SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa ahli Parlimen mencadangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai hari yang sedih untuk semua wanita di Malaysia dan bersedia mencadangkan pindaan di Parlimen agar Perlembagaan Persekutuan lebih bersifat neutral jantina.

"Saya berasa amat sedih dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam (Jumaat) yang menolak permohonan kewarganegaraan untuk kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

"Ini jelas satu bentuk ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita sedangkan lelaki warganegara Malaysia dalam keadaan yang sama akan dapat secara automatik kewarganegaraan buat anak mereka,” ujar Fuziah ketika dihubungi Sinar Premium pada Sabtu.

Menurutnya lagi, ada keperluan untuk pinda Perlembagaan Persekutuan supaya istilah diguna pakai lebih bersifat neutral jantina.

"Kita perlu menukar perkataan bapa kepada ibu atau bapa dan semua perkataan he dalam Perlembagaan kepada he atau she. Artikel 8 Perlembagaan juga menyebut tiada diskriminasi berasaskan gender atau jantina maka kita harus konsisten di dalam semua pemakaiannya," katanya.

Untuk rekod, dalam penghakiman 2-1 di Mahkamah Rayuan pada Jumaat, Hakim Datuk Kamaludin Md Said dan Hakim Datuk Azizah Nawawi menjadi majoriti bersetuju manakala Hakim Datuk S Nantha Balan menentang.

Majoriti berkata, istilah ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada bapa kandung dan tidak boleh diperluas kepada ibu atau ibu bapa, manakala keputusan mahkamah tinggi sebelum ini pula membuat keputusan sebaliknya.

Serius dalam mengetengahkan isu ini, Fuziah juga mengakui perbincangan sudah mula diadakan dengan beberapa Ahli Parlimen lain.

"Ramai ahli Parlimen memang rasa tanggungjawab kami untuk buat sesuatu berkenaan pindaan Perlembagaan (dalam isu ini). Saya juga ingin mengajak ahli Parlimen wanita serta menteri wanita daripada pihak kerajaan untuk sama-sama memperjuangkan isu ini.

"Di samping itu saya juga akan mengusulkan perkara ini dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial yang mana saya merupakan ahli dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto mahukan pindaan dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perkara 14 iaitu kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang bagi memasukkan perkataan ‘ibu’ dalam undang-undang tertinggi negara.

"Hanya terdapat satu jalan penyelesaian bagi isu ini iaitu meminda Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan perkataan ‘ibu’ dan tidak akan ada lagi isu kesukaran wanita warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara memohon kerakyatan sama.

"Ini melibatkan masa depan anak mereka dan pada ketika ini mereka stateless (tidak bernegara) berikutan undang-undang yang seksis dan ditafsir beberapa hakim mengikut pemahaman mereka dan disebabkan itu menjejaskan kehidupan anak-anak ini,” ujar Kasthuriraani.

Selain pindaan, Kasthuriraani juga berharap Perdana Menteri akan mengadakan satu sidang khas di Parlimen bagi membincangkan cadangan membentangkan dan meluluskan perkara ini.

Klik di sini untuk terus membaca