BIARPUN Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain bermatlamat mewujudkan 'Generational End Game (GEG)' atau generasi penamat perokok mungkin diluluskan oleh Dewan Rakyat, namun dari segi... Klik di sini untuk terus membaca

BIARPUN Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang antara lain bermatlamat mewujudkan 'Generational End Game (GEG)' atau generasi penamat perokok mungkin diluluskan oleh Dewan Rakyat, namun dari segi pelaksanaannya adalah tidaklah semudah 'A, B, C.

Walaupun ramai yang mungkin bersetuju dengan cadangan mengharamkan generasi muda yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007 menggunakan sebarang produk berasaskan tembakau, namun ada juga yang melihat akta ini seolah-olah satu diskriminasi dan akta dua darjat.

Pertamanya, kita akan menghalang seseorang anak muda daripada merokok tetapi sumber produk itu bertebaran dijual secara terbuka di pasaran, Keduanya, anak muda mungkin melihat ia satu ketidakadilan kerana rokok tidak diharamkan secara menyeluruh kerana pada waktu mereka seolah-olah diperlakukan seperti 'penjenayah', orang lebih tua pula bebas merokok.

Tidak ketinggalan, pejuang hak asasi juga melihat akta ini seolah menyekat kebebasan individu terutamanya generasi muda. Dan keempatnya, kebimbangan orang muda akan memberontak apabila mereka mereka dikenakan kompaun RM5,000 atau RM500 sedangkan sekumpulan orang lain lebih tua pula tidak didenda.

Lantaran itulah, dalam melulus dan menguatkuasakan akta ini, ia perlu diperhalusi dengan bijaksana supaya orang muda tidak terasa didiskriminasi dan lebih teruk diperlakukan seperti penjenayah.

DR NUR AMANI

TIDAK KESAMPAIAN

Malah, hasrat kerajaan untuk mewujudkan generasi GEG berkenaan mungkin tidak kesampaian jika penguatkuasan akta baharu itu sekadar melepaskan 'batuk di tangga' dan tidak mendapat kerjasama semua pihak termasuk pemimpin politik, ahli Parlimen dan syarikat swasta.

Pengamal perubatan, Prof Madya Dr Nur Amani Ahmad Tajuddin berkata, walaupun pembentangan RUU adalah satu langkah positif namun beliau melihat kerajaan perlu melakukan pelbagai langkah proaktif bagi memastikan generasi muda dilahirkan selepas 2007, tidak terjebak budaya menghisap rokok, vape, e-rokok atau sebarang produk tembakau.

"Apabila kita bercakap pasal RUU maka kita kena lihat dari sudut perundangan dan penguatkuasaan yang memerlukan kerjasama semua pihak. Biarpun sudah ada pelbagai program dan kempen berhenti merokok namun kita perlu lebih proaktif bagi memastikan mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 tidak terdedah langsung dengan produk tembakau.

"Penguatkuasaan undang-undang baharu berkenaan perlulah merangkumi semua produk tembakau termasuk rokok konvensional, e-rokok, vape, shisha atau snaff (tembakau kunyah) seperti ditetapkan di bawah RUU tersebut," katanya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pada Rabu lalu, telah membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang mengandungi antara lain peruntukan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Khairy ketika membentangkan RUU berkenaan menjelaskan kerajaan berbuat demikian bertujuan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok, selain mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok.

Langkah berkenaan juga diyakini dapat mengurangkan peratus perokok di Malaysia kepada kurang lima peratus menjelang 2040 berbanding kira-kira 21 peratus ketika ini.

Untuk rekod Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mengesahkan tabiat merokok membunuh lebih lapan juta penduduk dunia setiap tahun, termasuk 1.2 juta perokok pasif. Perokok pasif adalah mereka tidak merokok tetapi menghidu atau menyedut asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif.

Justeru, pelaksanaan akta itu kelak juga dapat menurunkan kes tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok iaitu barah paru-paru, sakit jantung dan penyakit paru-paru tersumbat kronik (COPD) akibat merokok.

Sehubungan itu, KKM berharap semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan mereka dengan menyokong RUU itu apabila dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu ini dan jika diluluskan kelak, undang-undang ini akan berkuat kuasa pada 2025.

Peruntukan itu adalah melarang pembelian dan penjualan produk tembakau atau e-rokok kepada mana-mana individu yang lahir pada dan selepas 1 Januari 2007, serta keperluan pendaftaran produk merokok.

Peruntukan ketiga membabitkan kuasa menteri melarang sebarang bentuk produk merokok sekiranya terdapat situasi akut atau kritikal yang membahayakan nyawa, kesihatan atau keselamatan penduduk akibat penggunaannya.

MUSA

MALAYSIA DAN NEW ZEALAND

Malah, difahamkan sehingga kini Malaysia dan New Zealand adalah dua negara pertama yang membawa RUU GEG ke Parlimen masing-masing, minggu lalu.

Ketika ini, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus untuk kawal selia produk tembakau, e-rokok dan vape. Penguatkuasaan ketika ini adalah mengikut Seksyen 36 Akta Makanan 1983.

Dalam pada itu, Dr Nur Amani berkata, semua pihak juga tidak boleh keliru antara cadangan kerajaan membenarkan penggunaan cannabidiol atau CBD untuk merawat penyakit kronik dan kebenaran menanam ganja.

Beliau yang juga Pakar Perunding Perubatan Keluarga dan Felo Kawalan Tembakau, Fakulti Perubatan Universiti Malaysia (UM) berkata, kerajaan tidak pernah bercadang membenarkan penanaman ganja, sebaliknya mereka mahu mengkaji keberkesanan pengguna CBD untuk merawat penyakit kronik.

"Justeru, saya berharap pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen tolonglah teliti fakta sebenar dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga memesongkan pemikiran rakyat mengenai isu cadangan kerajaan untuk membenarkan CBD untuk merawat penyakit kronik dengan penanaman ganja," katanya.

Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sanjay Rampal berkata, beliau yakin matlamat kerajaan untuk mewujudkan generasi penamat perokok atau GEG mampu dicapai sekiranya pengguatkuasaan RUU berkenaan mendapat kerjasama semua pihak termasuk masyarakat sendiri.

"Ya, saya berpendapat sekiranya masyarakat bersetuju dan bekerjasama, kita boleh menghapuskan tabiat buruk dan tidak sihat ini.

"Penguatkuasaan adalah kuncinya namun ia bukan tanggungjawab dan tugas pihak berkuasa atau kerajaan semata-mata sebaliknya daripada orang awam sendiri.

"Amalan merokok kronik menyebabkan jangka hayat seseorang semakin pendek dan sekali gus mengakibatkan ramai perokok mungkin tidak dapat menikmati tahun keemasan (usia tua) mereka berbanding bukan perokok," katanya.

TANAM GANJA

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata beliau melihat cadangan kerajaan untuk mewujudkan generasi GEG amat baik untuk generasi anak muda Malaysia kerana merokok boleh menjejaskan kesihatan mereka dalam tempoh jangka panjang.

"Saya menyokong pembentang RUU ini memang bagus kerana dapat menyekat anak muda daripada terjebak dengan budaya merokok.

"Bagaimanapun, jika ada mana-mana pihak berhasrat menanam ganja atau ketum untuk tujuan kajian dan perubatan, mereka mestilah mendapat kebenaran pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan bukan semua orang boleh tanamnya.

"Kalau semua orang awam boleh tanam maka lebih banyak keburukan akan timbul berbanding kebaikan. Tanam ganja untuk tujuan kajian dan perubatan berkenaan juga memerlukan kawalan keselamatan ketat supaya tidak disalahgunakan atau dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca