SHAH ALAM - Kekurangan dana menjadi antara kekangan dihadapi pihak universiti untuk mengkomersialkan produk inovasi ke pasaran. Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, dana yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kekurangan dana menjadi antara kekangan dihadapi pihak universiti untuk mengkomersialkan produk inovasi ke pasaran.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, dana yang diberikan kerajaan kepada universiti adalah bertujuan menjalankan aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

Menurutnya, lebih banyak suntikan dana diperlukan untuk ke fasa pengkomersialan sebelum produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dapat dipasarkan.

"Tidak semua hasil penyelidikan boleh dibawa ke peringkat komersial terutama dalam masa yang singkat. Ada yang memerlukan lebih banyak masa dan ada juga yang tidak lagi berdaya maju untuk dikomersialkan.

"Kita juga mengalami kekangan masa kerana pensyarah serta penyelidik memerlukan masa untuk bertemu dan berinteraksi dengan pemain industri.

"Petunjuk prestasi utama (KPI) pensyarah yang lebih cenderung kepada penyelidikan dan penerbitan juga menjadi punca mengapa produk universiti kurang dikomersialkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sejak tahun 2016 hingga 2021, sebanyak 125 produk inovasi berjaya dikomersialkan daripada 1,334 harta intelek yang dihasilkan UKM dengan memberikan pulangan pendapatan sebanyak RM2.2 juta.

--SH: UNIVERSITI, INDUSTRI PERLU KERJASAMA MENANG-MENANG

Universiti sebagai peneraju teknologi terkini memerlukan kerjasama ‘menang-menang’ pelbagai pihak terutamanya kerajaan, pemain industri dan pelabur untuk mengkomersialkan teknologi serta produk inovasi yang dihasilkan.

Timbalan Pengarah Bahagian Promosi dan Pengkomersialan Inovasi, Putra Science Park (PSP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab Rahman berkata, universiti berdepan masalah kekurangan bakat sumber manusia mahir daripada kerjasama strategik universiti dan industri.Malah katanya, ketidaksediaan mereka bergandingan dengan universiti turut merencatkan usaha pengkomersialan tersebut.

"UPM memfokuskan pada pengkomersialan hasil penyelidikan berimpak tinggi dengan terus memperkasa usaha penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI).

"Inisiatif dan aktiviti berkaitan giat dilaksanakan dari masa ke masa dengan sokongan dan kerjasama padu warga UPM, industri dan komuniti dalam ekosistem mantap dan lestari,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau memaklumkan, UPM telah mengkomersialkan sebanyak 213 daripada 2,166 teknologi dan inovasi yang dilindungi harta intelek (HI) bersamaan dengan 9.83 peratus.

Katanya, pengkomersialan teknologi universiti adalah melalui kaedah sama ada perlesenan atau penjualan terus harta intelek kepada pihak industri.

"UPM telah mengkomersialkan 53.05 peratus teknologi yang dilindungi sebagai paten dan 46.95 peratus selain paten.

"Terdapat enam kluster utama hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berjaya dikomersialkan iaitu pertanian (30 peratus), pendidikan dan teknologi maklumat (18 peratus), teknologi makanan (15 peratus), kejuruteraan (15 peratus), manakala bioteknologi dan kesihatan masing-masing 11 peratus,” ujarnya sambil menambah sebanyak RM70.5 juta berjaya diraih UPM hasil pengkomersialan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca