SHAH ALAM - Kanak-kanak serta remaja berumur antara 13 hingga 18 tahun antara golongan paling banyak menjadi mangsa rogol di Selangor. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, statistik menunjukkan situasi membimbangkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kanak-kanak serta remaja berumur antara 13 hingga 18 tahun antara golongan paling banyak menjadi mangsa rogol di Selangor.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, statistik menunjukkan situasi membimbangkan apabila aduan serta laporan berkaitan kes rogol diterima oleh polis hampir setiap minggu di negeri ini.

Menurut beliau, kes rogol juga merupakan antara kes jenayah berat yang merekodkan laporan tertinggi di Selangor.

Pada tahun lalu, jelas beliau, sebanyak 319 kes rogol dilaporkan melibatkan sebanyak 313 tangkapan, manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 161 kes dengan 121 tangkapan ke atas pelaku.

"Mangsa yang tertinggi dicatatkan terdiri daripada individu berumur antara 13 hingga 18 tahun,’’ katanya dalam sesi wawancara khas bersama Sinar Harian di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sasikala memberitahu, dari segi pecahan umur mangsa bagi tahun 2021, seramai 26 kes melibatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun, 224 kes membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun dan 69 kes lagi mangsa berumur 18 tahun ke atas.

Tambah beliau, dalam tempoh Januari sehingga Jun tahun ini pula, seramai 20 mangsa rogol melibatkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, 103 kes membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun dan 38 mangsa lagi berumur 18 tahun ke atas.

`"Kejadian rogol yang membabitkan remaja kebanyakannya adalah suka sama suka.

"Namun mengikut peruntukan di bawah Seksyen 375 (G) Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan apabila melakukan hubungan seks dengan mangsa berumur di bawah umur 16 tahun walaupun dengan kerelaan mangsa,” tegas beliau.

Sasikala berkata, sebarang maklumat mengenai jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak boleh disalurkan melalui talian kasih 15999.

Klik di sini untuk terus membaca