SHAH ALAM - Jangkitan influenza yang mempunyai gejala seolah-olah Covid-19 telah menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sehingga menyebabkan ramai tidak tahu membezakan kedua-dua wabak yang boleh membawa maut itu. Pakar Perunding Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jangkitan influenza yang mempunyai gejala seolah-olah Covid-19 telah menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat sehingga menyebabkan ramai tidak tahu membezakan kedua-dua wabak yang boleh membawa maut itu.

Pakar Perunding Kanan Imunologi Klinikal dan Alergi (Kanak-kanak & Dewasa) serta Pakar Perunding Pediatrik, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Amir Hamzah Abdul Latif berkata, influenza dan Covid-19 adalah penyakit pernafasan berjangkit tetapi disebabkan oleh virus berbeza.

"Kedua-duanya adalah penyakit pernafasan dan berkongsi simptom sama termasuk batuk, hidung berair, sakit tekak, demam, sakit kepala dan keletihan.

"Orang ramai mungkin mempunyai tahap penyakit berbeza-beza dengan Covid-19 dan influenza.

"Sesetengah mungkin tidak mempunyai gejala, gejala ringan atau penyakit yang teruk, namun kedua-dua penyakit ini boleh membawa maut,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagi mereka yang keliru sama ada menghidap jangkitan influenza atau hanya demam selesema, Dr Amir Hamzah menjelaskan, ia berasal daripada virus berbeza dan gejala demam selesema lebih ringan.

"Influenza disebabkan oleh virus influenza sahaja, manakala selesema biasa boleh disebabkan oleh beberapa virus berbeza seperti rhinovirus.

"Gejala influenza antaranya demam atau rasa menggigil, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala dan keletihan.

"Gejala demam selesema biasanya lebih ringan daripada gejala influenza.

Orang yang demam selesema lebih cenderung mengalami hidung berair atau tersumbat.

Demam selesema umumnya tidak mengakibatkan masalah kesihatan serius,” katanya.

BANYAK VIRUS

Dr Amir Hamzah yang merupakan ahli Transla-tional Immunology Group for Education, Research and Society (TIGERS) berpandangan, kekeliruan dihadapi masyarakat itu kerana jangkitan penyakit pernafasan mempunyai simptom tertentu yang hampir serupa dan hanya akan diketahui melalui pemeriksaan virus tersebut.

"Sekiranya penyakit pernafasan jangkitan berlaku dan tidak perlu masuk wad, kebiasaannya pesakit tidak perlu diuji virus mana menjadi penyebabnya.

"Perlu diingatkan, selain Covid-19, masih banyak virus lain yang boleh menyebabkan jangkitan pernafasan sama seperti terjadi sebelum pandemik.

Jadi, masyarakat perlu lebih peka dan melakukan pemeriksaan jika perlu,” katanya.

Kanak-kanak lebih cenderung dijangkiti dan menyebarkan virus influenza. - Gambar hiasan

Tambah beliau, antara gejala demam influenza yang perlu diawasi adalah demam tinggi akut, batuk kering, sakit kepala, sakit otot dan sendi, rasa tidak sihat serta lenguh, sakit tekak dan hidung berair.

"Batuk boleh menjadi teruk dan boleh bertahan dua minggu atau lebih.

Kebanyakan orang pulih daripada demam dan gejala lain dalam masa seminggu tanpa memerlukan rawatan perubatan.

"Terdapat empat jenis virus influenza iaitu jenis A, B, C dan D.

Virus influenza A dan B beredar serta menyebabkan wabak penyakit.

"Influenza-Like Illness atau ILI adalah jangkitan pernafasan akut dengan demam melebihi 38 darjah Celsius dan batuk di mana permulaan simptom dalam tempoh 10 hari sebelumnya,” katanya.

REMBESAN HIDUNG

Dalam pada itu, Pakar Pediatrik Imunologi dan Alergi di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, Dr Intan Juliana Abd Hamid berkata, kanak-kanak lebih cenderung dijangkiti serta menyebarkan influenza kerana mereka mempunyai sejumlah besar virus dalam rembesan hidung mereka dan selepas jangkitan, proses peluruhan virus berlaku selama beberapa hari.

"Bagi kebanyakan kanak-kanak kecil yang menghidap influenza, ini adalah kali pertama mereka terdedah kepada virus tersebut.

Sistem imun mereka adalah naif kepada influenza, jadi ia bertindak balas lebih perlahan kepada jangkitan tersebut.

"Itu bermakna virus influenza boleh menyebabkan kesan buruk yang ketara sebelum sistem imun dapat mengawalnya.

Mereka juga sering batuk tanpa menutup mulut dan hidung, maka akan memercikkan virus kepada orang yang terdekat dengan mereka,” katanya.

Dr Intan Juliana menjelaskan, walaupun influenza kebanyakan masa boleh sembuh dengan sendiri atau memerlukan antiviral, ia juga boleh melarat lebih teruk sehingga meragut nyawa.

"Pesakit yang bukan daripada kumpulan berisiko tinggi diuruskan dengan rawatan simptomatik dan dinasihatkan untuk rehat di rumah bagi meminimumkan risiko menjangkiti orang lain dalam komuniti.

"Pesakit harus memantau diri mereka untuk mengesan jika keadaan mereka semakin merosot dan perlu mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya,” kata beliau.

Menurut Dr Intan Juliana, pesakit dengan penyakit klinikal yang teruk atau progresif dan diketahui berada dalam kumpulan berisiko tinggi harus dirawat dengan antivirus sebagai tambahan kepada rawatan simptomatik secepat mungkin sebaik-baiknya dalam tempoh 48 jam pertama.

Klik di sini untuk terus membaca