SHAH ALAM - Para pemain industri pertanian, perikanan dan pembinaan di negara ini mengakui menggunakan antara 70 hingga 80 peratus produk inovasi luar negara berbanding jenama tempatan.
Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata, para pekebun menggunakan lebih 80 peratus produk inovasi import dalam pekerjaan mereka.
Ulas Ee Mong, kebanyakan produk inovasi tempatan tidak mendapat permintaan dalam kalangan pekebun susulan kualiti dan prestasi barangan tersebut kurang memuaskan.
"Para petani kata mereka memang boleh pakai produk tempatan yang ada tetapi kurang berkesan dan tidak berkualiti. Jika pakai baja tempatan, mereka kena tambah pula dengan baja kimia.
"Kita mahu guna baja yang baik. Kalau kualiti baja tinggi, hasil pun tinggi.
"Racun kimia juga boleh kata hampir semuanya diimport,” katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun ujarnya, kebergantungan kepada barangan import memaksa pekebun menanggung beban kos yang tinggi dan kadangkala tidak menentu.
Menurut Ee Mong, antara produk inovasi import yang sering digunakan pekebun ialah baja, racun dan biji benih.
"Biji benih juga diimport dalam kadar 80 peratus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Johor, Samsuddin Omar berkata, para nelayan menggunakan sebanyak 70 peratus produk import berbanding inovasi tempatan."Pada masa dahulu memang kita ada pukat buatan tempatan tetapi sekarang kita tengok banyak pukat datang dari Thailand.
"Bila kita guna produk luar, tentulah harganya tinggi. Contoh produk import yang kita guna sekarang ialah pukat dan enjin sangkut.
"Alat ganti bot memang tidak ada keluaran tempatan, bererti yang ada di kedai semuanya dari luar negara,” menurut beliau.
Jelasnya, para nelayan akan membuat pilihan berdasarkan harga, kualiti serta perolehan produk tersebut di pasaran.
"Jadi kalau dari pihak nelayan, saya rasa dalam 70 peratus nelayan menggunakan produk import kerana bahan-bahan ini tidak ada keluaran tempatan,” ulasnya.Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera, Datuk Azman Yusoff pula berkata, sebanyak 70 peratus produk inovasi luar negara digunakan dalam sektor pembinaan berbanding jenama tempatan.
"Ada sesetengah produk tempatan lebih kurang sama, tetapi spesifikasi yang digunakan dalam projek pembinaan lebih menjurus kepada produk import.
"Pertama isu pengiktirafan dan yang kedua harga. Jika mahu digunakan, produk tempatan mesti ada kualiti dan setanding produk luar negara,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca