ISTILAH reka bentuk sejagat mula diguna pakai di Amerika Syarikat lebih tiga dekad lalu dan kemudian digunakan secara meluas di negara lain termasuk Malaysia, Jepun dan Australia. Reka bentuk sejagat membolehkan produk yang dihasilkan... Klik di sini untuk terus membaca

ISTILAH reka bentuk sejagat mula diguna pakai di Amerika Syarikat lebih tiga dekad lalu dan kemudian digunakan secara meluas di negara lain termasuk Malaysia, Jepun dan Australia. Reka bentuk sejagat membolehkan produk yang dihasilkan digunakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi persekitaran alam bina pula, reka bentuk sejagat membolehkan segala kemudahan diakses oleh semua golongan tanpa mengira peringkat umur, saiz dan keupayaan fizikal masing-masing. Dalam erti kata lain, reka bentuk sejagat ini tidak mengehadkan penggunaan sesuatu produk dan kemudahan kepada kumpulan tertentu tetapi mengiktiraf keupayaan pengguna yang berbeza.

Salah satu contoh reka bentuk sejagat ialah kerb cut yang dapat memudahkan seseorang untuk menolak kereta sorong bayi atau troli serta penunggang basikal. Kerb cut turut memudahkan mobiliti pengguna kerusi roda untuk menaiki atau menuruni laluan pejalan kaki.

Aksesibiliti fizikal sangat penting terutama ke lokasi yang menawarkan pelbagai peluang kehidupan yang lebih baik kepada kepada semua seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan peluang dalam menikmati kehidupan sosial.

Namun, sudah menjadi satu kebiasaan di Malaysia, istilah reka bentuk sejagat dalam penyediaan kemudahan akses sering disalahertikan sebagai reka bentuk khusus bagi memenuhi kemudahan orang kurang upaya (OKU). Penggunaan istilah ini dilihat sinonim dengan kemudahan OKU, malah kerap diguna pakai dalam kalangan penggubal undang-undang, pereka bentuk, dan juga oleh aktivis OKU.

Walhal dalam merancang dan mereka bentuk kemudahan yang boleh diakses oleh OKU, kemudahan tersebut tidak harus dibezakan sebagai direka khas untuk OKU sahaja.

Terdapat keperluan untuk memahami konsep reka bentuk yang menggalakkan aksesibiliti dalam persekitaran fizikal sejak dari peringkat awal reka bentuk. Penjejasan estetika sesuatu rekaan demi memenuhi keperluan akses dapat diminimumkan apabila kemudahan akses telah dipertimbangkan dari awal proses reka bentuk.

Tambahan pula, mengubah suai bangunan atau sesuatu kemudahan untuk menaik taraf aksesibilitinya setelah projek siap adalah kurang ekonomikal berbanding dengan yang berperancangan reka bentuk sejagat dari peringkat awal.

Walau bagaimanapun, sebarang kos tambahan dalam mewujudkan persekitaran mesra OKU tidak boleh dilihat sebagai beban oleh penyedia perkhidmatan dan pihak berwajib. Sebaliknya, kos tersebut adalah wajar bagi menawarkan peluang kepada OKU untuk menikmati hak sebagai warga negara serta mempengaruhi keupayaan mereka untuk berfungsi.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa penyediaan reka bentuk sejagat bagi kemudahan akses bukanlah satu perkara mudah kerana pereka bentuk perlu mengambil kira keperluan yang pelbagai dalam kalangan pengguna. Memenuhi keperluan berbeza mengikut keupayaan individu merupakan satu cabaran dalam menghasilkan reka bentuk sejagat.

Sebagai contoh, keperluan OKU penglihatan dan pengguna kerusi roda adalah berbeza. Pengguna kerusi roda selesa dengan permukaan yang luas dan rata tetapi OKU penglihatan lebih cenderung menghargai kewujudan objek timbul yang dapat disentuh menggunakan tongkat sebagai panduan menuju destinasi.

Oleh itu, penyediaan peluang kepada OKU untuk mengambil bahagian dalam membuat keputusan seperti dalam perancangan dan proses reka bentuk boleh menyumbang kepada persekitaran yang lebih inklusif kerana OKU sendiri adalah pakar yang memahami keperluan akses yang diperlukan serta halangan yang patut dihindari.

Dapat disimpulkan bahawa reka bentuk inklusif, reka bentuk untuk semua dan reka bentuk sejagat mencerminkan idea yang sama kerana ia membolehkan seramai mungkin mengecapi manfaat akses daripada reka bentuk tersebut.

*Dr Hikmah Kamarudin merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara serta Penasihat Aksesibiliti bagi Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (MASAA).

Klik di sini untuk terus membaca