NAMPAK gayanya, Peguam Syarie Wilayah Persekutuan akan terlebih dahulu mengundi berbanding pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Esok, lebih 900 peguam syarie yang beramal di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan memilih 13... Klik di sini untuk terus membaca

NAMPAK gayanya, Peguam Syarie Wilayah Persekutuan akan terlebih dahulu mengundi berbanding pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Esok, lebih 900 peguam syarie yang beramal di Wilayah-Wilayah Persekutuan akan memilih 13 anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan sempena Mesyuarat Agung Kali Pertama Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Hal itu disebabkan pelaksanaan Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang telah dikuatkuasakan.

Jika sebelum ini Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan dan tidak disebut langsung wakil peguam syarie secara spesifik, kini Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan dianggotai sepenuhnya oleh Peguam Syarie Wilayah Persekutuan.

Itu bermakna Peguam Syarie Wilayah Persekutuan boleh menjadi badan profesional yang mentadbir ahli-ahlinya sendiri dan tidak lagi bernaung di bawah entiti lain.

Dengan cara itu, kebebasan peguam syarie akan terpelihara dan peguam syarie tidak akan lagi diperkecilkan.

Perjuangan menubuhkan Majlis Peguam Syarie telah dimulakan sejak 30 tahun lalu. Walaupun asalnya kita mahukan Majlis Peguam Syarie di peringkat kebangsaan setara Majlis Peguam Malaysia tetapi yang dapat direalisasi sekarang hanyalah di peringkat Wilayah Persekutuan.

PEMILIHAN

Banyak pihak terlibat dalam merealisasikan kewujudan Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan. Ia adalah perkembangan yang baik. Kesukaran dilalui peguam syarie untuk mewujudkan badan sendiri sangat ketara kerana pelaksanaan akta itu sendiri mengambil masa tiga tahun sejak 2019.

Pemilihan ahli Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang pertama sangat penting bagi meletakkan piawaian dan hala tuju yang betul. Ia bukan untuk suka-suka kerana terdapat pelbagai perkara yang perlu dilakukan anggota majlis.

Buat permulaan, dana perlu diberikan oleh kerajaan untuk operasi seperti sewa pejabat, peralatan, emolumen dan banyak lagi.

Ada yang menyatakan supaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang memberikan dana tersebut tetapi saya kurang setuju sekiranya ia diambil daripada wang zakat kerana kekaburan asnaf apa yang layak bagi Majlis Peguam Syarie ini.

Apa pun, banyak perkara perlu dilakukan oleh Majlis Peguam Syarie. Ia adalah ujian besar kepada Peguam Syarie Wilayah Persekutuan kerana jika terdapat kesilapan, kepeguaman syarie dan perwakilan di Mahkamah Syariah juga akan terkesan.

Saya percaya ramai peguam syarie boleh menjadi pemimpin Majlis Peguam Syarie Wilayah Persekutuan. Pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kita tidak mahu lagi peguam-peguam syarie terbahagi mengikut kecenderungan masing-masing sehingga tidak memberi manfaat kepada profesion guaman syarie itu sendiri.

Kesatuan peguam syarie dalam Majlis Peguam Syarie sangat penting. Kita tidak boleh lagi berjalan atas wadah berlainan atas nama peguam syarie. Majlis Peguam Syarie hendaklah menjadi wadah kepada kesatuan peguam syarie itu sendiri.

Akhirnya masyarakat akan menilai keberkesanan peguam syarie pasca Majlis Peguam Syarie. Ia juga akan memberi impak kepada pelaksanaan perundangan Islam di Wilayah Persekutuan khususnya dan Malaysia amnya.

Pesta demokrasi bagi Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan menjadi tanda aras kepada negeri lain kelak sekiranya negeri itu juga menggubal undang-undang sama seperti Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Selamat memilih kepada semua peguam syarie di Wilayah Persekutuan esok. Tidak kiralah siapa yang menang pemilihan tersebut, kita hendaklah menyokong Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan kerana ia adalah badan yang mewakili Peguam Syarie Wilayah Persekutuan mengikut undang-undang.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca