SHAH ALAM - Pendakwah, Wan Ji Wan Hussin mencadangkan penggunaan sistem pendidikan di pondok sebagai usaha membanteras golongan pengganas dan ekstremis di negara ini.
Wan Ji berkata, ini kerana golongan berkenaan selalunya dikaitkan dengan sikap bersangka buruk terhadap orang lain yang akhirnya mewujudkan personaliti membenci sesuatu kaum.
"Untuk berhadapan dengan terrorist (pengganas) dan ekstremis, saya cadangkan sistem pendidikan pondok digunakan kerana ia menekankan sifat ahli sufi dan tasawuf.
"Ajaran yang dasar adalah kita kena buang sifat buruk (mazmumah) dan membawa sifat terpuji (mahmudah) dalam diri.
"Jika betul-betul dihayati apa yang ditanam dalam sistem pendidikan pondok, ia mampu membentuk manusia yang baik sekali gus individu itu tidak akan melakukan perkara jahat,” katanya pada program Wacana Edisi ke-360 dengan tajuk ‘Pondok Bukan Sarang Ekstremis’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut diundang sebagai panelis adalah Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah, Institusi Pendidikan Islam Terengganu, Muzaihar Kamal Mustafa Kamal manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu Wan Ji menjelaskan, individu yang terjebak dengan idea pengganas selalunya dipengaruhi oleh pemahaman luar yang diajar dan ditanam dalam minda dan bukannya lahir dalam institusi pondok.
"Perkara yang perlu dijelaskan adalah, cara tafsiran golongan pengganas terhadap al-Quran dan hadis tidak sama dengan cara orang pondok tafsirkan.
"Pemahaman Islam mengenai golongan tersebut memang wujud sejak dahulu lagi, namun ia tidak boleh dikaitkan dengan Islam kerana pengganas tidak ada agama.
"Tetapi tidak dinafikan ada golongan yang memanipulasikan ayat al-Quran dan hadis untuk mengabsahkan pengganas dan ia memang berlaku pada zaman dahulu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca