GAZA CITY - Genting Gaza bergolak lagi ketika dunia antarabangsa sedang memberi tumpuan terhadap konflik China-Taiwan yang semakin meningkat pada minggu lalu akibat tindakan provokasi Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutu kuat Israel.
Angka korban kekejaman terbaharu rejim Zionis di Genting Gaza meningkat kepada 29 orang termasuk enam kanak-kanak ketika tentera Israel meneruskan kempen pengeboman ke atas kumpulan Jihad Islam.
Kempen pencerobohan Israel yang dilancarkan pada Jumaat turut mengakibatkan lebih 250 orang cedera dan disifatkan sebagai keganasan terburuk di wilayah Gaza sejak perang terakhir tercetus tahun lalu.
Ketika rejim Tel Aviv berdepan desakan negara antarabangsa supaya meredakan ketegangan tersebut, Perdana Menteri Israel, Yair Lapid dengan angkuh menyatakan mereka akan terus bertindak tanpa teragak-agak, kononnya untuk memastikan keamanan penduduk di negara itu tanpa memikirkan keadaan penduduk Palestin yang terus dihujani bom.
Tentera Israel memberi amaran kempen serangan udara dan artileri terbaharu itu yang secara jelas menyasarkan kumpulan Jihad Islam berkemungkinan akan berlarutan selama seminggu.
Ketua Direktorat Operasi Tentera, Oded Basiok memaklumkan seluruh kepimpinan kanan sayap tentera kumpulan Jihad Islam termasuk komander kanan di Gaza City, Taysir al-Jabari dan Khaled Mansour di Rafah, selatan Gaza telah terkorban dalam operasi tersebut.
Sementara itu, kira-kira 20 anggota kumpulan berkenaan ditahan dalam beberapa operasi yang dilancarkan di sekitar Tebing Barat.
Rejim Zionis turut menuding jari menyalahkan Jihad Islam bertanggungjawab atas ke-matian beberapa kanak-kanak menerusi siri serangan roket di kem pelarian Jabalia, utara Gaza.
Ketika ketegangan semakin memuncak, gerakan Hamas dikatakan tidak campur tangan untuk memburukkan lagi konflik berkenaan.
-SH: SEKALI LAGI 'BERSEORANGAN'
Ketika ini jalan utama di Gaza City kembali lengang dan menjadi seperti ‘bandar hantu’ selepas konflik terbaharu itu tercetus.
"Kempen pengeboman itu berlaku secara tiba-tiba ketika kami sudah hidup dengan aman.
"Setiap bulan atau setiap tahun peperangan pasti akan terjadi. Kami sudah cukup menderita dengan semua ini,” ujar Mohammed Hamami, 40, dengan nada kesal.
Aktiviti harian di wilayah berkenaan sekali lagi terjejas ketika ia masih berdepan dengan masalah bekalan elektrik setelah stesen jana kuasa tunggal terpaksa ditutup kerana kekurangan bahan api akibat penutupan lintasan sempadan oleh Israel.
Di Gaza City, penduduk dikenali sebagai Dounia Ismail berkata, mereka sudah terbiasa untuk menyediakan ‘beg kelangsungan hidup’ yang mengandungi wang tunai dan bekalan ubat-ubatan sebagai persediaan menghadapi serangan rejim Zionis.
"Konflik ini mengembalikan semula rasa takut dan kebimbangan yang melampau bahawa penduduk Palestin sekali lagi ‘berseorangan’ menghadapi serangan Israel,” katanya.
Sejak Jumaat lalu, orang awam di selatan dan tengah Israel telah diarahkan untuk berlindung di pusat perlindungan bom, sedangkan penduduk Palestin terkontang-kanting mencari perlindungan daripada serangan ganas rejim Zionis.
Difahamkan, penduduk Palestin berdepan empat konflik melibatkan Israel dan puak penentang sejak wilayah Gaza berada di bawah kepungan haram rejim Tel Aviv pada 2007. - AFP
INFO:
Siapakah kumpulan Jihad Islam?
- Kumpulan disokong Iran yang diasaskan pada 1981 dan fokus dengan gerakan penentangan bersenjata terhadap Israel.
- Ia pada mulanya ditubuhkan oleh kumpulan penuntut Universiti Islam Gaza sebagai organisasi bersaudara kepada Hamas yang mentadbir Genting Gaza sejak 2007.
- Mempunyai pengaruh yang kuat di Tebing Barat walaupun berpusat di Gaza.
- Pada 1992, Briged al-Quds yang dikenali sebagai sayap bersenjata kumpulan itu ditubuhkan.
- Kumpulan tersebut dipimpin penulis dan doktor, Fathi Shaqaqi sehingga 1995 sebelum dia dibunuh di Malta oleh skuad penyerang yang dihantar agensi risikan Israel, Mossad.
Klik di sini untuk terus membaca