. Kalau kempunan sangat, boleh hisap rokok daun.

Saya tidak tahulah kerajaan akan berjaya atau tidak dengan cadangan RUU tersebut. Kalau berjaya baguslah. Yang masih merokok, biarkan mereka pupus sahaja. Yang lahir selepas 2007 akan melahirkan generasi bebas rokok.

Mungkin kita boleh mencontohi New Zealand. Sasaran mereka pada 2025 akan menjadi negara bebas rokok. Sekarang pun hanya beberapa peratus sahaja orang dewasa merokok.

Cuma agak membimbangkan adalah rokok elektronik. Saya pun tidak tahu apa faedahnya rokok elektronik.

Ada yang kata boleh mengekang ketagihan rokok biasa. Ada juga kata tidak ada kesan nikotin. Ada pun sikit sahaja.

Entah saya pun tidak tahu tetapi harganya pun mahal. Ramai juga orang muda menghisap rokok alaf baharu ini.

Hasrat kerajaan itu mungkin ramai yang menyokong terutama golongan tidak merokok.

Mereka tidak mahu berkongsi udara tercemar. Mereka adalah golongan rokok pasif yang tidak mahu menghisap asap second hand.

Pada pendapat saya, tindakan terdekat yang mungkin boleh dibuat adalah tidak membiarkan rokok dijual secara terbuka.

Semua iklan dan papan iklan jangan dipamerkan di kedai.

Letakkan rokok di tempat kotak atau rak tertutup. Kalau ada yang hendak membeli, baru dibuka rak atau kotak tersebut.

Lama-lama orang akan maklum bahawa susah hendak membeli rokok.

Seperti di Makkah dan Madinah, tidak ada kedai menjual rokok.

Kalau hendak membeli rokok, perlu berbisik-bisik dan menggunakan bahasa isyarat dengan pekerja hotel yang terdiri daripada rakyat Bangladesh atau Indonesia.

Aktiviti membeli berlaku secara tersembunyi. Apabila sudah ada stok rokok, mereka akan berbisik atau memberi isyarat.

Mereka akan hantar rokok secara berhati-hati supaya tidak diketahui oleh pihak berkuasa.

Namun, perkara baik mahu dibuat oleh kerajaan hendaklah disokong.

Tidak perlulah bercakap tentang hak kebebasan berdasarkan perlembagaan atau merupakan pendapatan negara.

Yang tidak menyokong terutama mereka yang ada kepentingan sama ada kepentingan dalam syarikat rokok atau kepentingan menyedut asap rokok, biarkan sahaja mereka mereput.

Untuk kerajaan pula, bak kata pepatah, tunggang hilang, berani mati.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Klik di sini untuk terus membaca