SHAH ALAM - Rakyat negara ini mahu menggunakan produk inovasi tempatan yang memberi manfaat dan dapat memenuhi kehendak serta keperluan dalam kehidupan seharian.
Ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Zahari Taha berkata, dalam masa sama, rakyat juga pasti mahukan produk yang bukan sahaja murah tetapi berkualiti.
"Untuk memastikan kualiti setanding dengan produk luar, kos akan bertambah, maka perlu ada keseimbangan antara kos dan kualiti.
"Produk yang dihasilkan di Malaysia adalah berasaskan bahan, kemahiran dan teknologi tempatan, sudah tentu ia akan lebih murah dari segi kos pengeluaran, pengangkutan dan pemasaran.
"Skala ekonomi penting kerana pasaran Malaysia mempunyai penduduk yang kecil, oleh itu produk yang dihasilkan di Malaysia perlu setanding dengan produk luar supaya boleh dipasarkan secara global di samping mengurangkan kos pengeluaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, produk inovasi perlu melalui proses uji kaji pembangunan bagi meningkatkan keyakinan dan memenuhi kehendak pemain industri di Malaysia.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, banyak produk tempatan tidak melalui proses uji kaji tersebut, sedangkan langkah itu penting untuk mengetahui isu-isu yang akan timbul apabila produk ini berada di pasaran.
"Produk boleh dihasilkan di makmal universiti, namun persekitaran makmal tidak sama dengan persekitaran di luar.
"Produk juga perlu memenuhi piawaian yang relevan. Pemain industri di Malaysia akan lebih cenderung kepada produk yang memenuhi piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Ditanya mengenai harga produk inovasi tempatan, jelas Zahari, kos untuk pengeluaran jumlah kecil sudah tentu akan lebih tinggi berbanding pengeluaran dalam kuantiti besar.
Katanya, kebanyakan produk luar dihasilkan oleh syarikat gergasi yang mempunyai fasiliti pengeluaran yang besar untuk memenuhi pasaran global.
"Harga produk inovasi tempatan akan lebih tinggi kerana pengeluaran yang kecil tetapi ‘penjenamaan’ adalah penting untuk meyakinkan pembeli.
"Para penginovasi tempatan perlu menekankan keistimewaan produk mereka berbanding produk luar. Contohnya untuk makanan, produk inovasi tempatan lebih sihat dari segi bahan yang digunakan seperti kurang gula, kolesterol dan bahan kimia.
"Dalam erti kata lain jangan bersaing dalam pasaran yang sama tetapi pasaran ‘niche’. Walaupun harga tinggi tetapi produk inovasi tempatan memenuhi pasaran untuk makanan sihat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca