SERANGAN udara tentera Israel ke atas Gaza akhirnya berakhir apabila gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir dimeterai antara rejim Zionis dengan kumpulan Jihad Islam pada jam 11.30 malam waktu tempatan pada Ahad lalu. Operasi... Klik di sini untuk terus membaca

SERANGAN udara tentera Israel ke atas Gaza akhirnya berakhir apabila gencatan senjata yang diusahakan oleh Mesir dimeterai antara rejim Zionis dengan kumpulan Jihad Islam pada jam 11.30 malam waktu tempatan pada Ahad lalu.

Operasi ketenteraan rejim Zionis itu yang dikenali sebagai 'Breaking Dawn' bermula pada Jumaat lalu sehingga mengakibatkan Taiseer al-Jabari iaitu seorang ketua bahagian utara Briged Al-Quds yang merupakan sayap tentera Jihad Islam terkorban apabila sebuah apartmen dibom di Gaza.

Khalid Mansour yang merupakan komander bahagian selatan di Gaza dari Briged al-Quds juga terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di bandar Rafah, di selatan Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu termasuk dua lagi pejuang Jihad Islam, Ziad Ahmed al-Mdalal dan Rafat Saleh Sheikh al-Eid.

Sebelum serangan itu bermula pada Jumaat lalu, rejim Zionis menangkap Bassam el-Saadi iaitu seorang anggota kanan Jihad Islam Palestin di kem pelarian Jenin, Tebing Barat pada 1 Ogos lalu dalam satu serbuan yang mengakibatkan seorang remaja Palestin terkorban.

Rejim Zionis kemudian dalam langkah mengejut memutuskan untuk menyekat lalu lintas di sekitar komuniti Israel yang bersebelahan sempadan Gaza dengan Israel, dengan menyatakan kebimbangan bahawa tindakan balas akan dilakukan berikutan penahanan Bassam.

Walaupun kumpulan yang mendapat sokongan Iran itu tidak bertindak balas, Israel kemudian melancarkan serangan udara pada Jumaat lalu dan mendakwa bahawa kumpulan tersebut merancang serangan terhadapnya walaupun ia tidak memberikan bukti tentang dakwaan tersebut.

Sebagai tindak balas kepada pengeboman di Gaza, Jihad Islam kemudian melancarkan serangan lebih daripada 100 roket ke arah Israel manakala Hamas yang merupakan pemerintah de facto di wilayah itu tidak mengambil bahagian dalam serangan ke atas rejim Zionis.

Dalam serangan pada Jumaat lalu, tumpuan utama adalah bangunan kediaman di bandar Gaza dengan beberapa peluru berpandu mendarat dengan tepat pada tiga buah apartmen di bangunan itu yang menyebabkan Taiseer iaitu salah seorang pemimpin Briged Al-Quds terkorban manakala Alaa Qaddoum iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bersama seorang wanita berusia 23 tahun dan tujuh lelaki Palestin yang lain turut terbunuh.

Tentera Israel juga tidak menjelaskan bagaimana serangannya boleh membunuh Alaa Qaddoum dan tiada permohonan maaf dibuat mahupun pengakuan bahawa kesilapan telah dibuat tetapi kanak-kabnak tersebut tinggal berhampiran dengan Taiseer menjadikannya sasaran yang sah.

Beberapa jam selepas pengeboman Israel, Jihad Islam mula bertindak balas dengan melepaskan tembakan mortar dan roket ke arah dua bandar di pinggir selatan Tel Aviv tetapi rejim Zionis Israel terus mengebom Gaza.

Angka kematian kemudiannya meningkat apabila Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan pada Ahad lalu menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dalam serangan Israel ke atas Gaza dengan lebih 350 orang awam cedera sejak Jumaat lepas.

Runtuhan bangunan akibat serangan tentera Israel di Gaza baru-baru ini, - Foto AFP

Dalam satu letupan, seramai lima kanak-kanak lelaki berusia antara lima dan 14 tahun terkorban ketika duduk di sebelah kubur datuk mereka di tanah perkuburan Falluja di utara Gaza manakala menurut Kementerian Kesihatan tersebut, satu lagi serangan telah mengorbankan tiga kanak-kanak, semuanya adalah adik-beradik.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya lebih 300 penduduk Palestin terkorban dalam serangan paling serius sejak konflik 11 hari berlaku pada Mei 2021 di Gaza ketika Israel di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Ramai penduduk Palestin dan Israel berhaluan kiri menyatakan bahawa Perdana Menteri sementara Israel, Yair Lapid yang kurang dua bulan memegang jawatan itu sengaja meletakkan Israel dalam keadaan berjaga-jaga untuk konfrontasi ketenteraan bagi menyokong kedudukan politiknya menjelang pilihan raya umum Israel akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 1 November depan.

Menurut portal berita Middle East Eye, dakwaan tersebut mempunyai logik tertentu kerana Lapid ialah seorang pemimpin awam dan tidak pernah berkhidmat sebagai askar tempur serta menghabiskan perkhidmatan tenteranya sebagai wartawan dengan akhbar tentera.

Oleh itu, dengan memupuk aura keselamatan yang kuat walaupun beliau kurang pengalaman dalam aspek pertempuran, Lapid boleh meningkatkan kedudukannya dengan orang ramai di Israel.

Baru-baru ini, Netanyahu yang merupakan bekas Perdana Menteri yang menghadiri taklimat keselamatan dengan Lapid di Tel Aviv telah memberikan sokongannya kepada kerajaan haram tersebut berhubung operasi ketenteraan di Gaza.

Satu kemungkinan ialah Lapid mahu mengukuhkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang kuat ketika kurang tiga bulan sebelum pilihan raya umum bermula, kata seorang penganalisis politik Israel, Meron Rapoport kepada Middle East Eye.

Pada bulan lalu, Lapid menjadi Perdana Menteri ke-14 dan beliau mengambil alih kerajaan sementara menjelang pilihan raya Israel yang dijadualkan berlangsung pada 1 November depan.

Beliau menggantikan Naftali Bennett yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan pembubaran Parlimen setelah kerajaan campurannya tumbang.

Bennett pula menjadi Perdana Menteri pada 13 Jun lalu selepas membentuk kerajaan campuran sekali gus mengetepikan Netanyahu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca