SHAH ALAM - Timbul beberapa dakwaan bahawa peningkatan kes jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak bermula dari sekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska). Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Mahanom Basri berpandangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbul beberapa dakwaan bahawa peningkatan kes jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak bermula dari sekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska).

Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Mahanom Basri berpandangan bahawa tidak wajar sekiranya ada pihak yang menyalahkan taska semata-mata kerana majoriti taman asuhan tersebut sudah melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang teliti.

Mahanom

"Ramai yang menyalahkan taska.

Dari awal, kami pasti melakukan pemeriksaan kesihatan iaitu saringan kendiri kepada anak-anak yang dihantar ke taska di awal pintu masuk.

"Sekiranya kanak-kanak mengalami selesema, demam dan batuk, pihak taska tidak membenarkan ibu bapa menghantar anak mereka pada hari tersebut, selain mereka diminta untuk mengambil cuti.

"Kami mengambil serius perkara ini dan sudah bekerjasama bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) untuk sentiasa membaik pulih langkah penjagaan yang kita perlu beri perhatian,” katanya kepada Sinar Premium.

Kata Mahanom, sekiranya jangkitan terjadi di taska, pihak taman asuhan tersebut akan mengambil tindakan segera dengan mengasingkan kanak-kanak itu di bilik isolasi dan terus menghubungi ibu bapa mereka.

"Kadang-kadang, ada anak-anak yang sampai ke taska dalam keadaan sihat tetapi semasa di taska, baru demam.

"Jika itu berlaku, kami akan terus memaklumkan kepada ibu bapa dan mengasingkan kanak-kanak tersebut ke bilik isolasi sehingga mereka mengambil anak mereka.

"Kami juga membuat sanitasi alat mainan, lantai dan peralatan yang digunakan di taska setiap hari mengikut arahan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta mengikut SOP seperti pandemik Covid-19 agar ia tidak merebak,” katanya.

Mahanom turut menggesa ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke taska sekiranya mendapati kanak-kanak tersebut tidak sihat.

"Untuk ibu bapa yang berkemampuan, kita ada program pengasuh di rumah yang mana mereka boleh hubungi pengasuh untuk datang dan menjaga anak di rumah sendiri.

"Inisiatif lain, ibu bapa juga boleh menghantar anak ke keluarga terdekat atau jiran untuk mengelakkan jangkitan merebak ke taska atas nasihat pegawai kesihatan daerah,” katanya.

LEBIH MUDAH DIJANGKITI

Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, kanak-kanak terutama di taska mudah dijangkiti kerana mempunyai imuniti rendah, kurang kefahaman tentang kebersihan dan hubungan rapat antara satu sama lain.

Nurul Azmawati

"Mereka juga suka memasukkan barang ke dalam mulut dan jika barang itu sudah tercemar, virus akan mudah masuk ke dalam mulut.

"Kanak-kanak yang masih kecil belum faham tentang kebersihan atau mengurus diri.

Hubungan yang rapat ketika bermain dan berkongsi permainan memudahkan lagi penyebaran,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil banyak lagi virus lain yang hanya wujud di sesuatu kawasan akan ‘dieksport’ ke negara lain selepas sektor pelancongan dibuka semula.

"Pelancongan ‘berjaya’ menyebabkan Covid-19 merebak dengan mudah.

Influenza pula tersebar melalui cecair pernafasan iaitu virus akan berterbangan bersama hingus dan air liur apabila seseorang bercakap, batuk atau bersin.

"Cecair pernafasan juga boleh mencemari permukaan.

Jadi, masyarakat perlu diingatkan untuk mengamalkan etika batuk dan kerap cuci tangan.

"Kedua-dua rutin ini mesti diteruskan sampai bila-bila dan sentiasa membawa pensanitasi tangan ke mana-mana,” jelas beliau.

Sebelum ini, Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon melaporkan sebanyak 1,531 kes jangkitan saluran pernafasan direkodkan sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-30/2022 iaitu peningkatan 2.7 kali ganda berbanding 574 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Tambah Nurul Azmawati, selagi penyakit berjangkit berbahaya seperti Covid-19 masih ada, masyarakat perlu memakai pelitup muka terutama di tempat tertutup.

"Ini kerana virus bermutasi.

Jika Covid-19 telah tiada, kita tetap digalakkan memakai pelitup muka terutama jika batuk dan selesema bagi memastikan kita tidak sebarkan virus kepada orang lain,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca