MENTERI-MENTERI Luar ASEAN telah melahirkan kekecewaan dan mengecam kekurangan kemajuan dalam pelan penyelesaian krisis di Myanmar.Negara itu dilanda krisis sejak Februari 2021 apabila angkatan tentera Myanmar atau lebih dikenali sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

MENTERI-MENTERI Luar ASEAN telah melahirkan kekecewaan dan mengecam kekurangan kemajuan dalam pelan penyelesaian krisis di Myanmar.

Negara itu dilanda krisis sejak Februari 2021 apabila angkatan tentera Myanmar atau lebih dikenali sebagai Tatmadaw telah merampas kuasa.

Masalah di Myanmar bukan hanya disebabkan oleh rampasan kuasa tentera tetapi juga layanan terhadap etnik minoriti seperti Rohingya, Karen, Kachin serta konflik etnik yang masih berterusan.

ASEAN telah cuba membantu menyelesaikan krisis di Myanmar kerana impak seperti pelarian turut dirasai oleh negara jiran seperti Thailand, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Justeru, pemimpin ASEAN termasuk pemimpin tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hiang telah bertemu pada April 2021 di Jakarta, Indonesia. Mereka telah bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara.

Pertama, segala bentuk keganasan di Myanmar harus dihentikan segera. Kedua, pihak bertelagah harus mencari penyelesaian menamatkan krisis melalui ‘dialog konstruktif’.

Ketiga, Pengerusi ASEAN akan melantik Perutusan Khas untuk menjadi orang tengah dalam krisis Myanmar. Keempat, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar dan kelima, Perutusan Khas ASEAN akan ke Myanmar untuk bertemu semua pihak dalam krisis.

Bagaimanapun, selepas lebih 15 bulan, keadaan politik dan kes pelanggaran hak asasi manusia di Myanmar semakin membimbangkan. Angka kematian akibat tindakan keras tentera telah melepasi 2,100 orang.

Masyarakat antarabangsa marah dan kecewa apabila kerajaan Myanmar menjatuhkan hukuman mati terhadap empat aktivis bulan lalu. Tindakan itu melanggar Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui Jeneral Min Aung Hiang. Kekecewaan turut memuncak dalam kalangan beberapa anggota ASEAN. Mereka beranggapan ASEAN dipersendakan oleh Myanmar.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan hukuman mati itu sebagai ‘jenayah terhadap kemanusiaan’. Kerajaan tentera Myanmar telah ‘memperolok-olokkan Konsensus Lima Perkara’ dan ASEAN kelihatan tidak berkemampuan untuk mempengaruhi Myanmar menyelesaikan krisisnya.

Pada Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini, mereka menyatakan – "Sangat kecewa dengan kemajuan yang terhad dan kekurangan komitmen pihak berkuasa Naypyidaw terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang tepat pada masanya dan lengkap.”

GANTUNG KEAHLIAN

Oleh itu, ASEAN akan menilai semula konsensus tersebut pada Persidangan Kemuncak ASEAN, November nanti. Tindakan itu selaras dengan peruntukan Artikel 20, Perkara 4, Piagam ASEAN yang menyatakan bahawa ‘sekiranya berlaku pelanggaran serius terhadap piagam atau ketidakpatuhan, perkara itu hendaklah dirujuk kepada Sidang Kemuncak ASEAN untuk keputusan’.

Ia seakan-akan memberi tempoh masa kepada pemimpin kerajaan tentera Myanmar untuk mengambil tindakan seiring dengan Konsensus Lima Perkara.

Timbul persoalan, jika kerajaan tentera Myanmar masih berdegil dan enggan mematuhi Konsensus Lima Perkara serta meneruskan hukuman mati terhadap aktivis pro-demokrasi, apakah tindakan boleh diambil ASEAN menjelang November nanti?

Terdapat beberapa cadangan, antaranya menggantung keahlian Myanmar dalam ASEAN sehingga kerajaan tentera patuh kepada Konsensus Lima Perkara. Namun, sejauh mana anggota ASEAN akan bersetuju dengan tindakan itu kerana anggota ASEAN sendiri tidak bersatu padu dengan apa juga bentuk tindakan yang harus diambil terhadap Myanmar.

Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina cenderung mengambil tindakan lebih tegas, tetapi sebaliknya bagi Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos. Dari segi perundangan, tiada peruntukan dalam Piagam ASEAN yang menyatakan tindakan menggantung keahlian mana-mana negara anggota.

Buat masa ini, pemimpin tertinggi Myanmar dilarang menyertai persidangan-persidangan kemuncak ASEAN. Terdapat cadangan agar perwakilan Myanmar dilarang menyertai semua acara dianjurkan oleh ASEAN.

Perlu ditegaskan, ASEAN tidak ditubuhkan untuk mengecualikan atau menghukum mana-mana negara anggota. Selama ini ASEAN telah membenarkan negara anggota bertindak mengikut kadar mereka sendiri.

Namun, situasi kini telah memaksa ASEAN mengubah pendiriannya. Tidak keterlaluan jika Myanmar dianggap sudah menjadi ‘duri dalam daging’ bagi ASEAN.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca