SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak mempercayai pengambilan makanan eksotik seperti daging harimau, tenggiling dan sebagainya boleh memberikan manfaat kepada kesihatan kerana belum ada sebarang kajian seumpama itu dijalankan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak mempercayai pengambilan makanan eksotik seperti daging harimau, tenggiling dan sebagainya boleh memberikan manfaat kepada kesihatan kerana belum ada sebarang kajian seumpama itu dijalankan di negara ini.

Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, khasiat sesuatu makanan perlu dibuktikan melalui kajian saintifik.

Beliau berkata, secara umumnya makanan eksotik yang dikaitkan dengan daging hidupan liar memiliki toksin atau racun yang dibimbangi boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

"Kita sedia maklum daging haiwan eksotik seperti ular dan sebagainya mempunyai bisa atau racun yang boleh mengganggu kesihatan kalau tidak dimasak dengan betul.

"Malah, pengambilan daging harimau atau beruang juga sememangnya salah kerana haiwan berkenaan dilindungi dan mereka yang mengambilnya boleh dikenakan hukuman.

"Jadi pada saya, lebih baik kita mengamalkan pemakanan sihat yang telah terbukti mempunyai khasiat melalui kajian-kajian dilaksanakan sebelum ini. Jangan kita pilih makanan yang memberi mudarat kepada kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan mengatakan pengambilan daging haiwan liar atau eksotik mempunyai khasiat dan boleh memberikan tenaga kepada manusia.

Ia susulan laporan Sinar Ahad mengenai polis mengesan wujudnya restoran dan kedai makan eksotik menawarkan hidangan daging haiwan liar di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, wujud aktiviti melibatkan individu tertentu yang mendapatkan sumber daging haiwan liar daripada Orang Asli dan penduduk tempatan dengan menawarkan harga tinggi melalui siasatan dijalankan pihaknya.

Norhasmah dalam masa sama turut menjelaskan terdapat beberapa negara di rantau ini termasuk Vietnam telah menjalankan kajian saintifik mengenai khasiat makanan membabitkan beberapa hidupan liar namun tiada kandungan nutrisi terperinci dipamerkan kepada orang ramai.

Klik di sini untuk terus membaca