PENGHIJRAHAN Parameswara dari Majapahit yang kemudiannya membuka Melaka pada kurun ke-14, membawa era pemerintahan Melayu yang tersohor di Semenanjung.
Bagaimanapun, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah Tua turut mempunyai kerajaan jauh lebih awal sebelum itu.
Menurut kajian sejarah, teknologi kerajaan Melayu Melaka begitu terserlah.
Pelabuhan Melaka merupakan di antara pelabuhan yang sibuk di dunia sebelah sini dengan perdagangan dari benua Cina, India, tanah Arab hingga ke Eropah.
Malah terdapat bukti perhubungan kerajaan Melaka dengan empayar Uthmaniyah.
Teknologi perkapalan dan maritim Melayu Melaka dihormati pihak luar.
Kapal Mendam Berahi, iaitu kapal terbesar Melayu itu jauh lebih besar dari kapal negara-negara di Eropah termasuk dari Portugal.
Melayu membina pistol, senapang, meriam dan bom.
Kerana itu, apakah mungkin Hang Tuah punyai sepucuk pistol selain daripada keris Taming Sari?
Anutan 3G iaitu gold, glory dan gospel daripada golongan penjajah Portugis, Sepanyol, Belanda dan British mengubah niat asal mereka dari berdagang kepada menakluk demi perjuangan agama mereka.
Berkurun lamanya Barat menjajah Tanah Melayu hingga akhirnya di tangan British.
Bukan sedikit tentangan orang Melayu terhadap British.
Hampir setiap negeri yang didatangi British mendapat tentangan dari orang Melayu.
Muncul nama-nama pahlawan Melayu penentang British, di antaranya Tok Janggut, Kelantan; Haji Abdul Rahman Limbong, Terengganu; Mat Kilau, Pahang; Si Bongkok, Johor dan Dato’ Dol Said, Negeri Sembilan.
Raja Haji Fisabililah pula adalah pahlawan Melayu di Selangor; Perak, Dato Maharaja Lela; Kedah, Panglima Tok Rashid; Sabah, Mat Salleh dan Sarawak pula mempunyai pahlawan Rosli Dhoby.
Ringkasnya Melayu hidup dan bernyawa menentang penjajah dari seluruh pelosok tanah airnya.
Cadangan Malayan Union pada 1948 menghimpun orang Melayu dari segenap lapisan menentang British.
Golongan bangsawan yang memimpin gerakan menentang Malayan Union disokong oleh orang Melayu dalam kalangan guru, petani, nelayan, penarik beca termasuk suri rumah.
Dan, Jalur Gemilang berkibar setelah bendera Union Jack diturunkan.
Kita melaung tujuh kali perkataan ‘Merdeka’ dengan bangganya. Itulah simbol fizikal kemerdekaan negara.
Tetapi mental kita masih tertakluk.
Tidak keterlaluan seandainya dikatakan minda kita belum bebas hingga ke hari ini.
Tinggalan jajahan minda yang paling berkesan ialah lemahnya jiwa orang Melayu.
‘Melayu pemalas’ adalah label yang diasak penjajah ke dalam minda orang Melayu. Frank Swettenham, Hugh Clifford, J.W.W Birch, Stamford Raffles dan R.O Winsteldt adalah di antara pegawai British dan juga orientalis yang melekatkan label itu hingga masih ramai orang Melayu yang mempercayainya.
Saya pernah menyampaikan maklumat mengenai kejayaan kesultanan Melayu Melaka kepada seorang pelanggan yang berkunjung ke kedai buku saya, IqraRead.
Taklimat saya itu disambut dengan senyuman sinis!
Namun, saya tidak hairan sekiranya ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri yang gusar bila saya bercakap tentang ‘Melayu.’
Mereka bimbang kata-kata ini membawa kepada sikap rasis.
Sebenarnya mereka takut dan tidak yakin dengan diri mereka yang menjadi orang Melayu kerana mereka yakin bahawa diri mereka dari golongan yang lemah dan malas.
Mereka bimbang sikap berterus terang ini dianggap ganas.
‘Biarlah kita tenang-tenang dan jangan riuh-riuh,’ kata hati mereka ini.
Ini timbul kerana sejarah bangsa telah dipancung dari jiwa hingga mereka berasakan yang mereka hanyalah manusia yang tiada akar umbi.
Siapakah yang memancung sejarah mereka?
Selepas para orientalis, maaf cakap... orang politiklah yang memutuskan pertalian sejarah asal usul kita.
Buktinya, bila disebut sejarah Malaysia, yang sentiasa diuar-uarkan mereka hanya sejarah sejak 31 Merdeka.
Apakah kita tiada sejarah sebelum itu, sedangkan segala denyut nadi perjuangan dan pertumpahan darah telah mengalir lama sebelum itu?
Maka peliklah bila ramai yang percaya kita merdeka tanpa setitis darah yang gugur!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca