SHAH ALAM - Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor sedang meneliti sistem pendidikan institusi pondok dan menyarankan supaya ada keseimbangan antara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor sedang meneliti sistem pendidikan institusi pondok dan menyarankan supaya ada keseimbangan antara akademik serta agama.

Ujar beliau, keseimbangan itu penting bagi melahirkan individu yang berketerampilan dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek.

"Sekolah pondok kalau kita lihat memang pada asal menekankan pada pendidikan agama, tetapi saya melihat hari ini semua sekolah menggalakkan pelajar supaya melanjutkan pelajaran ke bidang akademik.

"Sekarang ini ramai pelajar belajar di sekolah pondok, sekolah agama dan sekolah arab, mereka mengambil akademik, akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar Edisi ke-360 bertajuk ‘Pondok Bukan Sarang Ekstremis’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rabitah Institusi Pendidikan Islam Terengganu (Rabitah), Muzaihar Kamal Mustafa Kamal dan pendakwah, Wan Ji Wan Hussin manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mohd Zawawi bagaimanapun berkata, ada ibu bapa secara tidak sedar terlalu memberi keutamaan dari segi akademik untuk anaknya berbanding segmen lain seperti kurikulum dan agama.

"Anaknya disuruh belajar dari pagi hingga petang, pergi tuisyen kemudian pada malam pun pergi tuisyen lagi.

"Penumpuan mereka tertumpu pada satu bidang iaitu intelek sahaja sehinggakan mereka tidak ada masa untuk pergi ke masjid, bersosial dan belajar untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

"Akhirnya apabila mereka tamat belajar di universiti, mereka akan jauh dari institusi masjid,” ujarnya.

Jelasnya, penekanan ke arah akademik secara berlebihan itu boleh memberi kesan kepada ketidakseimbangan dalam emosi.

"Sebagai contoh, apabila gagal skor dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ada yang mengambil tindakan ekstrim seperti membunuh diri dan mencederakan,” menurutnya.

Klik di sini untuk terus membaca