SHAH ALAM - Kesemua kapal tempur pesisir (LCS) yang kini sedang menjadi kontroversi telah diberikan nama pahlawan-pahlawan Melayu. Ironinya, kapal keenam dalam perancangan projek yang bernilai RM9.128 bilion itu telah dinamakan sebagai KD... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kesemua kapal tempur pesisir (LCS) yang kini sedang menjadi kontroversi telah diberikan nama pahlawan-pahlawan Melayu.

Ironinya, kapal keenam dalam perancangan projek yang bernilai RM9.128 bilion itu telah dinamakan sebagai KD Mat Kilau sempena pahlawan Melayu Pahang yang kebetulan pada ketika ini popular dalam kalangan masyarakat menerusi filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan.

Menurut penganalisis pertahanan, Zaki Salleh, antara nama lain diberikan untuk kapal LCS ialah KD Maharajalela, KD Sharif Mashor, KD Raja Mahadi, KD Mat Salleh dan KD Tok Janggut.

"Nama kapal-kapal telah diumumkan, cuma ia belum secara rasmi kerana majlis penamaan itu belum dibuat.

"Kapal-kapal diberi nama sedemikian kerana ia merupakan kapal tempur. Selain itu, kapal LCS ini merupakan kapal paling moden dalam armada TLDM,” kata ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jelas Zaki, dalam aset ketenteraan, pemberian nama itu bertujuan untuk mengabadikan tokoh kepahlawanan orang Melayu serta menonjolkan ciri-ciri mereka pada kapal berkenaan.

"Bila melibatkan peralatan tentera, ia mesti tunjukkan ciri-ciri yang digeruni seperti ketangkasan dan kehebatan.

"Sebab nanti nama itu akan dipaparkan bersama lambang di kapal. Macam Mat Kilau, mungkin akan ada lambang keris bersilang dan sebagainya,” ujar beliau.

Zaki menambah, kapal LCS juga dilengkapi keupayaan dari segi sistem pertahanan empat dimensi, sekali gus meletakkannya ke hadapan berbanding kapal-kapal lain.

"10 tahun lepas, kapal-kapal perang selalunya tiga dimensi, maksudnya ia mempunyai keupayaan pertempuran darat, udara dan operasi kapal selam (air) sahaja.

"Untuk LCS ini, ia ada pertambahan iaitu pertempuran (mengatasi ancaman) elektronik. Jadi semasa dirangka pada tahun 2014 itu, ciri-ciri kapal ini memang moden,” katanya.

Dalam pada itu, kontrak bagi projek LCS bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Tidak diketahui bila kapal-kapal tersebut dapat disiapkan sepenuhnya sedangkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu.

Walaupun dalam kontrak menyatakan bahawa dua buah kapal LCS pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019, namun hingga kini tiada satu pun LCS disiapkan dan diserahkan kepada TLDM.

Klik di sini untuk terus membaca