SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia kekurangan akauntan bertauliah bumiputera berikutan golongan itu kurang didedahkan mengenai kepentingan mendapatkan sijil profesional perakaunan daripada The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, ibu bapa terutama dalam kalangan bumiputera lebih melihat kepentingan untuk memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan sahaja berbanding menghadiri kursus profesional perakaunan.
"Keadaan ini juga berlaku disebabkan oleh persekitaran di mana majoriti orang Melayu kita tidak terdedah dengan itu (kursus profesional). Kita tidak pernah dengar mengenai ACCA ini.
"Jadi, ini adalah sesuatu yang perlu diberi pendedahan dan cabaran kami di MyPAC untuk menguar-uarkan mengenai kebaikan mengambil bidang profesional ini,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, kini terdapat lebih 22,000 akauntan bertauliah di Malaysia, bagaimanapun bilangan bumiputera terlibat amat kecil iaitu tidak sampai 10 peratus daripada jumlah tersebut.
"Apabila kita memulakan projek ini pada tahun 2015, cuma terdapat 1,554 akauntan bertauliah. Sekarang sudah lebih 2,000 orang tapi masih kurang jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain.
"Peratusannya tidak sampai 10 peratus, sedangkan bumiputera mewakili 70 peratus daripada rakyat Malaysia. Jadi, ia tidak seimbang.
"Kami ada membuat kajian semula kenapa tidak ramai bumiputera menjadi akauntan bertauliah. Sebenarnya bukan sebab mereka kurang pandai, tetapi kerana persekitaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaiton turut menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 30 peratus akauntan bertauliah bumiputera dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Alhamdulillah, kita tengok sekarang ramai akauntan bertauliah bumiputera memegang jawatan yang baik dalam organisasi. Tetapi, kena ada perancangan. Siapa nak mewarisi tempat-tempat (jawatan tinggi dalam organisasi) yang kami pegang sekarang?
"Sekarang industri perniagaan dan kewangan sangat mencabar. Misalnya, kita ada Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) serta Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang mana ini semua memerlukan akauntan bertauliah.
"Jika pada masa depan tidak ada bumiputera yang berkelayakan, kita terpaksa ambil mereka yang bukan bumiputera. Kita tidak mahu melihat ia terjadi,” katanya.
Tambah Zaiton, jawatan-jawatan tinggi dan penting seperti ketua pegawai kewangan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi kewangan serta korporat penting kini sememangnya memerlukan mereka yang mempunyai ACCA.
"Di mana anak-anak Melayu yang berkelayakan dalam bidang profesional ini, jika kita tidak menyediakannya dari sekarang?” kata beliau.
Pemegang sijil ACCA layak terajui organisasi penting negara
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, akauntan bertauliah bumiputera yang mempunyai sijil profesional daripada The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) layak menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi kewangan penting di Malaysia.
Menurutnya, sudah terbukti semakin ramai bumiputera yang mempunyai kelulusan ACCA kini memegang kedudukan tinggi dalam organisasi.
Beliau berkata, antara jawatan tersebut ialah ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan dan ahli lembaga pengarah kerana golongan itu yang menentukan hala tuju institusi penting dalam negara.
"Peluang amat luas sekiranya kita mempunyai kelulusan ACCA kerana ia merupakan kelayakan perakaunan profesional bertaraf antarabangsa yang beribu pejabat di United Kingdom (UK). Akauntan bumiputera dengan kelulusan ACCA sememangnya ‘laku keras’ di pasaran.
"Justeru, kita amat menggalakkan anak-anak bumiputera terutamanya daripada asnaf dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk merebut peluang mengambil kursus ACCA di MyPAC,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Zaiton, pihak majikan turut mengakui mereka memerlukan lebih ramai akauntan yang mempunyai kelayakan profesional.
Pada masa kini, katanya, graduan di bawah MyPAC yang mendapat kelulusan ACCA memang mudah mendapat kerja di firma perakaunan besar negara, malah ada juga yang sedang berkhidmat di organisasi luar negara.
"Sebagai seseorang yang ingin berjaya, kita perlu bekerja keras. Ijazah Sarjana Muda Perakaunan memang bagus tetapi kenapa tidak tambah lagi satu faktor yang menjadikan lebih dikehendaki oleh majikan di luar sana,” katanya.
Tambah beliau, selain mendapatkan sijil daripada ACCA, MyPAC turut menekankan aspek integriti berikutan perakaunan merupakan satu bidang yang berlandaskan integriti.
"Kita mahu masa depan baik untuk anak-anak yang dididik oleh MyPAC. Kita ingin mereka menjadi akauntan yang berintegriti kerana kita tahu terdapat juga akauntan profesional yang buat kerja tidak betul di luar sana.
"ACCA turut mengandungi modul etika iaitu sekiranya pelajar gagal dalam modul tersebut, mereka tidak dibenarkan menjadi ahli ACCA. Ini menunjukkan betapa pentingnya etika bagi seorang akauntan profesional kerana tugas kita berlandaskan kewangan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca