SHAH ALAM - Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) melahirkan kira-kira 1,000 pelajar berkelulusan sijil perakaunan profesional Associated of Chartered Certified Accountants (ACCA) sejak tahun 2015. Pengerusi MyPAC, Datuk Faiz Azmi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) melahirkan kira-kira 1,000 pelajar berkelulusan sijil perakaunan profesional Associated of Chartered Certified Accountants (ACCA) sejak tahun 2015.

Pengerusi MyPAC, Datuk Faiz Azmi berkata, daripada jumlah itu, seramai 40 pelajar merupakan pemenang hadiah global ACCA, sekali gus membuktikan graduan mempunyai masa depan cerah di peringkat antarabangsa.

"Pengiktirafan tersebut menunjukkan strategi MyPAC dalam menyediakan platform Akauntan Profesional Bumiputera (BPA) serta kualiti pengajian disediakan MyPAC amat baik.

"Kita sentiasa ingatkan pelajar supaya berusaha lulus dalam peperiksaan ACCA kerana dengan sijil tersebut, mereka bukan sahaja menjadi akauntan profesional, malah boleh membina perniagaan sendiri.

"Justeru, peranan MyPAC adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai lebih ramai graduan bumiputera yang lulus ACCA pada masa akan datang,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Jumaat.

Mengenai MyPAC, Faiz berkata, organisasi yang ditubuhkan pada Januari 2015 itu dibangunkan berdasarkan saranan Institut Akauntan Malaysia (MIA) kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (BPC).

Beliau berkata, peranan MyPAC adalah untuk melahirkan BPA dengan menyediakan peluang mengikuti pensijilan perakaunan profesional sebelum mereka layak sebagai akauntan profesional.

"Kita bekerjasama dengan rakan kongsi teknikal yang diiktiraf di peringkat global, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC), institusi pengajian tinggi serta agensi profesional untuk membangunkan program komprehensif dan holistik yang memupuk calon berpotensi di seluruh dunia.

"MIA hanya menarafkan sembilan organisasi untuk mengiktiraf akauntan bertauliah. MyPAC menggunakan ACCA sebagai syarat kelayakan, namun turut menyediakan kursus untuk Malaysian Institute of Certified Publics Accountants (MICPA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) mengikut permintaan pembiaya,” ujarnya.

Malah, Faiz berkata, MyPAC kini dibiayai oleh 24 buah organisasi untuk menaja pelajar berpendapatan rendah (B40) dan asnaf mengikuti pengajian bagi mendapatkan sijil ACCA.

Malah, katanya, terdapat juga pembiaya daripada pusat zakat yang menaja golongan berkenaan mengikut kriteria diperlukan.

"Justeru, kepada golongan ibu bapa, saya mengharapkan mereka mendorong anak-anak untuk mengikuti pengajian ACCA dengan melihat bidang ini sentiasa mendapat tempat dalam industri untuk tempoh 20 tahun akan datang.

"Pelajar yang mempunyai sijil ACCA boleh mendapat kerja di mana-mana sahaja termasuk pasaran luar negara seperti di Hong Kong, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura kerana standard kita mengikut peringkat antarabangsa,” katanya.

Tidak sesukar mana, cuma perlu kesungguhan

Sementara itu, graduan lulusan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) berjaya menyelesaikan peperiksaan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) hanya dalam tempoh setahun.

Ahmad Nabil Mohd Ashar, 27, yang kini menjawat jawatan Senior Associates Assurance di PricewaterhouseCoopers (PwC) berkata, dengan kelulusan itu, beliau dapat membantu meringankan beban keluarganya yang merupakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, stigma golongan B40 perlu terus mencari pekerjaan selepas memperoleh ijazah sarjana muda sebenarnya perlu diubah.

Ahmad Nabil

"Anak-anak muda B40 dilihat tidak mengambil peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih profesional. Kebanyakannya akan mempunyai persepsi cukup sekadar mendapatkan segulung ijazah, sedangkan kalau ada azam dan usaha, kita boleh lagi sambung ke peringkat yang lebih tinggi.

"Adakah selamanya kita nak kekal di tempat yang sama? Ini masanya untuk kita lebih berdikari dan bina masa depan lebih cerah untuk diri serta keluarga sebab kalau kita tetap nak mengharapkan bantuan, sampai bila?

"Saya sendiri datang daripada keluarga B40. Keluarga tidak tahu pun apa itu ACCA, namun saya bersyukur mereka tidak pernah menghalang niat untuk mendapatkan ACCA selepas tamat belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2019,” katanya..

Malah, Ahmad Nabil turut berjaya menerima pengiktirafan tempat pertama di Malaysia dan tempat kelapan di dunia dalam peperiksaan Advanced Audit and Assurance (AAA) pada tahun 2018.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kos yang tinggi untuk menghadiri kursus profesional terutama bertaraf antarabangsa menyebabkan ramai keluarga B40 dan asnaf terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Eksekutif Audit, Imran Izzuddin Hasni, 26, berkata, persepsi masyarakat terutama pelajar perakaunan mengenai pengajian sijil profesional ACCA adalah sukar perlu diubah.

Menurutnya, stigma tersebut merupakan pandangan lapuk kerana setiap pengajian mempunyai tahap kesukaran tersendiri dan memerlukan kesungguhan pelajar untuk menempuhnya.

Imran Izzuddin

"ACCA tidak sukar seperti yang didakwa orang ramai. Mungkin sesetengah individu beranggapan ia sukar kerana pembelajaran mengikut standard antarabangsa.

"Tapi sebenarnya tiada masalah kalau kita (pelajar) memang betul-betul minat dengan perakaunan dan yakin akan kebolehan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Imran Izzudin merupakan pelajar graduan ACCA tajaan Tabung Haji (TH) yang menamatkan pengajian dalam bidang profesional berkenaan pada April lalu di Kolej Pendidikan INTEC dan kini berkhidmat di sebuah firma audit di Bangi, Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca