SHAH ALAM - Sayu hati ibu bapa apabila melihat keadaan anak mereka yang tidak bermaya dan keletihan akibat jangkitan influenza. Bapa daripada tiga orang anak, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengakui berdepan situasi berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sayu hati ibu bapa apabila melihat keadaan anak mereka yang tidak bermaya dan keletihan akibat jangkitan influenza.

Bapa daripada tiga orang anak, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mengakui berdepan situasi berkenaan apabila anak keduanya, Syed Umar Zill Qayyim berumur lapan tahun disahkan positif Influenza A, baru-baru ini.

Syed Mohd Johan Rizal

"Anak saya demam dan tidak kebah lebih tiga hari.

Pada hari keempat, suhu badannya mencecah 39.2 darjah Celsius.

"Saya terus bawa dia ke hospital dan ketika itu, keadaannya tidak bermaya dan sangat letih sehingga terpaksa diusung menggunakan kerusi roda.

"Dia juga tidak larat untuk berjalan kerana sakit sendi, malah sel darah putih dalam badannya rendah kerana influenza,” katanya kepada Sinar Premium.

Syed Mohd yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia memberitahu, pada mulanya, dia tidak menyangka anaknya itu dijangkiti influenza dan beranggapan hanya demam panas.

"Anak saya mempunyai gejala batuk, selesema, demam dan sakit sendi.

"Selepas demam selama empat hari, saya membawanya ke klinik kerana menyangka itu hanya demam biasa.

"Namun, doktor pakar kanak-kanak menasihatkan untuk dirawat di hospital dan selepas itu, terus disahkan positif Influenza A.

Dia juga terpaksa ditahan selama empat hari di hospital,” katanya.

Apa yang lebih membimbangkan adalah jangkitan tersebut memberi kesan kepada ahli keluarganya yang lain walaupun mereka tidak dijangkiti influenza.

"Saya mengalami batuk dan selesema, manakala isteri dan anak-anak yang lain demam.

Semua seolah-olah ‘berjangkit’ walaupun hasil ujian kami negatif Influenza,” katanya.

Tambahnya, walaupun Syed Umar Zill Qayyim sudah discaj dari hospital dan beransur pulih, namun berasa keletihan dan mengalami kesan seperti Long Covid.

ANAK SAMPAI MENGIGIL

Sementara itu, seorang ibu terpaksa menanggung ujian apabila anaknya, Afya Izzul Hafiy menginjak usia 11 bulan disahkan menghidap influenza selepas pulang dari taska.

Nur Areefah bersama Afya Izzul Hafiy, 11 bulan.

Nur Areefah Che Ahmad Tantowi, 30, berkata, kerisauannya bertambah apabila suhu badan Afya tidak turun walaupun sudah diberi parasetamol (PCM).

"Saya berasa amat risau kerana itu adalah kali pertama berhadapan kondisi anak yang menggigil tetapi suhu badan sangat tinggi.

"Dia juga tidak lalu makan atau minum dan merengek hampir sepanjang malam sehingga suara serak.

"Afya juga mengalami gejala seperti selesema dan batuk yang agak teruk.

Masuk hari kedua, dia jadi lembik dan tidak bermaya kerana muntah,” kata pengurus badan bukan kerajaan (NGO) Kesihatan Mental MeCare di Seri Kembangan itu.

Klik di sini untuk terus membaca