SHAH ALAM - Perlaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terhadap generasi muda dilihat tepat pada masanya dalam usaha mewujudkan generasi bebas rokok di masa akan datang. Pejuang kanser, Shamsul Rizal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perlaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 terhadap generasi muda dilihat tepat pada masanya dalam usaha mewujudkan generasi bebas rokok di masa akan datang.

Pejuang kanser, Shamsul Rizal Ramli berkata, kesedaran mengenai bahaya rokok perlu dilakukan di peringkat kanak-kanak lagi kerana golongan ini lebih mudah untuk menerima nasihat dan teguran daripada orang dewasa.

"Apabila saya berceramah di hadapan golongan dewasa atau perokok tegar, ibarat seperti mencurahkan air ke daun keladi, penerimaan sangat minimum dan itulah risikonya.

"Berbanding ketika saya berceramah di sekolah-sekolah, sambutan lebih baik kerana apabila mereka (murid-murid) tengok keadaan saya, akan timbul rasa takut.

"Selepas habis ceramah saya akan dapat maklum balas daripada guru-guru yang mengatakan sekurang-kurangnya dapat tunjuk contoh kepada murid di peringkat awal akibat merokok dan kesannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Di Sebalik Isu bersama Finaz Yunus dengan tajuk 'Masihkah ada harapan buat generasi bebas rokok' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Program tersebut turut menampilkan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noraryana Hassan; peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Naib Presiden 3 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Mohd Firdaus Md Razali sebagai panel jemputan.

Shamsul Rizal berkata, pihaknya sentiasa positif dan menyokong perlaksanaan RUU bertujuan melahirkan generasi penamat (GEG) yang lebih baik dan sihat.

"Bagi golongan dewasa dan perokok, kita tidak abaikan malah sentiasa menggalakkan mereka untuk berhenti merokok, namun fokus RUU ini adalah kepada generasi baharu atau GEG.

"Saya sangat berharap RUU ini segera diluluskan dan diterima oleh semua golongan masyarakat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca