SHAH ALAM - Kerajaan telah membayar berbilion ringgit untuk projek kapal tempur pesisir pantai (LCS), tetapi tiada satu pun yang disiapkan sehingga kini! Itulah ketirisan dan kegagalan projek mega yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan telah membayar berbilion ringgit untuk projek kapal tempur pesisir pantai (LCS), tetapi tiada satu pun yang disiapkan sehingga kini!

Itulah ketirisan dan kegagalan projek mega yang menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lantaran itulah, Ahli Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Kapten Dr Wong Ang Peng mendesak kerajaan membatalkan sahaja projek LCS untuk mengelakkan daripada membuat lebih banyak kerugian.

"Setelah mengambil kira hutang sekitar RM5 bilion dan pasukan projek lama yang gagal dan kini mengambil alih semula, sebaiknya negara batalkan sahaja projek LCS.

"Pasukan yang pernah gagal sebelum ini tidak mungkin berjaya kali ini. Lupakan sahaja projek LCS. Fokus negara kini adalah membina semula ekonomi terlebih dahulu,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Teknologi, rekaan basi

Tegas Ang Peng yang juga ahli Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), sekiranya projek LCS yang telah dimulakan sejak 2011 itu mahu diteruskan, maka ia perlu ditambah baik dan mengikut prototype blueprint ditetapkan.

Ini kerana katanya, perancangan dan rekaan projek yang mahu dibangunkan sejak 2011 itu, sudah out-of-dated atau basi, tidak mengikut perkembangan terkini kemajuan ketenteraan laut peringkat global.

Selain itu menurutnya lagi, perkara melibatkan calculate engineering dan centre of gravity perlu melalui proses recalculate atau pengiraan semula, selain rekaan juga perlu dibuat baharu.

Katanya, reka bentuk struktur untuk projek LCS itu juga mungkin sudah tidak boleh diguna pakai lagi ketika ini.

"Kalau hendak teruskan juga projek LCS tersebut, kita kena redesign dan buat engineering calculation semula.

"Namun perlu diingat kos baharu untuk enam buah kapal juga pastinya akan melambung tinggi. Negara kita tidak ada wang melainkan kena menerbitkan lagi bon bagi tujuan tersebut,” katanya.

Kata Ang Peng, ramai yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek LCS termasuk Menteri Pertahanan, Setiausaha Kementerian Pertahanan, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), ketua pasukan projek LCS dan juruaudit pada masa itu.

Tegasnya, apa yang lebih mendukacitakan kegagalan projek LCS itu bakal memberi kesan terhadap persiapan sistem pertahanan negara menjaga kedaulatan wilayah laut daripada diceroboh.

"Perairan negara yang panjang memerlukan sistem pertahanan ampuh dan mempunyai kelengkapan terbaik bagi membuat pemantauan berterusan sama ada pada waktu siang atau malam, maka ia tidak boleh diambil mudah.

"Persoalan adakah kawalan keselamatan perairan negara akan terjejas pada jangka masa panjang berikutan penyelewengan ini, saya katakan ya. Memang kan terjejas,” kata Ang Peng.

Projek kapal tempur pesisir pantai 'dirompak' ahli korporat, politik

Sementara itu, penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, bukan sahaja satu perkhabaran menyedihkan buat sistem pertahanan negara, malah ia mampu menjejaskan kemampuan terbaik pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seandainya dakwaan penyelewengan berhubung pengendalian projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) benar-benar berlaku.

Ini kerana katanya, blue print pembangunan TLDM telah menetapkan konsep ‘15 to 5’ sebagai tulang belakang pertahanan maritim negara.

Menurutnya, sebarang gangguan sepanjang tarikh perolehan dan penerimaan aset mana-mana platform dalam kategori 5 itu bakal mewujudkan kelompongan pada kemampuan hakiki TLDM.

Muhammad Fuad

"Konsep 15 to 5 ini bukan dirangka sebagai satu perniagaan atau projek industri, sebaliknya ia adalah untuk sistem pertahanan negara.

"Ia adalah cadangan daripada pakar-pakar doktrin, strategi, konsep operasi serta kemampuan platform bagi menghadapi ancaman hari ini dan mendatang.

"Malah projek ini juga telah dirumus oleh panglima-panglima dan pegawai operasi TLDM, bukannya oleh orang korporat atau ahli politik.

"Malangnya jika dibaca menerusi laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), program ini telah ‘dirompak’ oleh golongan tersebut,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel menegaskan, kejadian tersebut bukan perkara pertama yang pernah berlaku melibatkan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Katanya, sebelum ini pernah tercetus skandal Kementerian Pertahanan Malaysia melibatkan pembelian kapal selam kelas Scorpene yang didakwa berlaku sogokan ke atas penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

Cynthia

Menurutnya, kes melibatkan projek LCS yang meletus pada masa sekarang adalah skandal yang paling besar kerana melibatkan kehilangan wang rakyat sebanyak RM6 bilion.

Apa yang menyedihkan jelasnya, Menteri Pertahanan juga tidak memberi maklum balas secara bertanggungjawab, malah tidak dikenakan apa-apa tindakan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami di C4 memuji PAC kerana berani membuka jalan untuk rakyat mengetahui perkara sebenar berhubung skandal tersebut, sekali gus dilihat mampu mendesak untuk Parlimen mengadakan urgent motion (usul tergempar) berhubung skandal ini.

"Kementerian Pertahanan Malaysia perlu membina akauntabiliti dalam sistem perolehan mereka dan perlu tahu bahawa tindakan setimpal akan diambil sekiranya terdapat unsur rasuah.

"Malah kami di C4 merasakan satu kewajaran untuk Menteri Pertahanan ketika itu didakwa dan dibicarakan kerana menyebabkan kerugian besar dana awam,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca