ORANG perempuan pada masa dahulu kalau hendak berkahwin antara pra-syaratnya mestilah pandai memasak. Kalau tanak beras mesti jadi nasi bukannya jadi bubur. Kalau bancuh minuman mesti cukup manisnya. Kalau masak lauk-pauk mesti sempurna... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG perempuan pada masa dahulu kalau hendak berkahwin antara pra-syaratnya mestilah pandai memasak.

Kalau tanak beras mesti jadi nasi bukannya jadi bubur.

Kalau bancuh minuman mesti cukup manisnya.

Kalau masak lauk-pauk mesti sempurna lemak masinnya.

Jika tak boleh memenuhi syarat-syarat asas itu, bersedialah untuk mendengar sindiran mertua dan ipar duai.

Sekarang keadaan berbeza.Tak perlu fikir tentang semua itu. Soal makanan dan minuman boleh dibeli dengan mudah, malah dihantar sampai ke rumah, satu hal.

Satu hal lain ialah sekarang ini kaedah memasak telah menjadi ringkas dan mudah. Santan, garam dan gula sudah semakin hilang fungsinya di dapur.

Jadi kalau masak gulai tak masukkan santan dan garam, bancuh kopi tak masukkan gula pun tidak mengapa. Malah anda mungkin dipuji kerananya.

Itu realiti baharu di dunia baharu yang sedang kita lalui sekarang ini. Kebanyakan orang menjadi semakin takut pada benda yang lemak, yang masin dan yang manis-manis.

Kenyataan ini akan menjadi berkali ganda lebih benar jika kita bercakap tentang gaya hidup puak yang banyak duit, yang kaya-kaya, yang pendapatannya sehari boleh beli beras berlori-lori.

Golongan inilah secara umumnya sangat mengambil berat soal lemak, garam dan gula. Mereka inilah yang makan bersukat, minum berpilih.

Di kalangan merekalah popularnya frasa Low Cholestrol No Sugar (LCNS).

Dan merekalah yang menyebabkan kita kadang-kadang terfikir buat apalah duit melimpah-ruah kalau hendak makan minum pun banyak sangat pantang larangnya.

Ada seseorang di kalangan orang angkasa lepas (tinggi sedikit daripada kayangan) yang cukup berkira dengan jumlah gula yang diambilnya setiap hari.

"Tak boleh lebih daripada 10 sudu kecil,” katanya. "Tetapi saya selalunya ambil lapan sudu sahaja.”

Katanya lagi, apabila dia terbaca yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengambilan gula setiap individu dikurangkan sebanyak 10 peratus, maka dia pun berusaha mengurangkan lagi pengambilan gulanya.

Sebagai anak berdarah Jawa yang memang suka pada benda-benda manis – saya terasa kecil hati juga apabila dia berhikayat tentang gula kepada saya.

Terasa macam dia menyindir saya yang tidak pernah mengira jumlah sudu gula yang diambil ini.

Yang saya tahu, kalau minum kopi, mesti manis. Kalau tak manis lebih baik minum air suam, kemudian tunggang serbuk kopi masuk ke mulut.

Seorang lain, dari kumpulan masyarakat di awang-awangan, yakni golongan pertengahan yang kuat berangan pula, begitu mengelak daripada makanan berlemak.

Bayangkan, bila makan mi sup, dia cuma makan isi. Kuahnya tidak dijamah langsung.

Tapi yang pelik, bila minum cendol, habis dihirup sampai licin seolah-olah cendol itu tidak bersantan.

Adalah silap kalau kita menganggap pengamal LCNS ini adalah golongan yang takut mati. Tidak. Saya yakin mereka sendiri tahu, mati itu pasti dan ia datang tanpa mengira waktu.

Yang mereka mahu elak ialah penyakit. Jantung, darah tinggi, kencing manis, semuanya ada kaitan dengan kolestrol, garam dan gula.

Jika dilihat dari satu sudut memang agak pelik kerana semakin maju dunia ini, semakin teruk pula manusia hendak menjaga kesihatan masing-masing.

Dulu-dulu, waktu ubat-ubatan hanya dicari atau dikutip dari hutan, ketika penawarnya cuma air jampi, manusia boleh makan apa sahaja. Tidak perlu fikirkan pun soal kalori, kolestrol, tekanan darah dan sebagainya.

Kalau berpantang pun hanya pada waktu-waktu tertentu, misalnya ketika baru lepas bersalin atau ketika sedang sakit, bukannya sepanjang masa.

Sekarang ini terbalik pula. Sepatutnya apabila pakar semakin ramai, ubat semakin banyak, penyakit akan berkurang dan kita pula semakin bebas untuk makan minum.

Saya tujukan kenyataan ini kepada kaum lelaki. Yang perempuan lain cerita. Kita faham keadaan mereka.

Pada zaman mana pun masalah mereka sama sahaja. Kebanyakan mereka ber’LCNS’ atau ber’apa’ pun bukan kerana takut penyakit tiga serangkai, empat serangkai dan sebagainya.

Tetapi lebih disebabkan mengelak daripada bertambahnya berat badan, yang bermakna bertambah juga daging, lemak dan saiz pinggang. Itu sahaja...#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca