SEPERKARA yang jelas mengenai kes skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM6 bilion dan terbengkalai sejak beberapa tahun lalu ialah ia melibatkan wang pembayar cukai sama seperti kes 1MDB.
Kalau ada yang masih belum jelas lagi, biarlah penulis nyatakan sekali lagi wang pembayar cukai itu adalah wang gaji kita yang dipotong setiap bulan sebagai sumbangan dan tanggungjawab kepada negara.
Kerajaan yang bertanggungjawab mengawal dan menguruskan wang cukai kita. Ia dilakukan menerusi sebuah agensi khas yang dinamakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Cukai direka cipta untuk memastikan kantung negara mencukupi untuk tujuan pembangunan, kesihatan, keselamatan, latihan dan pembelajaran.
Itulah sumbangan dan amal jariah kita kepada kelangsungan negara dan kerajaan.
Sama ada kita melakukannya secara sukarela atau terpaksa, itu adalah tetap sumbangan kita.
Maka, apabila hasil sumbangan kita kepada kelangsungan dan survival negara disalah guna, kita sebagai pembayar cukai dan rakyat bertanggungjawab harus menjadi yang pertama bangun mempersoalkan apa jua tidak kena dgn wang sumbangan kita.
Pokok pangkalnya, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan berdiam diri.
Kita tidak boleh menyerahkan kepada pihak berkuasa semata-mata. Kita ada hak untuk bersuara dan menyoal apa yang telah kerajaan buat dengan wang sumbangan kita.
Dalam kes kapal tempur pesisir pantai yang wang pembayar cukai berjumlah RM6 bilion telah dilesapkan tanpa ada sebuah kapal pun disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan, kita harus dan wajib bertanya bagaimana ini semua boleh terjadi.
Kita wajib persoalkan di mana tadbir urus semak dan imbang oleh mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia projek ini.
Kita juga wajib bertanya apa yang anggota-anggota lembaga pengarah yang menduduki kerusi empuk dan dibayar elaun bulanan oleh kerajaan itu buat.
Mereka tidak seliakah projek gergasi sebesar itu apabila wang berbilion telah dikeluarkan tapi kapal tidak kunjung tiba?
Tidak ada rasa bersalahkah tidak menyoal kenapa wang progress itu perlu dikeluarkan sedangkan projek tidak ada kemajuan?
Nampak sangat ada sesuatu yang tidak kena. Namun sekali lagi, tiada siapa yang mempersoalkannya melainkan Panglima Tentera Laut. Tegurannya tidak diendahkan.
Kini, wang yang lesap itu rasanya tak akan ditemui lagi dah sama macam wang 1MDB yang berbilion itu dijoli oleh pelakunya.
Tapi dengan menyoal kepincangan tersebut, setidak-tidaknya kita dapat menghindar kecelakaan yang sama daripada berulang pada masa hadapan.
Jika kita diam, tidak kisah dan tidak bersuara menegur dan memaksa pihak berkuasa bertindak ke atas penyelewengan ini, akhirnya kesilapan yang sama akan diulang, bukan sekali tapi berkali-kali oleh mereka yang merasakan mereka lebih besar dan berkuasa daripada suara kita - rakyat jelata yang membayar cukai.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca