SHAH ALAM - Pendedahan skandal projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini telah membongkar penyelewengan yang berlaku pada projek runding terus itu. Naib... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pendedahan skandal projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini telah membongkar penyelewengan yang berlaku pada projek runding terus itu.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, beliau yakin wujud agenda penyelewengan besar-besaran daripada pihak atasan rentetan ketirisan projek mega LCS.

"Saya yakin ada penyelewengan dalam projek LCS ini dan pihak yang bertanggungjawab akan harus diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Namun apa yang kita lihat, individu yang hendak dibawa kemuka pengadilan ini bukanlah jerung ‘besar’, sebaliknya pengurus sebuah syarikat yang dikatakan orang tengah.

"Pada saya, penyelewengan secara besar-besaran ini tidak mungkin boleh terjadi di tahap pengurus syarikat sahaja tetapi penglibatan lebih tinggi sama ada di peringkat Boustead Naval Shipyard (BNS) atau di Kementerian Pertahanan sendiri.

"Sayangnya, orang atasan ini pada kebiasaannya boleh terlepas. Kali ini, SPRM perlu pastikan siapa yang betul-betul bertanggungjawab dihukum dan bukan 'kambing hitam' yang dibawa ke muka pengadilan,” katanya Kepada Sinar Premium.

Kapal pertama daripada enam unit kapal tempur pesisir (LCS) milik TLDM yang siap dibina dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela. - Foto Bernama

ISU KESELAMATAN

Tambahnya, punca ramai pihak yang tidak berpuas hati terhadap projek ini adalah kerana perbezaan pendapat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tentang reka bentuk kapal sebagai pengguna akhir LCS selain kelewatan pembuatan kapal.

"Pertama, tentera Laut menyatakan kekecewaan mereka apabila jenis kapal yang diminta sebagai pengguna akhir dan barisan hadapan tidak diendahkan sebaliknya kerajaan memilih kapal lain yang dibuat oleh syarikat Perancis Naval Dockyard yang sebelum ini membekalkan kapal selam dan mempunyai isu komisen ratusan juta ringgit.

"Kedua, soal kelewatan pembuatan kapal yang mana sehingga ke hari ini, tiada kapal LCS yang siap walaupun kerajaan telah membayar lebih RM6 billion walhal negara lain seperti Indonesia dan Mesir yang meminta kapal dalam tempoh yang sama atau lambat sedikit daripada Malaysia sudah mendapat kapal pertama atau kedua mereka,” katanya.

"Ramai juga pihak tidak berpuas hati selepas melihat siasatan dan mendapati sebahagian daripada duit yang kerajaan bayar ini digunakan pula untuk membayar hutang-hutang lama dalam projek yang mereka gagal. Seolah-olah menggali lubang dan ketuk lubang sendiri,” katanya.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, niatnya bukan untuk mencari salah mana-mana parti, namun isu keselamatan negara perlu diambil berat oleh pihak kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca