SEPANJANG minggu lalu dan tentunya dijangka minggu-minggu mendatang, isu kepincangan program kapal tempur pesisir atau LCS bakal bermain di bibir umum. Laporan yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan LCS... Klik di sini untuk terus membaca

SEPANJANG minggu lalu dan tentunya dijangka minggu-minggu mendatang, isu kepincangan program kapal tempur pesisir atau LCS bakal bermain di bibir umum.

Laporan yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan LCS seakan-akan panahan kilat dengan guruh berdentum, menggoncang beberapa kerusi empuk di bilik pegawai-pegawai kanan beberapa kementerian serta kepimpinan firma korporat tertentu.

Lebih mengejutkan golongan pahlawan yang membina kerangka doktrin perang maritim, serta bakal menggadai nyawa di atas platform di samudera demi kedaulatan sempadan maritim negara, seakan-akan dipinggirkan dalam proses menentukan apakah kelengkapan terbaik untuk mereka.

Jika dikatakan kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya bersikap pasif, dan menjadi pak turut sahaja, kenyataan mantan Panglima TLDM dengan jelas menyanggah perkara tersebut seperti yang tertera dalam laporan PAC.

Beliau menegaskan bahawa "...saya telah majukan sekurang-kurangnya 10 surat teguran, surat tidak puas hati, surat untuk memaklumkan pendirian TLDM kepada KSU sebanyak 10 surat, kepada Yang Berhormat Menteri lima surat, kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan satu surat, kepada Ketua Setiausaha Negara satu surat, dan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dua surat.”

Analogi pengkisahan kapal LCS mungkin boleh dikiaskan dengan filem arahan seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1968 berjudul Ahmad Albab.

Nama kampung dalam pengkisahan juga begitu sesuai dengan situasi program LCS hari ini, iaitu Kampung Pening Lalat.

Watak utama yang ditonjolkan adalah Saudagar Mas’hud Al Buaya lakonan A. R. Tompel. Beliau merupakan karakter tegas dan tidak langsung mahu mendengar nasihat, walaupun nasihat itu sebenarnya baik untuk beliau.

Keegoan sebagai ketua keluarga dengan kemewahan ditonjolkan telah mengaburi pertimbangannya.

Keadaan semakin parah apabila dua anaknya dikahwinkan dengan anak Ainul Polisi dan Sahibul Khastam secara ‘perigi mencari timba’, malah sanggup membayar wang hantaran dan belanja hangus kepada pihak lelaki dua kali ganda daripada kos sepatutnya!

Dua menantu beliau iaitu Muharam dan Safar tidak bekerja dan sering berbohong dan berfoya-foya di kelab malam sehingga sanggup menggadaikan harta milik isteri mereka.

Bagi membiayai gaya hidup ini, Muharam dan Safar terpaksa melakukan rompakan di kedai barang kemas dan hasil daripada rompakan, mereka terus dapat mengaburi mata isteri dan Saudagar Mas’hud Al Buaya.

Hanya seorang anak perempuan Saudagar Mas’hud Al Buaya yang berani dan tegas tidak mahu menjadi pak turut kepada bapanya, iaitu Mastura.

Beliau dicopkan sebagai degil dan sentiasa menyusahkan bapanya lalu dikahwinkan secara paksa dengan si penggembala kambing bernama Syawal.

Walau menghadapi cabaran yang berat, termasuk daripada bapa beliau sendiri selain Muharam dan Safar, Mastura mampu memberikan nasihat dan teguran membina kepada suami beliau yang digambarkan sebagai tidak bijak, tidak memiliki harta, tidak berpangkat atau berpengaruh, namun mempunyai hati yang murni dan tahu membezakan yang baik dan buruk.

Hadiah-hadiah mahal yang diterima oleh Saudagar Mas’hud Al Buaya ketika menyambut hari jadinya dan pujian melambung diberi kepada si pemberi hadiah mungkin juga membayangkan budaya kita hari ini.

Ini berbeza dengan herdikan dan kejian diterima Syawal ketika menghadiahkan sebungkus garam dan gula manakala Mastura memberikan sekeping capati, kuah kari tanpa garam dan secawan kopi tanpa gula untuk memberi kesedaran kepada Saudagar Mas’hud Al Buaya tentang sikapnya yang buruk itu.

Dalam keadaan tiada siapa yang mahu mengakui kelemahan dan memikul tanggungjawab terhadap kerugian berbilion ringgit yang bakal menyaksikan kemampuan pertahanan maritim negara terjejas, kesudahan isu ini dijangka melalui jalan penuh ranjau.

Mungkin kita akan bernasib baik seperti Syawal yang telah berjumpa Raja Jin di dalam gua yang menawarkan satu jalan penyelesaian mudah untuk menjadi kaya raya sekelip mata.

Namun ‘kemurahan’ hati Raja Jin ini datang dengan syarat yang akan membelenggu anak beliau sepanjang hayatnya.

Syawal perlu membawa anak beliau, Ahmad Albab setiap satu purnama untuk bermain dengan anak Raja Jin dari kecil sehinggalah dewasa.

Jika ini berlaku mungkin nama kapal LCS ini bakal bertukar kepada KD Ahmad Albab!

*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca