SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengingatkan pucuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN) agar tidak melakukan sebarang tindakan 'semberono' yang akhirnya menyebabkan Parlimen terbubar dalam masa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengingatkan pucuk kepimpinan Perikatan Nasional (PN) agar tidak melakukan sebarang tindakan 'semberono' yang akhirnya menyebabkan Parlimen terbubar dalam masa terdekat.

Jelas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu, beliau ada mendengar ura-ura kononnya ahli-ahli Parlimen PN sedang mempertimbangkan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak diserahkan kepada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menegaskan beliau tidak mengetahui inti pati perjanjian sulit di antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, Mohamed Nazri sebaliknya menjelaskan sebarang tindakan politik yang mencetuskan ketidakstabilan kerajaan pada masa ini, pastinya akan mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Sepatutnya yang harus ditekankan oleh semua pihak dalam kerajaan untuk dilaksanakan adalah perkara yang ada kaitan dengan kepentingan rakyat, bukan kepentingan parti atau jawatan.

"Saya tidak mengetahui inti pati perjanjian di antara Muhyiddin dan Ismail Sabri, tetapi saya nampak Perdana Menteri pada ketika ini lebih menfokuskan kepentingan rakyat dengan isu tawaran jawatan TPM bukan perkara yang terlalu mendesak untuk dipenuhi segera.

"Pandangan saya, jangan buat perkara yang menyebabkan Parlimen dibubar kerana tindakan 'semberono' sebegini akan undang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong. Apa pun perjanjian di antara PN dan PM, semua pihak perlu bersabar, beri ruang kerajaan selesaikan isu penting rakyat dahulu," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Pada Jumaat, laporan beberapa media tempatan mendakwa PN sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri.

Tambah laporan berkenaan, ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik ahli Parlimen daripada Bersatu sebagai TPM.

Terdapat sumber memaklumkan Ismail Sabri yang dijadualkan bakal bertemu dengan delegasi PN bagi membincangkan perkara-perkara terkandung dalam perjanjian sulit itu, terpaksa membatalkan pertemuan berkenaan pada saat akhir.

Bagaimanapun, ada laporan lain yang menafikan perkara itu, sebaliknya mendedahkan pertemuan berkenaan berlangsung sebagaimana dijanjikan.

TEMBOLOK SENDIRI

Delegasi PN yang dikatakan mengadakan perjumpaan dengan Ismail Sabri diketuai Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Nama Hamzah dan Mohamed Azmin disebut-sebut sebagai calon TPM daripada Bersatu sekiranya tuntutan delegasi PN berkenaan dipenuhi Ismail Sabri.

Bagi menyelesaikan polemik berkaitan tuntutan jawatan TPM oleh PN, Mohamed Nazri menasihatkan Ismail Sabri agar terus memusatkan perkara melibatkan kepentingan rakyat terlebih dahulu, sekali pun beliau mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik TPM.

Untuk jangka masa panjang, Mohamed Nazri mencadangkan Naib Presiden UMNO itu mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua parti dalam PN, sama ada langkah melantik seorang TPM dalam kalangan ahli Parlimen Bersatu, adalah satu keputusan direstui mereka sendiri.

"Kena ingat, yang mendukung kerajaan Keluarga Malaysia adalah parti-parti seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Bukan sekadar Bersatu semata-mata.

"Justeru, Perdana Menteri kena tanya dengan ketua-ketua parti berkenaan, adakah sesuai jawatan TPM diserahkan kepada Bersatu, sedangkan jawatan menteri kanan yang dipegang GPS, Bersatu sendiri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan terbubar jika seorang TPM dilantik?

"Jadi, perkara sebegini pun beliau (Perdana Menteri) wajar minta pendapat Hishammuddin, itu adalah lebih baik dan terhormat," kata Mohamed Nazri.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpandangan PN boleh segera menarik sokongan terhadap kerajaan Ismail Sabri sekiranya mereka sekadar memikirkan tembolok sendiri dan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Ahli Dewan Negara itu turut mempersoalkan sama ada kesemua ahli Parlimen PN dan Bersatu akan mengikut sebarang ketetapan keluar daripada kerajaan Keluarga Malaysia dalam masa terdekat, susulan beliau difahamkan tuntutan itu hanyalah kehendak satu atau dua pemimpin PN sahaja.

"Kita hendak tanya juga, berapa ramai Ahli Parlimen Bersatu akan ikut arahan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu) untuk tarik sokongan terhadap Ismail Sabri, sedangkan mereka juga masih belum bersedia menghadapi PRU15?

"Dahulu mereka (PN) di Melaka kononnya ugut hendak tekan loceng (tarik sokongan daripada kerajaan ), namun bila diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, mereka tumbang teruk. Hendak tarik, tarik sahaja...Tidak perlu ugut-ugut," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca