KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO disambut baik oleh pemegang jawatan dalam parti tersebut.
Setelah melebihi 70 tahun usianya, ternyata UMNO belum berupaya berpolitik secara matang dan menerima kekalahan dalaman secara terbuka.
Namun, kebimbangan terbesar buat Barisan Nasional (BN) adalah tanggapan pengundi non partisan (atas pagar) mengenai kembalinya regu pemimpin yang ditolak mereka pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
UMNO begitu yakin rakyat akan mengundi BN kerana hasil kekalutan politik negara di bawah Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14. Kekecewaan pengundi terhadap PH telah dijadikan galang ganti untuk mengekalkan pemimpin BN sedia ada walaupun berdepan per-bicaraan mahkamah.
Dilema pengundi atas pagar adalah mengundi PH mungkin akan mengulangi masalah lalu, manakala mengundi BN akan membolehkan pemimpinnya yang mempunyai kes mahkamah mendabik dada, seolah-olah pengundi menyatakan mereka tidak bersalah.
Di mana janji pemimpin UMNO selepas kalah PRU14 bahawa parti telah sedar kemarahan pengundi dan akan membawa imej parti yang baharu serta meyakinkan buat rakyat.
Berdasarkan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO begitu yakin rakyat akan tetap menyokong mereka walaupun pemimpin utamanya berdepan pertuduhan rasuah.
Adalah sangat berbahaya untuk BN mengukur sokongan itu sebagai tanda kebolehterimaan pengundi atas pagar terhadap kepimpinan parti yang sedang berdepan kes mahkamah pada PRU nanti.
Kesilapan sama dilakukan pada PRU14 apabila trend kemenangan PRK Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak serta Sungai Besar, Selangor dijadikan bukti penerimaan kepimpinan negara ketika itu. Akibatnya semua orang tahu.
Sokongan pengundi atas pagar pada PRK lebih kepada isu semasa dan calon bertanding.
Namun, apabila memasuki PRU, soal tampuk kepimpinan juga akan menjadi ukuran untuk memangkah logo parti terutama dalam kalangan pengundi non partisan.
Jika PRU diadakan tahun ini, terdapat 21 juta pengundi yang akan memilih dan menentukan hala tuju negara pada masa akan datang. Jumlah pengundi setia BN hanyalah sekitar 3.5 juta orang.
GUGUR
Sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanding, mereka akan terus dilihat sebagai pemimpin yang akan memimpin negara walaupun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan poster boy.
Adakah pengundi atas pagar yang menolak BN pada PRU lalu telah bersedia kembali mengundi kepimpinan sama? Ia tindakan yang sangat berisiko untuk diambil BN.
Tidak dapat dinafikan, mereka berjasa kepada parti dan mempunyai sokongan kuat dalam parti. Mereka juga hampir pasti akan menyumbang dua kerusi Parlimen dengan mudah. Namun, tindakan itu akan memberi kesan negatif kepada BN di tempat-tempat lain.
Setelah berpuluh tahun disokong oleh pemimpin lain, ramai terkorban, mengorbankan dan dikorbankan dalam proses pendakian kuasa. Apa salahnya kali ini Ahmad Zahid dan Najib pula berkorban untuk parti.
Presiden UMNO dengan garang menyatakan beliau bersedia menggugurkan para warlords dalam UMNO daripada menjadi calon PRU. Tiada siapa menafikan keberanian Ahmad Zahid menggugurkan pemimpin bahagian.
Soalnya, apakah Presiden ada keberanian untuk turut menggugurkan dirinya dan Najib daripada menjadi calon PRU?
Jika itu dilakukan, pasti UMNO akan mengenang Ahmad Zahid sebagai pemimpin berjiwa besar yang sanggup mengorbankan dirinya demi kepentingan perjuangan parti.
Jika sebaliknya dan parti kalah sekali lagi, Ahmad Zahid akan diingat sebagai pemimpin yang menggunakan parti untuk kepentingan peribadi.
UMNO masih mempunyai ramai pemimpin yang telah bersedia menggalas tanggungjawab itu – Datuk Seri Mohamad Hasan, Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sehinggalah kepada generasi lapisan kedua seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Soalnya, adakah UMNO akan sedar secara sendiri atau memerlukan satu lagi pukulan rakyat untuk menyedarkannya?
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca