[WAWANCARA] Wanita dan kanak-kanak merupakan golongan yang sering menjadi mangsa terutama melibatkan jenayah seksual, keganasan rumah tangga dan penderaan. Hampir setiap hari kes melibatkan kedua-dua golongan itu dilaporkan di negara ini... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Wanita dan kanak-kanak merupakan golongan yang sering menjadi mangsa terutama melibatkan jenayah seksual, keganasan rumah tangga dan penderaan. Hampir setiap hari kes melibatkan kedua-dua golongan itu dilaporkan di negara ini termasuk Selangor.

Lebih dikesali, kebanyakan kes yang dilaporkan dilakukan oleh individu yang dipercayai dan bertanggungjawab untuk melindungi golongan ini.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki dan Muhammad Afham Ramli bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi.

SINAR HARIAN: Wanita dan kanak-kanak merupakan antara golongan yang sering menjadi mangsa jenayah terutama melibatkan seksual, keganasan rumah tangga dan penderaan. Boleh Datuk jelaskan bagaimana trend jenayah melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak di Selangor?

SASIKALA DEVI:
Kes melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa merupakan antara kes yang setiap hari dilaporkan termasuklah di Selangor dan situasi ini agak membimbangkan.

Berdasarkan statistik Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dari tahun 2018 hingga 2021, sebanyak 45,599 kes direkodkan bagi seluruh kontinjen di Malaysia dan Selangor merekodkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 10,368 (22.74 peratus) daripada jumlah tersebut.

Selain itu, berdasarkan statistik Bahagian D11 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dari Januari hingga Jun lalu, sebanyak 1,336 kes direkodkan. Daripada jumlah tersebut, kes yang paling tinggi dilaporkan adalah melibatkan keganasan rumah tangga (653 kes), rogol (161 kes), kes pengabaian dan penderaan kanak-kanak (156 kes) dan selebihnya (366 kes) adalah lain-lain kes dan daripada jumlah mangsa yang dilaporkan, majoriti adalah golongan wanita dan kanak kanak.

S Sasikala Devi (kanan) ketika ditemubual wartawan Sinar Harian dalam sesi wawancara khas Sinar Ahad di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Kebelakangan ini, media masa kerap kali melaporkan kejadian rogol terutama melibatkan kanak-kanak dan melihat kepada statistik Januari hingga Jun tahun ini, rogol adalah antara kes paling tinggi dilaporkan. Boleh Datuk jelaskan tentang perkara ini?

Kes rogol merupakan antara kes jenayah berat yang merekodkan laporan tertinggi di Selangor. Pada tahun 2021 sahaja, sebanyak 319 kes dilaporkan dan melibatkan 313 tangkapan bagi kes tersebut manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, 161 kes dan sebanyak 121 tangkapan telah dibuat.

Pecahan umur mangsa bagi tahun 2021 pula, jumlah mangsa yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah 26 orang manakala 13 hingga 18 tahun adalah seramai 224 orang, selebihnya 69 orang mangsa berumur 18 tahun ke atas.

Sementara itu, bagi Januari sehingga Jun tahun ini, seramai 20 orang mangsa berumur tujuh hingga 12 tahun manakala dari 13 hingga 18 tahun adalah seramai 103 orang dan selebihnya 38 orang mangsa berumur 18 tahun ke atas.

Lebih membimbangkan apabila aduan yang diterima hampir setiap minggu terdapat kes rogol dilaporkan di Selangor dan majoriti mangsa adalah kanak-kanak. Berdasarkan rekod untuk tahun 2021, seramai 229 suspek berumur 18 tahun ke atas manakala selebihnya 84 orang berumur 13 tahun ke bawah dan bagi Januari sehingga Jun tahun ini, 85 suspek berumur 18 tahun ke atas manakala 36 kes melibatkan suspek berumur 13 hingga 18 tahun.

Bagaimanakah status suspek yang terlibat dalam jenayah ini, adakah suspek dan mangsa saling mengenali antara satu sama lain?

Berdasarkan siasatan pihak polis mendapati kebanyakan kes rogol yang dilaporkan mangsa mengenali suspek. Siasatan pada tahun 2021 mendapati daripada 319 kes yang dilaporkan, 129 kes (40.44 peratus) suspek adalah teman lelaki mangsa manakala 103 orang (32.29 peratus) merupakan kenalan, 61 orang (19.12 peratus) suspek dalam kalangan ahli keluarga dan selebihnya 26 orang (8.15 peratus) suspek mempunyai lain-lain hubungan dengan mangsa.

Bagi Januari hingga Jun tahun ini, daripada 161 kes yang dilaporkan, 65 orang (40.37 peratus) suspek adalah teman lelaki mangsa, 55 orang (34.16 peratus) suspek kenalan mangsa, 30 orang (18.63 peratus) suspek dalam kalangan keluarga mangsa dan selebihnya 11 orang (6.83 peratus) mempunyai lain-lain hubungan dengan mangsa.

Kejadian rogol melibatkan remaja kebanyakannya adalah suka sama suka, namun mengikut peruntukan di bawah Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan, adalah menjadi kesalahan apabila melakukan hubungan seks dengan mangsa berumur di bawah umur 16 tahun walaupun dengan kerelaan mangsa.

Boleh Datuk nyatakan modus operandi yang digunakan suspek untuk memerangkap mangsa?

Modus operandi suspek atau pelaku kebiasaan adalah berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta dan membuatkan mangsa percaya kepada mereka. Kemudian apabila perasaan tersebut dipupuk, suspek mula mengajak mangsa keluar bersama dan dibawa ke tempat yang tidak sepatutnya dan merogol mangsa.

Kebanyakan mangsa keluar bersama suspek tanpa pengetahuan ibu bapa atau penjaga dan memberikan alasan untuk melepak dan bersiar-siar dengan rakan. Ada juga mangsa yang sanggup lari dari rumah semata-mata ingin mengikut suspek terutamanya teman lelaki. Apabila dijumpai, mangsa memaklumkan telah keluar bersama teman lelaki dan turut dirogol. Kejadian rogol yang dilaporkan kebanyakan dilakukan di rumah mangsa atau suspek, hotel serta dalam kenderaan di kawasan sunyi dan tiada orang serta lain-lain tempat.

Berdasarkan siasatan polis, bagaimana mangsa boleh terperangkap dan menjadi mangsa jenayah rogol?

Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh polis, ramai mangsa kes rogol terutama kanak-kanak berkenalan dengan suspek melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatApps dan sebagainya. Terdapat juga kes di mana mangsa keluar bersama walaupun baru mengenali suspek kurang daripada satu minggu serta tidak mengetahui latar belakang suspek selain maklumat yang terdapat di alam maya.

Selain itu, terdapat juga mangsa kanak-kanak yang berkenalan dengan suspek di media sosial dan telah berkomunikasi secara seksual dengan cara bertukar-tukar gambar lucah yang kemudiannya mendorong kepada kejadian rogol dan amang seksual dan lain-lain kes seksual. Bermula dengan perkenalan dan komunikasi di alam maya, mangsa terutama kanak-kanak terpedaya dan percaya kepada suspek dan berani untuk berjumpa dan situasi ini mendedahkan kanak-kanak untuk menjadi mangsa gangguan seksual. Berkomunikasi atau menggalakkan kanak-kanak secara seksual merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan hukuman atas kesalahan tersebut boleh dipenjara selama tidak melebihi tiga tahun.

Adakah apa yang berlaku kepada mangsa menjadi faktor pendorong berlakunya masalah atau gejala sosial lain dan adakah ia perkara yang membimbangkan?

Keadaan ini amat membimbangkan kerana pada usia remaja mangsa telah terdedah kepada hubungan seks bebas dan keadaan ini menyebabkan kes remaja hamil luar nikah, pembuangan bayi dan lain-lain masalah sosial. Daripada kes rogol bawah umur yang dilaporkan, ada dalam kalangan mangsa telah hamil tanpa pengetahuan keluarga dan kejadian diketahui apabila mangsa dirujuk ke pusat perubatan sama ada mengalami masalah semasa hamil atau ingin melahirkan anak.

Kes-kes yang melibatkan pertalian darah dengan suspek kebiasaan akan membuat laporan apabila mereka mengalami tekanan atau kejadian diketahui oleh keluarga. Kebanyakan mangsa mendiamkan diri kerana bimbang sekiranya kejadian yang berlaku tidak dipercayai ahli keluarga lain.

Selain itu, mangsa juga bimbang sekiranya aduan dibuat, hubungan kekeluargaan akan terjejas. Mangsa bertindak merahsiakan kejadian sehinggalah mereka mengalami tekanan atau trauma dan menjejaskan kehidupan seharian. Kebanyakan aduan yang diterima dari mangsa adalah selepas mereka menceritakan kejadian kepada individu yang bukan ahli keluarga seperti guru atau rakan.

Selain kes-kes seksual terhadap kanak-kanak, kes-kes penderaan fizikal dan pengabaian kanak-kanak juga kerap kali didengar dan turut tular di media sosial. Apa pandangan Datuk berkaitan perkara ini?

Kes melibatkan kanak-kanak terutamanya penderaan fizikal mendapat perhatian segenap lapisan masyarakat dan mengundang pelbagai reaksi terutamanya golongan netizen di media sosial terutamanya kes-kes yang tular.

Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak boleh berlaku sama ada di bawah jagaan ibu bapa, pengasuh, taska atau di mana-mana sahaja dan kadang kala kes-kes ini melibatkan kecederaan parah kepada mangsa kanak-kanak dan ada juga yang menyebabkan kematian.

Kebanyakan kes yang dilaporkan terutamanya melibatkan mangsa bayi adalah disebabkan pengabaian dan kecuaian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa seperti kejadian mangsa jatuh semasa jagaan kerap kali terjadi.

Tindakan boleh diambil kepada mana-mana individu yang mempunyai hak pemeliharaan kepada mangsa sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, sekiranya kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga atau orang yang pada masa itu mempunyai hak pemeliharaan terhadap kanak-kanak meninggalkan kanak-kanak berseorangan dalam suatu tempoh dan keadaan yang berpatutan adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 dan hukuman jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Antara kejadian kerap kali terjadi kepada kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan adalah kes kanak-kanak terjatuh bangunan sehingga menyebabkan kematian.

Isu penderaan dan pengabaian di rumah pengasuh dan taman asuhan kerap kali dilaporkan, boleh Datuk ulas lebih lanjut tentang perkara ini?

Berdasarkan rekod D11 JSJ IPK Selangor, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 55 kes yang dilaporkan melibatkan pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak berlaku semasa kanak-kanak di bawah jagaan pihak taska dan rumah pengasuh.

Kebanyakan kes dilaporkan adalah berpunca daripada kecuaian pengasuh seperti kes tersedak susu, jatuh dari tempat tinggi, dicederakan oleh pengasuh atau kanak-kanak lain dan lain-lain dan adakalanya membawa kematian kepada kanak-kanak disebabkan kecederaan dalaman serius seperti pendarahan dalam otak yang tidak dapat dilihat dari aspek luaran fizikal.

Pengasuh diingatkan supaya peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak. Ibu bapa atau penjaga juga perlu bijak dan menyelidik terlebih dahulu tempat anak ingin dihantar dan latar belakang pengasuh melalui saluran betul. Terdapat juga kejadian kanak-kanak yang dihantar didera oleh pengasuh yang dikenali ibu bapa melalui media sosial seperti Facebook. Ibu bapa tidak menyelidik latar belakang pengasuh dan ahli keluarga sebelum menghantar anak mereka. Ibu bapa juga perlu menyemak status taska yang dipilih bagi memastikan anak mereka selamat.

Pihak pengusaha taska juga diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti memilih tempat yang bersesuaian untuk dijadikan pusat asuhan, menempatkan jumlah pengasuh yang berpatutan dengan jumlah kanak-kanak asuhan serta memastikan pengasuh mempunyai kemahiran dalam menguruskan kanak-kanak.

Kegagalan pihak pengusaha taska mendaftarkan taman asuhan dan beroperasi tanpa pendaftaran yang sah adalah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Taman Asuhan Kanak Kanak dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Apakah kaedah digunakan polis dalam siasatan terutama melibatkan kanak-kanak?

Dalam siasatan, kadang kala polis menghadapi kekangan, namun ia bukanlah halangan besar. Polis menerapkan child friendly policing dalam menjalankan siasatan. Pihak polis juga mempunyai child interview center yang berperanan untuk memberi perkhidmatan kepada mangsa atau saksi kanak-kanak bagi mendapatkan keterangan daripada mereka.

Pegawai bertugas juga mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kanak-kanak untuk mendapatkan keterangan mereka bagi membantu siasatan selain pegawai psikologi membantu mangsa atau saksi dari aspek emosi dan psikologi.

Berdasarkan situasi jenayah melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak di negara ini khususnya di Selangor, apakah nasihat Datuk kepada golongan ini dan apakah pendekatan atau mekanisme yang digunakan oleh pihak polis dalam membendung jenayah ini?

Jenayah boleh berlaku di mana-mana sahaja dan mangsa juga boleh terjadi kepada semua golongan termasuk bayi. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani masalah ini. Pihak polis sentiasa tegas dalam jenayah seksual yang berlaku dengan melakukan tangkapan serta memastikan penjenayah seksual dituduh dan mendapat hukuman setimpal.

Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak boleh berlaku sama ada di bawah jagaan ibu bapa, pengasuh, taska atau di mana-mana sahaja.

Golongan wanita dan kanak-kanak terutamanya remaja perlu mempunyai kesedaran supaya tidak memberi peluang dan ruang kepada penjenayah sebagai mangsa. Media sosial merupakan platform mudah penjenayah untuk mencari mangsa. Justeru, penggunaan media sosial secara berhemah perlu diterapkan. Pemantauan ibu bapa terhadap penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak juga perlu dititik beratkan. Ibu bapa juga hendaklah memantau pergaulan dan perkongsian anak-anak di media sosial kerana setiap perkongsian yang dibuat di media sosial menjadi tontonan umum dan secara tidak langsung memberi ruang kepada penjenayah.

Hubungan baik antara ibu bapa dan anak-anak juga perlu diterapkan. Kebanyakan kes seperti keganasan rumah tangga adalah berpunca daripada masalah dalam keluarga itu sendiri yang membawa kepada penderaan fizikal dan mental.

Selain itu, pemantauan dan perhatian terhadap anak-anak juga perlu bagi mengelakkan anak-anak mencari individu untuk mendapatkan perhatian lain selain daripada ahli keluarga. Kebebasan terhadap kanak-kanak terutamanya golongan remaja juga perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu memastikan keberadaan anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan serta keluar bersama.

Golongan remaja atau kanak-kanak juga dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan orang yang baru dikenali terutamanya di media sosial. Elakkan daripada keluar dengan individu yang baru dikenali serta jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu yang diberikan.

Apakah pendekatan atau mekanisme yang digunakan oleh pihak polis dalam membendung jenayah ini?

Seiring dengan perkembangan teknologi dan peningkatan jenayah siber seksual, pihak polis telah mewujudkan satu unit untuk memantau jenayah ini iaitu unit Malaysia Internet Crime Against Children Investigation Unit (MICAC), D11 JSJ Bukit Aman bagi memerangi jenayah internet melibatkan eksploitasi bahan-bahan terlarang kanak-kanak.

Penubuhan MICAC kendalian Bahagian Seksual Dan Kanak-Kanak itu akan menyiasat maklumat diterima dan mencegah penyebaran maklumat gambar seksual, video dan audio melibatkan kanak-kanak dalam internet. Maklumat yang diperoleh oleh MICAD akan disalurkan kepada pihak kontinjen untuk siasatan dan tangkapan dan sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dikenakan tindakan di bawah kesalahan kesalahan yang berhubungan dengan pornografi kanak-kanak sebagaimana peruntukkan dalam Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

Masyarakat juga diingatkan supaya tidak mengakses atau memuat naik apa-apa video atau gambar melibatkan kanak -kanak dan memuat naik gambar kanak-kanak tidak berpakaian atau berpakaian tidak sesuai yang boleh mendedahkan mereka kepada penjenayah pedofilia.

Pelbagai aktiviti advokasi dijalankan dari masa ke masa di segenap masyarakat. Pendedahan tentang jenayah seksual juga telah dibuat di peringkat institusi pendidikan melalui program Child Awareness Campaign (CAC) dan program Women Awareness Campaign (WAC) bagi peringkat komuniti.

Antara program CAC yang telah dijalankan adalah seperti kempen ‘Manisnya Menjadi Gadis’ yang melibatkan golongan remaja perempuan yang diberikan tentang pendedahan tentang kesalahan seksual dan langkah pencegahan.

Klik di sini untuk terus membaca