SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera membawa usul ke Dewan Rakyat sekiranya berhasrat untuk meminda Perlembagaan berkaitan taraf warganegara anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing. Ketua Kluster... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera membawa usul ke Dewan Rakyat sekiranya berhasrat untuk meminda Perlembagaan berkaitan taraf warganegara anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara dan berbapakan warga asing.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, berdasarkan Perlembagaan negara, anak-anak itu tidak boleh mendapatkan taraf warganegara secara automatik melainkan melalui proses perundangan atau permohonan yang panjang.

Justeru, kerajaan perlu membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkataan ‘anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia’ dalam Bahagian II, Jadual Kedua, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

"Memang sejak tahun 1957, peruntukan Perlembagaan mengenai warganegara hanya kalau bapa warganegara, maka anak itu boleh dapat taraf warganegara automatik walaupun ibunya mungkin bukan warganegara.

"Jadi, jika kerajaan serius untuk pinda, usul itu perlu dibawa ke Dewan Rakyat dan perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

"Pada masa sama, kita perlu melalui proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Raja-Raja apabila membabitkan sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Keratan akhbar Sinar Harian.

Mahkamah Rayuan pada Jumaat telah memberikan keputusan 2-1 untuk membenarkan rayuan oleh kerajaan Malaysia, sekali gus menepikan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 9 September 2021 dalam kes Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors.

Mengikut keputusan itu, Mahkamah Rayuan telah memutuskan untuk membenarkan rayuan kerajaan Malaysia untuk tidak memberikan hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang berwarganegara Malaysia.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan mendesak agar kerajaan memulakan usaha membela hak anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu berwarganegara Malaysia secara sama rata, seperti anak yang dilahirkan di luar negara oleh ayah yang berwarganegara Malaysia.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, berdasarkan amalan di kebanyakan negara, kebiasaannya anak yang lahir di luar negara akan dapat kewarganegaraan sebelah bapanya.

"Ada sesetengah negara yang membenarkan dua kewarganegaraan tapi undang-undang negara kita jelas tak boleh. Kalau nak mohon jadi warganegara Malaysia, mereka kena ketepikan taraf warganegara lain.

"Tetapi kalau susur galurnya ibu warganegara tetapi berkahwin dengan warga asing dan lahir di luar negara, ada sedikit kesukaran. Apa yang dia boleh buat adalah melalui proses perundangan atau permohonan yang panjang.

"Disebabkan itu, ramai yang memperjuangkan kelulusan automatik sedangkan secara asalnya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sejak kita merdeka memang begitu,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca