KITA terlalu bergantung dengan makanan import untuk kegunaan manusia dan haiwan. Sebelum kita dapat makan sebiji telur atau daging, kita terpaksa mengimport bahan makanan untuk haiwan tersebut. Kita tidak mengeluarkan bahan-bahan itu dengan... Klik di sini untuk terus membaca

KITA terlalu bergantung dengan makanan import untuk kegunaan manusia dan haiwan. Sebelum kita dapat makan sebiji telur atau daging, kita terpaksa mengimport bahan makanan untuk haiwan tersebut.

Kita tidak mengeluarkan bahan-bahan itu dengan mencukupi, jadi tidak hairanlah harga telur, ayam dan daging tempatan mahal, malah lebih mahal daripada bahan sama yang diimport.

Ini kerana kita bukan sahaja mengimport bahan makanan untuk haiwan ternakan tetapi kita turut mengimport pekerja bagi memelihara haiwan tersebut.

Kita boleh terus mengimport makanan dan berhenti mengeluarkan makanan sendiri tetapi risikonya besar.

Semua negara seboleh-bolehnya mahu mengeluarkan sendiri sebanyak mungkin bahan makanan. Pertama, untuk memenuhi permintaan sendiri dan kedua, dijual bagi memperoleh mata wang asing.

Semua negara di dunia ada dasar dan rancangan dikenali sebagai jaminan atau keselamatan makanan iaitu mempunyai bekalan mencukupi bagi mengelak kehabisan makanan.

Malaysia sudah lama mengamalkan dasar tersebut dengan belanja besar tetapi akibat rasuah, ketirisan, ketidakcekapan dan cakap tidak serupa bikin, matlamatnya tidak tercapai.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai mentakrifkan keselamatan bekalan makanan mengikut definisi Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) 1974 ialah apabila semua orang mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada bekalan makanan mencukupi, selamat serta berkhasiat bagi memenuhi keperluan pemakanan dan pilihan mencukupi untuk kehidupan cergas serta sihat.

ANAK TIRI LUAR BANDAR

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pula berkata, masalah bekalan dan harga makanan ketika ini berpunca daripada kegagalan mengkaji semula serta merombak keseluruhan dasar pertanian negara.

Saya setuju. Selain pertanian ladang yang mengeluarkan hanya dua hasil utama iaitu kelapa sawit dan getah, tiada apa yang boleh dibanggakan atau dianggap istimewa dengan pertanian kita. Malah, dalam banyak hal semakin mundur. Ambil contoh, pengeluaran beras. Selain berbangga dengan sistem pengairan yang sebenarnya hanya half past six, tiada sebarang penambahbaikan untuk prasarana padi sejak lebih lima dekad.

Apa yang dibina pada 1960-an dan 1970-an, itulah yang wujud hari ini. Dari lebih 10 kawasan penanaman padi utama di Malaysia, hanya satu iaitu Sekinchan, Selangor lengkap dengan sistem perparitan tertinggi (tertiary irrigation).

Yang lain, termasuk sistem pengairan terbesar iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), tidak ada sistem paling kritikal itu. Sebab itulah pengeluaran dan mutu beras keluaran Sekinchan adalah terbaik di Malaysia.

Saya tidak putus-putus mempertikaikan dasar kerajaan menganaktirikan kawasan luar bandar. Kerajaan boleh membelanjakan lebih RM50 bilion untuk membina Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Lembah Klang tetapi tidak boleh menaik taraf prasarana pertanian di luar bandar yang jauh lebih murah.

Lebih baik kerajaan berterus terang. Jika berasakan pertanian tidak berpotensi mencapai matlamat dasar keselamatan makanan, carilah jalan lain untuk memenuhi matlamat tersebut.

Dalam jangka pendek dan sederhana, kita boleh menjangkakan harga makanan akan terus naik atas pelbagai sebab.

Pertama, dunia belum pulih sepenuhnya daripada gangguan rantaian pembekalan akibat pandemik. Kedua, kesan jangka panjang pemanasan global yang semakin ketara.

Khusus bagi Malaysia, kejatuhan nilai ringgit, pemulihan kegiatan ekonomi yang masih tersekat akibat birokrasi dan ketidakcekapan kerajaan serta kegagalan menyelia pasaran pengguna akan memberi kesan terus kepada harga makanan.

Dengan wujudnya kekangan itu, dikhuatiri Malaysia mungkin tidak dapat menikmati dengan cepat manfaat penurunan harga makanan di pasaran dunia.

Menurut perangkaan FAO, harga makanan dunia sudah mula turun sejak bulan lalu, 8.6 peratus bulan ke bulan. Harga bijirin turun 11.5 peratus, didahului oleh gandum yang jatuh 14.5 peratus, manakala harga minyak sayur-sayuran jatuh 19.2 peratus dan gula 3.8 peratus.

Namun di Malaysia, harga minyak masak naik kerana kerajaan menghapuskan subsidi.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca