BELALANG menarik nafas panjang apabila membaca kenyataan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berhubung kekecewaan beliau ke atas tatacara perolehan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja... Klik di sini untuk terus membaca

BELALANG menarik nafas panjang apabila membaca kenyataan bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berhubung kekecewaan beliau ke atas tatacara perolehan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebagai end user, segala teguran dan pendiriannya mengenai projek berkenaan tidak diendah dan didengar bukan sahaja oleh Kementerian Pertahanan malah pucuk pimpinan daripada menteri sehinggalah kepada Perdana Menteri.

Pendedahan dibuat oleh Abdul Aziz itu terdapat dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Khamis.

Menurut Abdul Aziz, teguran melalui surat rasmi itu diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri.

"Saya telah majukan sekurang-kurangnya 10 surat teguran. Surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM kepada KSU sebanyak 10 surat, kepada Yang Berhormat Menteri lima surat, kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan satu surat, kepada Ketua Setiausaha Negara satu surat dan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua surat.

"Surat-surat ini semua telah pun direkodkan. Kami rekod untuk pastikan ia boleh dijadikan sebagai rujukan juga agar saya tidak dipersalahkan atas kegagalan untuk melaksanakan tugas sebagai Panglima Tentera Laut.

"Saya menjangkakan ini semua sebenarnya. Ini kerana dari awal lagi saya telah menegur tatacara perolehan. Dari awal lagi saya kata, ‘Something is gravely wrong’ (ada sesuatu yang tidak kena,” tegas beliau menerusi jawapan yang dikongsikan oleh PAC.

Sebelum ini, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut secara terbuka.

"Saya telah mencatatkan kekecewaan terbesar kepada semua orang yang sepatutnya mendengar saya (melalui teguran yang dibuat sebelum ini),” katanya lagi.

Khamis lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, kajian daya maju (due deligence) dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat yang bertanggungjawab mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

WANG PEMBAYAR CUKAI

Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sedangkan tindakan tersebut bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS. Laporan itu turut membangkitkan isu reka bentuk kapal jenis SIGMA pilihan TLDM telah dipersetujui oleh Menteri Pertahanan tetapi keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis GOWIND pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS yang dibawa kepada Menteri Pertahanan pada 8 Julai 2011.

Jelas Kah Woh, pemilihan sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan negara seharusnya mengutamakan keperluan TLDM.

Malangnya, keutamaan tersebut bukan sahaja tidak dipedulikan malah apa juga prosedur pembayaran ke atas progres kerja kontrak tidak mengikut operasi standard yang diamalkan kerajaan.

Amat jelas sekali dari atas sehingga ke bawah siapa pun tidak peduli untuk menyemak, menyoal, mempertikai dan mencabar apa jua rekod dan keputusan yang dibuat ke atas projek ini.

Wang pembayar cukai yang telah dikeluarkan berjumlah RM6 bilion namun tidak ada sebuah kapal pun berjaya disiapkan.

Daripada jumlah wang tersebut, RM1 bilion tidak dapat dikesan ke mana perginya.

Betapa mudahnya wang pembayar cukai musnah begitu sahaja sedangkan jika kita lewat membayar cukai walaupun sesaat, kita akan dikenakan penalti.

Orang yang songlap duit projek ini? Sehingga sekarang belum ada siapa lagi yang dihadapkan ke mahkamah.

Sedih sungguh bagaimana berakhirnya kisah ini hingga ia menjadi bahan jenaka di media-media sosial - Amerika berjaya menghasilkan pesawat pejuang yang tidak dapat dikesan radar tapi Malaysia mampu hasilkan kapal yang hilang terus dari radar.

Belalang - Sangat-sangat khuatir tentang masa depan integriti negara ini kerana orang sudah hilang rasa segan ke atas rasuah dan penyelewengan.

Klik di sini untuk terus membaca