SHAH ALAM - Semakin hari, Malaysia dibanjiri dengan pelbagai penyakit berbahaya dan mudah dijangkiti seperti Covid-19, influenza dan terbaharu, cacar monyet atau Monkeypox sehingga timbul persoalan sama ada udara yang kita sedut setiap hari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semakin hari, Malaysia dibanjiri dengan pelbagai penyakit berbahaya dan mudah dijangkiti seperti Covid-19, influenza dan terbaharu, cacar monyet atau Monkeypox sehingga timbul persoalan sama ada udara yang kita sedut setiap hari masih selamat atau tidak.

Pakar Pediatrik dan Pediatrik Imunologi, Dr Lokman Mohd Noh berkata, udara di kawasan lapang masih selamat, namun tidak bagi kawasan tertutup tanpa ventilasi kerana ia boleh mendatangkan risiko penularan jangkitan melalui udara.

"Udara di luar rumah atau di kawasan lapang tidak mengandungi kepekatan viral load yang tinggi dan seharusnya tidak meningkatkan risiko jangkitan.

"Bagaimanapun, kawasan pekarangan tertutup tanpa ventilasi yang menempatkan ramai orang akan membawa risiko walaupun hanya seorang dengan influenza atau Covid-19 batuk lalu mengeluarkan virus ke udara tanpa pelitup muka,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, dalam keadaan kes influenza dan Influenza-Like-Illness (ILI) meningkat, di samping Covid-19 yang masih belum menurun, masyarakat digalakkan memakai pelitup muka sekerap mungkin.

"Waktu yang sangat perlu untuk memakai pelitup muka adalah apabila mereka dijangkiti influenza, ILI atau Covid-19 dengan gejala batuk agar tidak berjangkit kepada orang lain di tempat awam dan berkedudukan dengan ramai orang dalam pekarangan tertutup seperti mesyuarat atau bilik kuliah.

"Bagi influenza yang ‘menukar wajah’ secara kerap hampir setiap tahun, pema-kaian pelitup muka boleh dilonggarkan apabila kes turun tetapi apabila varian influenza baharu (mutasi) berlaku, pemakaian pelitup muka amat digalakkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Imunologi Klinikal dan Alergi (Kanak-kanak & Dewasa) serta Pakar Perunding Pediatrik, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Amir Hamzah Abdul Latif berkata, kualiti udara di dalam adalah dua hingga lima kali lebih teruk daripada kualiti udara di luar.

"Kualiti udara secara keseluruhannya sudah berkurangan dengan adanya pencemaran udara luaran dan dalaman.

"Jadi, isu kualiti udara yang tidak baik sudah tentu akan membuatkan penyakit per-nafasan berjangkit lebih cepat merebak.

"Maka, setiap tempat wajib mempunyai ventilasi sangat bagus bagi mengurangkan penularan penyakit pernafasan berjangkit,” jelas beliau.

WAD PENUH

Sementara itu, majoriti wad kanak-kanak di hospital penuh sehingga terpaksa ditambah katil di setiap kubikel akibat meningkatnya bilangan pesakit influenza.

Pakar Perubatan Pediatrik Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi berkata, ramai yang mendakwa tidak berjaya mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana tiada kekosongan katil sehingga terpaksa pulang ke rumah.

"Sekiranya katil di wad hospital swasta sudah penuh, pesakit perlu balik ke rumah dahulu sehingga dipanggil oleh pihak hospital apabila terdapat katil kosong.

"Di hospital kerajaan pula, mereka terpaksa menambah katil sekiranya berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

Contohnya, wad yang hanya boleh memuatkan 30 katil terpaksa membuat penambahan katil di setiap kubikel,” katanya.

Jelasnya, jangkitan Influenza Like Illness (ILI) seperti Influenza A atau B meningkat berdasarkan pertambahan kes di hospital kerajaan dan swasta.

"Influenza di luar negara merupakan jangkitan bermusim dan begitu ketara pada musim sejuk tetapi berbeza di Malaysia, jangkitan berlaku sepanjang tahun.

Tidak dinafikan, simptomnya mirip Covid-19,” katanya.

Pemakaian pelitup muka amat penting terutama bagi murid sekolah ketika berada di dalam kelas atau di kawasan tertutup.

SUHU SAMPAI 39.8 DARJAH CELSIUS

Dalam pada itu, seorang pegawai bank, Haikal Lokman berkata, sebagai seorang bapa kepada dua orang anak, dia amat risau akan keadaan anak kecilnya yang tidak bermaya selepas dijangkiti influenza.

"Saya berasa gelisah kerana anak pertama demam teruk sehingga 39.8 darjah Celsius.

"Kebiasaannya, dia aktif walaupun tidak sihat, namun semenjak terkena influenza, dia tidak mahu makan dan tidur sahaja.

Malah, Haikal dan anak keduanya turut mengalami kesan jangkitan tersebut walaupun disahkan negatif influenza.

"Saya turut demam selama empat hari dan masih belum pulih sepenuhnya.

Anak kedua pun demam walaupun kami semua tidak menghidap influenza,” katanya.

Susulan itu, Haikal, 30, berpendapat adalah tidak sesuai buat penjaga dan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke taska atau sekolah seandainya keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

"Jika ibu bapa melihat anak mereka demam atau mempunyai gejala, tolong kuarantin dan jangan hantar ke taska.

"Selepas anak dijangkiti, saya kuarantin mereka selama seminggu untuk elakkan berjangkit kepada lain.

"Namun ada segelintir ibu bapa yang tidak bertanggungjawab tetap menghantar anak mereka ke taska dengan alasan tidak tahu anak mereka tidak sihat.

"Perkara itu tidak patut berlaku dan akan menyusahkan orang lain,” katanya

Jelas Haikal, walaupun kes influenza terhadap kanak-kanak meningkat, taska tidak perlu ditutup, namun wajib mengamalkan pencegahan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Klik di sini untuk terus membaca