TERDAPAT tiga kawasan tapak rizab Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Malaysia iaitu Tasik Chini, Pahang; Banjaran Crocker, Sabah; dan Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Setiap rizab tersebut wajar dilindungi, dipelihara dan dikekalkan kerana keunikan dan kepentingannya sama ada kepada alam sekitar, hidupan dan masyarakat sekitarnya, bukan semata-mata kerana berstatus rizab UNESCO.
Tasik Chini adalah tasik air tawar kedua terbesar di Malaysia yang mendapat status Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) daripada UNESCO pada 2009. Rizab Biosfera Tasik Chini merupakan gabungan ekosistem tanah bencah air tawar tropika dan hutan hujan tropika tanah pamah dipterokarpa.
Di sini, terdapat sekurang-kurangnya 87 spesies ikan air tawar dan 304 spesies haiwan dengan 189 daripadanya adalah spesies burung. Apatah lagi Tasik Chini menjadi sumber air 1,000 penduduk Orang Asli suku Jakun.
Namun, kegiatan perlombongan dan pembalakan yang berleluasa meracuni air dan memusnahkan habitat semula jadi di situ.
Hakikatnya, hutan di sekitar tasik perlu dikekalkan dan dilindungi kerana memainkan peranan penting untuk menstabilkan alam sekitar, memulihara kepelbagaian biodiversiti, tadahan air dan sumber genetik asas flora dan fauna.
Status Rizab Biosfera ini juga penting untuk dikekalkan kerana ia membantu melonjakkan imej Tasik Chini sebagai destinasi ekopelancongan utama negara, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaannya.
Banjaran Crocker yang berkeluasan 350,584 hektar, terdiri daripada hutan terpelihara dan dihuni komuniti tempatan selain merupakan kawasan tadahan air, sumber alam semula jadi dan kaya dengan budaya.
Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 500 spesies tumbuh-tumbuhan, 107 mamalia, 67 amfibia, 52 reptilia dan 26 spesies hidupan ikan.
Penyenaraian Banjaran Crocker sebagai rizab biosfera pada 2014 menonjolkannya sebagai tapak pembelajaran untuk pembangunan mampan, menghalang kehilangan biodiversiti dan budaya masyarakat, membolehkan pertukaran kepakaran dan promosi sebagai kawasan ekopelancongan.
Rizab biosfera Bukit Bendera yang berkeluasan 12,481 hektar pula mendapat status rizab UNESCO pada 2021.
Rizab ini adalah nadi hijau kepada Pulau Pinang dengan membabitkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua buah empangan.
Rizab ini juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin. Setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.
Sehingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan, 131 spesies fungi, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan lima spesies marin di kawasan itu.
Tanah tinggi seperti Bukit Bendera dan Banjaran Crocker merupakan kawasan yang amat rapuh, justeru sebarang pembangunan yang tidak terancang boleh menjejas dan mengubah sensitiviti kawasan persekitaran tanah tinggi ini selain menambah risiko bencana dan bahaya persekitaran.
Disebabkan sifat alam sekitarnya yang sangat sensitif, pilihan terbaik adalah membangunkannya sebagai tadahan air, rizab hutan, diwartakan sebagai taman negara atau taman negeri, dan dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan.
Hakikatnya, pencalonan ketiga-tiga rizab ini menunjukkan komitmen kerajaan kepada masyarakat antarabangsa berhubung pemuliharaan alam semula jadi.
Kerajaan mempunyai mandat untuk mentadbir, mengurus dan melindungi rizab UNESCO untuk dinikmati generasi akan datang.
Namun, peranan dan penglibatan orang awam terutama masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan telah menjadi semakin penting dalam memastikan status rizab ini dikekalkan.
*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca