ADAKAH Iraq akan mengadakan pilihan raya umum sekali lagi selepas ia diadakan lebih awal pada 10 Oktober tahun lalu? Persoalan itu timbul selepas tiada parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

ADAKAH Iraq akan mengadakan pilihan raya umum sekali lagi selepas ia diadakan lebih awal pada 10 Oktober tahun lalu?

Persoalan itu timbul selepas tiada parti yang mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan berdasarkan kepada keputusan pilihan raya tersebut.

Setelah lebih tujuh bulan pilihan raya diadakan dengan melibatkan kos lebih AS$300 juta (RM1.3 bilion), negara itu mengalami kebuntuan politik kerana ahli-ahli Parlimennya gagal mencapai satu perjanjian bagi membentuk kerajaan.

Ia menyebabkan negara berkenaan tidak mempunyai ketua negara atau kabinet rasmi selepas lebih 290 hari pilihan raya umum diadakan.

Kebuntuan terakhir yang paling lama adalah pada 2010 tetapi akhirnya Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki dipilih memegang jawatan tersebut buat penggal kedua setelah 289 hari negara tersebut mengadakan pilihan raya umum.

Sebanyak 329 kerusi Parlimen dipertandingkan pada pilihan raya itu dan ia diadakan lebih awal berbanding tarikh sepatutnya diadakan iaitu pada 2022.

Ia diadakan selepas protes prodemokrasi pimpinan golongan belia diadakan pada akhir 2019. Mereka marah terhadap rasuah dan tadbir urus kerajaan yang tidak berkesan serta gagal memenuhi aspirasi kira-kira 40 juta penduduk Iraq dengan 60 peratus daripadanya berumur di bawah 25 tahun.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Iraq menyatakan hanya kira-kira 44 peratus atau 9.6 juta orang yang keluar mengundi kerana ramai pengundi yang memboikot pilihan raya tersebut disebabkan tidak berpuas hati dengan kelas politik di negara itu.

Mustafa Al-Kadhimi

Pilihan raya tersebut juga diadakan selepas ratusan penunjuk perasaan prodemokrasi mati ditembak terutama oleh kumpulan militia dan pasukan keselamatan berkaitan dengan Iran tetapi turut mempunyai kaitan dengan parti berfahaman Syiah dalam protes itu.

Ia juga diadakan seperti dijanjikan oleh pemerintahan Perdana Menteri sementara yang juga seorang ahli politik dan bekas ketua perisikan negara itu, Mustafa Al-Kadhimi yang memegang jawatan berkenaan bagi menggantikan Adel Abdul Mahdi pada November 2019 susulan protes berdarah tersebut.

TIDAK DAPAT MAJORITI

Namun, parti ulama Syiah, Moqtada Sadr diisytiharkan memenangi 73 kerusi daripada 329 kerusi di Parlimen tetapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Moqtada

Seramai 74 ahli Parlimennya kemudian meletakkan jawatan selepas beliau gagal membentuk kerajaan.

Moqtada juga tidak bersetuju dengan pencalonan musuh ketatnya, Nouri sebagai calon Perdana Menteri dan menuduhnya mengamalkan rasuah.

Beliau juga menentang pencalonan Mohammed Shiya al-Sudani yang merupakan bekas menteri untuk jawatan Perdana Menteri kerana beliau adalah sekutu Nouri.

Moqtada yang pernah mengetuai militia anti-Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai berjuta-juta pengikut setia juga menyatakan bahawa beliau tidak berminat berunding dengan pesaingnya dalam isu politik itu.

Penyokong-penyokongnya telah menyerbu Parlimen di Baghdad baru-baru ini dan mendirikan khemah serta gerai makanan di luar bangunan tersebut.

KEBUNTUAN POLITIK

Pengikut Moqtada menyerbu Parlimen selama beberapa hari bagi menentang pencalonan Mohammed Syia sebagai calon Perdana Menteri.

Ketika kebuntuan politik itu belum dapat dileraikan, Moqtada menuntut pada Rabu supaya Parlimen dibubarkan dan pemilihan nasional baharu diadakan semula.

Beliau menggesa proses revolusioner dan kemudian pilihan raya secara demokratik diadakan selepas pembubaran Parlimen.

Ucapannya yang disiarkan di televisyen dibuat ketika gesaan untuk berdialog semakin rancak selepas para penyokongnya menduduki Parlimen sebagai protes terhadap pencalonan Perdana Menteri oleh puak Syiah.

Pemilihan Presiden baharu bagi menggantikan Barham Salih juga bermasalah kerana Mahkamah Agung Iraq telah menghalang ahli politik veteran, Hoshyar Zebari daripada bertanding jawatan tersebut selepas aduan difailkan terhadapnya atas tuduhan rasuah.

Bagaimanapun, Parlimen hanya boleh dibubarkan dengan undi majoriti berdasarkan perlembagaan negara itu.

Undian sedemikian boleh dilakukan atas permintaan sepertiga penggubal undang-undang atau oleh Perdana Menteri dengan persetujuan Presiden.

Namun, setakat ini Kadhimi telah menggesa satu dialog nasional dalam usaha untuk membawa semua pihak bersama-sama berbincang mengenai masalah kebuntuan politik tersebut dan beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden Iraq.

Kedua-dua pemimpin tersebut menekankan kepentingan menjamin keselamatan dan kestabilan di negara itu, menurut Iraqi News Agency.

Buat masa ini, pilihan raya umum Iraq itu bukan membawa penyelesaian terbaik tetapi masalah kebuntuan politik yang masih belum dapat diselesaikan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca