SERAMAI 390,000 pelajar atau 72.1 peratus daripada jumlah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih tidak sambung belajar.
Menurut dapatan data 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, trend tersebut dijangka berlanjutan hingga 2021.
Itu pilihan mereka. Pelbagai reaksi masyarakat menyusul. Persoalan mula timbul, kenapa begitu ramai anak muda tidak berminat untuk mencapai pendidikan tinggi?
Ada melihat fenomena itu bakal memberi impak negatif kepada produktiviti negara kerana golongan berkenaan tidak mampu mengisi peluang pekerjaan yang memerlukan kelayakan lebih tinggi daripada SPM.
Namun, pada masa sama dengan meninjau secara mata kasar, golongan muda tidak pernah ketandusan peluang pekerjaan.
Jejak mereka di alam kerja boleh dikesan sejak beberapa tahun lalu dalam pelbagai sektor perkhidmatan seperti francais kosmetik dan pakaian, logistik serta restoran makanan segera, malah mereka juga adalah tenaga utama khidmat penghantaran makanan.
Jelaslah orang muda masih menyumbang kepada produktiviti ekonomi. Mungkin mereka bukan doktor atau peguam tetapi sekiranya doktor dan peguam ingin memesan makanan menerusi aplikasi di peranti, orang mudalah yang biasanya menerima dan menghantar pesanan mereka.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan pernah mengakui berlaku peningkatan jumlah penyertaan masyarakat khususnya belia yang celik teknologi dalam ekonomi gig selepas penularan pandemik Covid-19.
Kemunculan platform digital menawarkan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk mencipta pendapatan bagi mengurangkan beban mereka hadapi ketika musim pandemik.
Golongan muda yang pintar memanfaatkan aplikasi peranti dan media sosial mampu menjana pendapatan sebelum mereka menjadi dewasa.
Dalam suasana ekonomi masih belum pulih sepenuhnya daripada impak pandemik, maka wujudlah budaya baharu. Ramai memilih menambah pendapatan berbanding opsyen menghabiskan masa bertahun-tahun di institusi pendidikan tinggi (IPT) demi segulung ijazah.
Kemunculan budaya baharu itu mungkin sukar diterima oleh golongan dewasa yang melengkapi fasa remaja mereka di IPT.
Namun, jika kita melihat kembali detik-detik suram ketika negara dilanda pandemik sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan untuk satu jangka masa lama, mungkin budaya anak muda tidak cenderung melanjutkan pelajaran lebih mudah difahami.
Musibah Covid-19 dan PKP telah mengakibatkan ratusan ribu isi rumah kehilangan sumber pendapatan, dipotong gaji dan diberhentikan kerja, selain berdepan bebanan pelbagai komitmen kewangan.
Sama ada kita sedar atau tidak, ramai anak muda menjadi saksi hidup kepada pengalaman perit tersebut. Mereka melihat dari dekat kesengsaraan yang menghantui ibu bapa mereka sewaktu PKP.
Pengalaman perit sebegitu pasti memberi impak terhadap persepsi orang muda mengenai kewajaran untuk melanjutkan pelajaran yang sudah tentu akan menambah kos sara hidup keluarga.
Bagaimanapun, persepsi tersebut tidak semestinya bermaksud orang muda tidak mahu berjaya dalam hidup. Tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM tidak bermakna mereka telah gagal.
Mereka mempunyai pilihan sendiri sama ada bekerja atau mengambil kursus kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh pelbagai institusi latihan teknikal.
Maka, jangan kita nafikan hak orang muda dalam mengeksplorasi dimensi hidup dengan pembawaan budaya dan persepsi baharu. Hulurkanlah bimbingan dan sokongan sehingga mereka memperoleh kejayaan.
Siapalah kita mahu memperbetulkan orang muda sekiranya dalam kalangan kita masih ramai yang memuja dan memuji penjenayah rasuah dengan perasaan megah serta bangga?
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca