SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa, disifatkan sebagai amaran kepada pihak cuba mengugut menarik sokongan terhadap kerajaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa, disifatkan sebagai amaran kepada pihak cuba mengugut menarik sokongan terhadap kerajaan.

Penganalisis sosiopolitik, Datuk M Periasamy berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba menekan Ismail Sabri supaya melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada parti berkenaan dan sekiranya tidak, sokongan akan ditarik.

"Jika berlaku, ia akan mengurangkan sokongan majoriti di Parlimen dan Perdana Menteri tidak ada pilihan lain kecuali membubarkan Parlimen.

"Sepatutnya pembangkang yang suruh bubar Parlimen. Tetapi hari ini, Bersatu yang merupakan komponen kerajaan pula yang nak tarik sokongan. Dia memang ada hak, tetapi ini bukan demokrasi matang.

"Jadi apabila Perdana Menteri katakan mereka sentiasa bersedia termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, ia jelas merupakan satu bentuk amaran kepada pihak yang cuba mengugut untuk menarik sokongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Ismail Sabri berkata, kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, sekiranya Perikatan Nasional (PN) berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Periasamy berpandangan, Barisan Nasional (BN) dan UMNO memang sudah bersedia secukupnya untuk menghadapi PRU15, bagaimanapun ia bukan keutamaan yang rakyat mahukan ketika ini.

"Ini kerana kerajaan masih lagi perlu teruskan usaha memulihkan ekonomi, pemberian bantuan dan sebagainya. Banyak lagi hal yang perlu diselesaikan, jadi PRU15 bukan keutamaan sekarang,” ujarnya.

Periasamy menegaskan, menarik balik sokongan dalam kerajaan ketika ekonomi negara setengah ‘lemas’ juga menggambarkan demokrasi tidak matang.

Katanya, tindakan itu akan menggugat kestabilan politik di Malaysia pada kaca mata pelabur dan negara luar.

"Sokong dan tidak sokong memang satu sifat demokrasi. Tetapi demokrasi matang bermakna kita kena sabar dan prihatin terhadap kehendak rakyat.

"Kerajaan sedang berusaha memulihkan ekonomi yang merosot kesan pandemik Covid-19. Malah, pembangkang juga menggesa perdana menteri meneruskan pentadbirannya (kerajaan PN) demi kepentingan negara dan rakyat.

"Seharusnya semua parti menyokong usaha Ismail Sabri menguruskan negara yang juga diterima baik oleh sebahagian besar rakyat marhaen,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca