KUALA LUMPUR - Polis mengesan wujudnya restoran dan kedai makan eksotik yang menawarkan hidangan daging haiwan liar. Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati terdapat aktiviti melibatkan individu... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Polis mengesan wujudnya restoran dan kedai makan eksotik yang menawarkan hidangan daging haiwan liar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan mendapati terdapat aktiviti melibatkan individu tertentu yang mendapatkan sumber daging haiwan liar daripada Orang Asli dan penduduk tempatan dengan menawarkan harga tinggi.

Menurutnya, mereka berselindung daripada penguat kuasa dengan cara mengambil lesen perniagaan hidupan liar tetapi menyajikan haiwan liar tidak dibenarkan seperti daging beruang dan buaya.

"Ada juga kedai makanan eksotik ini menawarkan hidangan haiwan liar kepada pelanggan terpilih sahaja.

"Pelanggan perlu memesan terlebih dahulu melalui telefon atau WhatsApp,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata, polis juga mengesan kegiatan pemburuan gajah bagi mendapatkan gading untuk dipasarkan di Thailand.

Jelas Acryl Sani, warga asing dari Thailand, Vietnam atau Myanmar yang masuk ke negara ini secara haram juga akan memburu haiwan besar seperti harimau.

TULANG HARIMAU

"Bangkai harimau ini akan ditanam di dalam tanah untuk jangka masa lama sehingga mereput bagi mendapatkan tulang, gigi dan tengkorak sebelum diseludup melalui jalan darat.

"Terdapat juga warga asing yang memasuki negara ini secara sah menggunakan pasport tetapi telah menggunakan kemudahan itu untuk memasuki hutan simpan bagi memburu secara haram dan mencari kayu gaharu,’’ katanya.

Tambahnya, perbuatan seumpama itu pernah berlaku di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, Perak di mana warga asing terlibat dibawa memburu haiwan dilindungi oleh orang tengah yang merupakan penduduk tempatan.

Acryl Sani mengingatkan, polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta agensi kerajaan lain akan mengambil tindakan lebih drastik untuk menangkap penjenayah hidupan liar.

"Penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) di bawah PDRM dengan 50 jawatan baharu diluluskan Julai lalu akan terlibat dalam siasatan jenayah hidupan liar.

"Untuk jangka masa panjang, WCB bukan sahaja memberi fokus terhadap jenayah melibatkan sindiket terancang yang aktif di dalam dan luar negara, malah turut memfokuskan usaha PDRM melindungi khazanah flora dan fauna negara,” ujar beliau.

RM195 JUTA

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bermula 2019 hingga Julai lalu berjaya merampas pelbagai spesies hidupan liar bernilai RM195 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, operasi tersebut adalah langkah pemantapan penguatkuasaan kawalan sempadan negara bagi mengekang kegiatan penyeludupan hidupan liar.

Menurutnya, antara kejayaan yang direkodkan adalah rampasan lebih 65 tan kayu merah, enam tan sisik tenggiling, 4,500 ekor burung murai dan lebih 6,000 ekor kura-kura pelbagai spesies.

Katanya, antara faktor kejayaan besar itu adalah susulan pendekatan Koordinasi Pengurusan Sempadan (CBM) yang telah dipraktikkan secara meluas.

"Barisan pegawai juga dilatih untuk bertindak sebagai barisan pertahanan pertama bagi mengesan barang dagangan berisiko tinggi,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca