SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) perlu terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar kerangka koalisi itu termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan jika tiada parti mendapat majoriti pada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan (PH) perlu terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar kerangka koalisi itu termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan jika tiada parti mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan cadangan itu hanya akan dipertimbangkan Amanah dan PH, jika tiada mana-mana koalisi atau parti yang mencapai sokongan majoriti dan berjaya membentuk kerajaan secara bersendirian.

Jelas Ahli Parlimen Pulai itu, Amanah jelas dengan ketetapan bahawa parti itu akan menghadapi PRU15 dengan menggunakan lambang pilihan raya dan kekuatan bersama dalam PH semata-mata.

Ditambah dengan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan peruntukan akta anti lompat parti sudah diluluskan dalam Dewan Rakyat bulan lalu, Salahuddin percaya rakyat akan lebih yakin untuk keluar mengundi dan memberi sokongan kepada mana-mana parti politik tanpa sebarang keraguan.

"Sekiranya tiada koalisi atau parti mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, maka saya rasa kita harus berbincang dengan lebih terbuka...Kita terbuka berbincang dengan sesiapa sahaja (di luar kerangka PH) termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.

"Saya yakin dengan adanya kelulusan pindaan RUU berkenaan Akta Anti Lompat Parti, rakyat lebih yakin untuk keluar mengundi dan memberi sokongan kepada mana-mana parti tanpa sebarang keraguan.

"Ruang perbincangan dengan parti-parti lain pula hanya dipertimbangkan sekiranya tiada kecukupan mandat rakyat berlaku. Tetapi jika rakyat sudah beri mandat kepada mana-mana koalisi atau parti untuk mentadbir negara, kita perlu hormati pilihan mereka," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan UMNO kerana 'segalanya mungkin dalam politik'.

SALAHUDDIN

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu menyatakan sebarang kemungkinan kerjasama itu hanya akan berlaku selepas PRU15.

Anthony Loke berkata, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU14, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal dan atas faktor itu, kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.

Kerjasama DAP dan PH dengan kerajaan UMNO bukan perkara baharu apabila koalisi itu membantu UMNO Perak untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar Perak pada penghujung tahun 2020.

Selain itu, DAP juga merupakan parti penting yang menjayakan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani memorandum perjanjian gencatan politik dengan PH sebaik sahaja Naib Presiden UMNO itu dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara tahun lalu.

UMNO TIDAK AKAN TERIMA DAP

Bagaimanapun, pandangan Salahuddin dan Anthony Loke tidak dipersetujui Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu secara peribadi berpendapat UMNO tidak akan menerima DAP untuk membentuk sebuah koalisi kerajaan baharu selepas PRU15.

Hal ini kerana beliau berkeyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berupaya menjadi parti paling dominan dan mampu membentuk kerajaan secara bersendirian selepas pilihan raya umum berkenaan.

"Walaupun saya tidak nafikan peluang DAP untuk menang beberapa kerusi Parlimen penting pada PRU15, saya percaya parti itu tidak akan menjadi parti dominan.

"Soal kemungkinan kita bekerjasama dengan DAP mahu pun parti lain selepas PRU15, kita tidak pernah bincang. Tetapi secara peribadi saya tidak fikir UMNO akan terima DAP untuk bentuk koalisi kerajaan baharu sekalipun tiada parti peroleh majoriti kelak.

"Bagaimanapun, perkara itu bergantung dengan keadaan dan situasi politik selepas PRU15. Namun saya yakin UMNO-BN mampu menjadi parti paling dominan dan membentuk kerajaan secara bersendirian kelak," tegas Jalaluddin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca